Artikel

Sistem Sokongan Bagi Perniagaan Kecil

oleh Helmi pada 01 Sep 2004

BERDASARKAN PERANAN SEKTOR PERNIAGAAN KECIL dalam pembangunan ekonomi negara, kerajaan serta institusi-institusi kewangan sudah merangka pelbagai langkah bagi membantu sektor perniagaan kecil ini. Langkah-langkah yang diambil ini berasaskan analisis dan tinjauan pihak kerajaan dan institusi-institusi kewangan terhadap masalah-masalah sektor perniagaan kecil.

Apakah Masalah-masalah Perniagaan Kecil?

Semua perniagaan tidak kira kecil atau besar akan menghadapi masalah dalam masa-masa tertentu. Masalah ini timbul dari dalam dan luar sesebuah perniagaan. Masalah yang berpunca sama ada dari dalam atau dari luar ini mempunyai kesan timbal balik yang kuat dan sekiranya ia tidak dikawal, akan menghancurkan sesebuah perniagaan. Masalah yang dihadapi ini mempunyai dua aspek utama iaitu:

1. Masalah khusus bagi sesebuah perniagaan dalam suasana ekonomi yang sedang mencatatkan pertumbuhan sebenar. Masalah ini melibatkan perniagaan baru yang cuba bertapak dalam sesebuah industri dan juga perniagaan yang sedang berusaha mengekalkan kedudukannya akibat saingan yang timbul. Masalah ini selalunya berkait dengan soal pengurusan dan pemasaran.

2. Masalah yang timbul dalam suasana ekonomi yang muram dan atau kurang menggalakkan. Masalah yang dihadapi ini disebabkan oleh faktor luar yang tidak dapat dikawal oleh sesebuah perniagaan. Faktor-faktor luar ini meliputi edaran pusingan ekonomi dunia serta faktor-faktor politik.

Masalah-masalah perniagaan kecil dapat ditinjau melalui tiga perspektif iaitu:
1. Masalah kekurangan modal perniagaan
Masalah ini mempunyai kaitan yang rapat dengan masalah pengurusan wang tunai. Masalah kekurangan modal pusingan timbul daripada beberapa punca iaitu:
a. Amalan jualan secara kredit yang tidak terkawal
b. Pengurusan stok bahan mentah barang jualan yang kurang rapi menyebabkan wang tunai terikat dalam stok
c. Ketiadaan kemudahan kredit daripada pembekal atau pengeluar tender
d. Perbezaan masa antara permulaan proses pengeluaran dengan waktu tunai diterima bagi jualan yang sudah dilakukan

Jualan secara kredit sudah menjadi suatu amalan dalam dunia perniagaan. Perniagaan-perniagaan yang baru bermula sering menghadapi dilema sama ada mahu memberikan kemudahan kredit atau mendapatkan langganan yang kecil. Perniagaan-perniagaan kecil memerlukan stok barang-barang dalam kuantiti yang tertentu sebagai daya tarikan terutama industri peruncitan dan ini memerlukan modal pusingan yang besar.

Dalam industri pembuatan, keperluan-keperluan khusus kepada industri yang memerlukan pesanan bahan mentah dibuat dalam masa dan kuantiti yang tertentu bagi menjimatkan kos belian. Keupayaan mendapatkan kemudahan kredit daripada pembekal atau pengeluar tender mungkin dapat mengurangkan beban modal pusingan. Kemudahan kredit ini jarang diperoleh oleh perniagaan kecil yang baru bermula.

Faktor masa antara masa pembayaran perbelanjaan bagi memulakan proses pengeluaran dengan waktu bayaran diterima bagi jualan yang sudah dilakukan menjadi salah satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil. Masalah masa ini berkait rapat dengan amalan memberi kredit kepada pelanggan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pembekal.

2. Masalah pemasaran
Masalah pemasaran perniagaan kecil selalu dikaitkan dengan masalah perniagaan sengit yang timbul dalam sesuatu industri. Secara imbasan, pasaran di Malaysia terbahagi mengikut kaum dan cara hidup. Persaingan ini wujud khususnya dalam industri makanan dan minuman bagi pengeluar-pengeluar kecil bumiputera. Industri makanan dan minuman contohnya, dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar dari luar dan bukan bumiputera. Sebagai contohnya industri minuman dikuasai oleh F & N, Yeoh Hiap Seng dan Nestle.
Di samping itu peniaga-peniaga kecil menyuarakan kesulitan yang dihadapi dalam memasarkan keluaran mereka melalui saluran-saluran pemasaran yang sudah sedia wujud. Masalah ini mungkin timbul daripada tanggapan peniaga-peniaga kecil yang menganggap keuntungan yang lebih dapat dinikmati dengan menjalankan kerja-kerja pemasaran sendiri tanpa melalui orang tengah. Pengeluar-pengeluar kecil jarang mengemukakan persoalan-persoalan teknikal seperti mutu dan pembungkusan sebagai punca masalah pemasaran yang dihadapi.

3. Masalah lokasi
Dalam dunia perniagaan, lokasi sangat penting dan lokasi yang baik atau strategik sangat terhad. Perebutan bagi mendapatkan lokasi yang strategik ini bergantung kepada faktor kewangan dan politik niaga. Kebanyakan peniaga-peniaga kecil menyuarakan masalah mendapatkan tempat atau lokasi yang strategik sebagai punca utama mengapa prestasi perniagaan mereka kurang menggalakkan. Masalah lokasi atau tempat perniagaan ini adalah salah satu daripada faktor yang mempunyai kaitan dengan prestasi pemasaran. Masalah lokasi adalah masalah utama peniaga-peniaga kecil bumiputera di kawasan bandar.
Institusi-institusi kewangan khususnya bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat sewa pajak dan syarikat-syarikat kewangan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masalah-masalah sektor perniagaan yang dikenal pasti oleh institusi-institusi kewangan ini ialah:

a. Faktor kurang pengalaman
Institusi-institusi kewangan meletakkan pengalaman sebagai salah satu angkubah yang akan menentukan kejayaan sesebuah projek perniagaan. Pengalaman di sini mencakupi bidang-bidang teknikal dan pengurusan. Bank-bank perdagangan jarang memberikan pinjaman kepada usahawan-usahawan baru tanpa mengkaji keupayaan dan kebolehan setiap permohonan. Bank perdagangan lebih banyak menumpukan perhatian kepada pengalaman lalu sebelum meluluskan sesuatu permohonan pinjaman.

b. Prestasi kualiti kerja
Prestasi kualiti kerja sangat penting kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kualiti barang keluaran atau servis bergantung kepada kecekapan dan keupayaan pekerja dan pihak pengurusan sesebuah syarikat. Kebanyakan perniagaan kecil hanya mempunyai satu atau dua orang pekerja mahir di bahagian operasi. Prestasi kualiti kerja inilah yang akan menimbulkan masalah pemasaran khususnya untuk meninjau peluang-peluang yang lalu.

c. Pengurusan kurang rapi
Institusi-institusi kewangan yang berperanan sebagai pemberi pinjaman menitikberatkan pengurusan kewangan terutama dalam pengurusan modal kerja. Perniagaan kecil dengan modal permulaan yang kecil menghadapi masalah besar dalam menguruskan modal pusingan. Sebarang kelewatan dalam penerimaan wang tunai akan menjejaskan kelicinan perjalanan perniagaan. Di samping itu, sebarang penangguhan dalam pembayaran hutang-hutang yang perlu dibayar akan menjejaskan perhubungan dengan pihak pembekal.

Perniagaan-perniagaan yang pada peringkat awal terutama pada tiga tahun pertama sering menghadapi masalah kekurangan modal pusingan akibat penggunaan tunai yang kurang rapi. Misalnya, A yang membuka sebuah stesen minyak petrol selama dua tahun sudah menggunakan sebahagian daripada keuntungan untuk melabur dalam sebuah projek pengangkutan secara usahawan. Kelewatan pulangan daripada projek pelaburan tersebut dan kemunculan perbelanjaan-perbelanjaan luar jangka dalam perniagaan yang sedang dijalankan menyebabkan A berada dalam keadaan tersepit.

Di samping itu, institusi-institusi kewangan juga melihat kepada pengurusan stok kerana ia memberi kesan langsung kepada kedudukan tunai dalam sesebuah perniagaan. Soal pengurusan stok ini lazimnya dialami oleh perniagaan baru yang belum berpengalaman.

Perspektif atau pandangan kerajaan mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh sektor perniagaan kecil dapat ditinjau daripada dua sumber iaitu badan-badan kerajaan yang terlibat dalam menentukan dan membentuk dasar perdagangan dan perindustrian serta agensi-agensi yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan keusahawanan. Masalah-masalah perniagaan kecil yang dikenal pasti berdasarkan kajian dan data-data terkumpul daripada agensi-agensi dan badan kerajaan yang berkaitan. Misalnya maklumat mengenai masalah pemborong-pemborong bumiputera boleh didapati daripada laporan-laporan Pusaka bumi yang sekarang dikenali sebagai Persatuan Kontrak.

Antara masalah-masalah sektor perniagaan kecil yang dikenal pasti ialah:
1. Pemasaran
Masalah pemasaran perniagaan kecil timbul akibat persaingan yang hebat dalam pasaran yang dibahagikan mengikut angkubah kaum. Suasana ini menyulitkan lagi jika sesebuah industri itu dianggap sebagai industri yang mudah diceburi. Misalnya kebanyakan usahawan baru dalam industri makanan mampu mengusahakan industri membuat kicap, mee kuning atau roti.
Di samping masalah persaingan, ada pula masalah yang berkaitan dengan saluran pemasaran. Masalah sistem saluran pemasaran timbul kerana pertama, peniaga-peniaga kecil khususnya bumiputera tidak mendapat naungan di bawah sistem ini dan kedua, disebabkan sikap ingin menjalankan kerja-kerja pemasaran sendiri. Masalah rantaian saluran pemasaran adalah suatu masalah yang membendung perkembangan kegiatan ekonomi di kalangan bumiputera.
Satu lagi masalah pemasaran yang dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil bumiputera ialah masalah persaingan harga dengan peniaga-peniaga lain. Maklumat yang diperoleh menunjukkan punca masalah ini timbul daripada harga yang ditawarkan oleh pembekal-pembekal. Masalah ini sudah lama diketahui dan masih wujud hingga ke hari ini.

2. Lokasi perniagaan
Masalah ini sering dihadapi oleh usahawan-usahawan baru. Usahawan-usahawan yang baru tidak mempunyai pengalaman dalam soal memilih tapak perniagaan. Lazimnya keputusan yang dibuat berpandukan nasihat serta pengalaman daripada peniaga-peniaga yang sudah lama berniaga.
Usahawan-usahawan baru biasanya mengambil kos sewa bangunan atau tapak dahulu apabila menilai dan menentukan lokasi perniagaan. Faktor potensi langganan dan nama baik sesuatu tempat itu dinilai selepas mengkaji kos sewa tapak atau tempat perniagaan yang kurang strategik akan memberikan kesan langsung kepada prestasi sesebuah perniagaan khususnya implikasi kos langganan.

3. Prestasi kualiti kerja
Agensi-agensi kerajaan terutama yang terlibat dalam kerja-kerja piawaian dan penyelidikan mempunyai pandangan yang sama dengan institusi-institusi kewangan mengenai kualiti kerja di kalangan sektor pengilang-pengilang kecil. Prestasi kualiti kerja ini adalah akibat daripada keupayaan yang terhad di kalangan pengilang-pengilang kecil bagi menjalankan kerja-kerja penyelidikan yang memerlukan belanja yang besar.

4. Pembiayaan modal perniagaan
Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang keusahawanan khususnya dalam aspek latihan dan runding cara seperti Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC) dan MARA menimbulkan soal pembiayaan modal perniagaan sebagai punca masalah perniagaan kecil sewaktu atau selepas perniagaan dimulakan. Masalah ini menyebabkan berlaku masalah kekurangan modal pusingan. Kerap kali jumlah keperluan modal yang dikenal pasti dan dirancang oleh usahawan didapati tidak mencukupi semasa perniagaan dimulakan.
Masalah pembiayaan modal perniagaan memang menjadi dilema kepada usahawan-usahawan baru. Kekurangan harta-harta yang dapat digunakan sebagai cagaran serta keupayaan meyakinkan penjamin adalah halangan bagi mendapatkan kemudahan pinjaman dari institusi-institusi kewangan. Di samping itu ketiadaan institusi-institusi alternatif yang berpotensi dalam masyarakat sekeliling turut menyebabkan masalah pembiayaan modal dalam perniagaan menjadi suatu dilema.

Apakah Skim Sokongan yang Diperlukan oleh Peniaga Kecil?

Pengalaman pihak kerajaan dan institusi-institusi kewangan mengenali dan memahami masalah yang dihadapi oleh sektor perniagaan kecil di Malaysia membolehkan institusi-institusi ini mengemukakan skim-skim sokongan bagi membangunkan sektor perniagaan kecil.

Di Malaysia, kerajaan mengambil inisiatif utama dalam membantu sektor perniagaan kecil. Peranan kerajaan dapat dilihat melalui penubuhan kementerian khas iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Perusahaan Awam dan sebuah badan berkanun SMIDEC atau Small Business Development Corporation di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antara-bangsa. Kedua-dua institusi ini bertanggungjawab membentuk dasar-dasar kewangan dan pencukaian bagi menyelaraskan sistem bantuan sokongan kepada perniagaan kecil dan sederhana. Bantuan-bantuan sokongan yang disediakan mengenakan beberapa syarat tertentu dengan tujuan menjamin keberkesanan sesuatu skim yang ditawarkan. Syarat-syarat ini boleh jadi dalam bentuk jaminan dan pengalaman dalam bidang perniagaan atau sasaran-sasaran kegiatan ekonomi yang diberi keutamaan oleh pihak kerajaan.

Secara kasarnya, bantuan sokongan yang disediakan oleh institusi kewangan dan pihak kerajaan dapat dipecahkan kepada empat bahagian iaitu:
1. Peluang-peluang perniagaan dan pemasaran
2. Kemudahan pembiayaan dan kewangan
3. Khidmat runding cara
4. Skim latihan keusahawanan
5. Penyelidikan dan pembangunan (R&D)

Bantuan dalam bentuk peluang-peluang perniagaan dan pemasaran diberi melalui badan-badan dan agensi-agensi kerajaan. Peluang-peluang perniagaan dan pemasaran terbahagi kepada dua peringkat iaitu:
1. Peringkat dalam negara
2. Peringkat antarabangsa

Pada peringkat dalam negara, terdapat konsep yang khusus bagi membantu pengusaha-pengusaha kecil mendapatkan peluang-peluang perniagaan. Agensi-agensi dan badan kerajaan yang terlibat dengan konsep payung ini ialah Persatuan Kontraktor yang sebelum ini dikenali sebagai PESAKABUMI di bawah Kementerian Kerja Raya, Majlis Amanah Rakyat atau MARA melalui Kayu Sedia, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian melalui Unit Penyertaan Bumiputera, FAMA, Bank Pembangunan Malaysia Berhad melalui Besta Distributors dan Prosper melalui Kementerian Pembangunan Usahawan.

Pada peringkat antarabangsa, peluang-peluang perniagaan dan pemasaran dikendalikan oleh MATRADE atau Perdagangan Antarabangsa Malaysia. MATRADE melalui rantaian pesuruhjaya perdagangannya di seluruh dunia termasuk di beberapa buah negara Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan dan Timur Tengah, Asia Timur dan Asia Tenggara menyediakan maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang import dan eksport di peringkat antarabangsa.

Kemudahan pembiayaan kewangan untuk modal tetap dan modal pusingan perniagaan disediakan oleh institusi-institusi kewangan dan agensi serta badan kerajaan yang tertentu sahaja. Institusi-institusi kewangan terdiri daripada bank-bank perdagangan, syarikat-syarikat kewangan, syarikat-syarikat sewa pajak dan syarikat pemfaktoran. Syarikat-syarikat dan bank yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan yang menjalankan urusan pinjaman ditakrifkan sebagai institusi kewangan. Syarikat-syarikat yang terlibat ialah MIDF atau Malaysian Industrial Development Finance dan Pembangunan Leasing Sendirian Berhad. Bank-bank yang berkaitan ialah Bank Pertanian Malaysia Berhad, Industrial Development Bank, Bank Bumiputra Malaysia Berhad, Sabah Development Bank dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

Bank Islam Malaysia Berhad yang turut terlibat dalam memberi kemudahan kewangan kepada sektor perniagaan dan perindustrian bagi mengukuhkan lagi kegiatan urusan bank dan perniagaan secara keseluruhan. Institusi-institusi kewangan menyediakan lapan kemudahan utama untuk kegunaan perniagaan iaitu:
1. Overdraf Bank
2. Pinjaman Bermasa
3. Skim Pinjaman Khas (CGC)
4. Tabung Pelaburan Baru
5. Kemudahan Diskaun Akaun Belum Terima
6. Surat Kredit
7. Sewa Pajak
8. Sewa Beli

Kemudahan overdraf bank ini membolehkan perniagaan yang mempunyai akaun semasa dalam sesebuah bank perdagangan mengeluarkan cek melebihi simpanan sebenar yang dimiliki dalam akaun semasanya. Had jumlah overdraf yang dibenarkan tertakluk kepada rekod pelanggan dengan bank yang berkenaan dan budi bicara bank tersebut.  Dalam keadaan yang tertentu bank-bank mengenakan syarat cagaran bagi kemudahan overdraf. Kemudahan ini dapat digunakan bagi membiayai modal pusingan. Overdraf bank terhad sehingga RM50,000.00 Lazimnya bank memerlukan cagaran daripada pemohon yang baru.  Faedah yang dikenakan berdasarkan baki overdraf setiap hari.

Kemudahan pinjamkan bermasa ini disediakan oleh bank-bank perdagangan dan syarikat kewangan dan ini adalah pinjaman biasa yang dikeluarkan oleh institusi tersebut. Pinjaman ini dikenakan faedah serta memerlukan cagaran. Tempoh masa pinjaman adalah antara 1 hingga 5 tahun. Skim Pinjaman Khas ini adalah suatu kemudahan kewangan yang disediakan khusus untuk pembangunan sektor perniagaan kecil. Skim ini dianjurkan oleh Kerajaan Pusat dan dikawal sepenuhnya oleh Perbadanan Jaminan Kredit. Di bawah skim pinjaman khas ini, tujuh kemudahan ditawarkan iaitu:

1. Skim Jaminan Usahawan Kecil antara RM 10 000 hingga RM 50 000.00. Tempoh pinjaman ialah antara 1 hingga 5 tahun. Kadar faedah yang dikenakan ialah sebanyak kadar faedah pinjaman asas dicampurkan dengan 1.5% setahun.
2. Skim Jaminan Utama Baru. Skim ini khusus bagi menggalakkan pertumbuhan dalam sektor pembuatan dan sektor yang diutamakan oleh Kerajaan Malaysia.
3. Skim Jaminan Untuk Perbankan Tanpa Faedah. Pihak CGC memberikan jaminan pinjaman di bawah sistem perbankan Islam yang ditawarkan oleh Bank-bank Perdagangan yang mempunyai kaunter khas perbankan Islam.
4. Skim Jaminan Anjal. Skim ini memberi jaminan pinjaman kepada usahawan di bawah Tabung Usahawan Kecil dan Sederhana 2 (TIKS), Tabung Pemulihan Usahawan Kecil dan Sederhana (TPIKS), Tabung Usahawan Baru (TUB), dan Tabung Untuk Makanan (TUM).
5. Skim Jaminan Bersepadu. Skim ini khusus untuk sektor berasaskan besi, plastik, elektrik dan elektronik, kimia dan bahan farmasi.
6. Skim Jaminan Laluan Terus. Di bawah Skim ini permohonan dibuat terus kepada CGC. Sektor yang boleh memohon ialah pembuatan, pemasangan dan pemprosesan produk, aktiviti import eksport, pembaik pulih dan francais.
7. Tabung Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Belia. Tabung ini bertujuan membantu golongan belia menceburi bidang perniagaan.

Tabung Pelaburan Baru adalah suatu kemudahan pinjaman untuk sektor perniagaan dan perindustrian. Kemudahan ini ditawarkan oleh bank-bank perdagangan dengan kadar faedah yang rendah berbanding kadar faedah pinjaman biasa. Skim ini dilancarkan dan dikawal oleh Bank Negara Malaysia.

Diskaun Akaun Belum Terima ialah suatu kemudahan iaitu bank membeli segala bil-bil jualan secara kredit daripada pelanggan dengan mendiskaun pada kadar yang tertentu. Hanya bank-bank perdagangan yang tertentu sahaja seperti Maybank Factoring yang menawarkan kemudahan ini. Kadar diskaun yang dikenakan bergantung kepada kemungkinan bank mendapat balik segala hutang. Kemudahan ini dapat menolong mengatasi masalah modal pusingan dalam perniagaan.

Letter of Credit (LC) ini adalah suatu kemudahan yang disediakan oleh Bank Perdagangan dengan mendahulukan bayaran kepada pengeksport luar negeri yang menuntut bayaran daripada pengimport di Malaysia. Bank akan mengenakan faedah serta caj perkhidmatan mengikut tempoh masa yang dipohon oleh pelanggan. Kemudahan ini diguna-kan oleh pengimport bahan-bahan mentah dan barangan dagangan.

Institusi-institusi kewangan khususnya syarikat-syarikat sewa pajak menyediakan kemudahan sewa pajak bagi perniagaan yang ingin menggunakan mesin tanpa memilikinya. Kemudahan ini dapat mengelakkan wang perniagaan yang sangat diperlukan dalam urusan harian daripada terikat dalam aset seperti mesin. Bayaran di bawah kemudahan sewa pajak ini adalah secara bulanan dan jumlah yang dibayar lebih kecil daripada jumlah mengikut secara kaedah sewa beli.

Kemudahan sewa beli ini ialah secara pelanggan membayar beransur-ansur setiap bulan bagi membeli sesebuah aset. Hak milik aset tersebut dituntut bersama oleh syarikat kewangan dan pelanggan berkenaan selagi bayaran ansuran belum terjelas. Kadar faedah dikenakan ke atas jumlah wang yang dipinjam bagi membeli aset tersebut. Kemudahan ini digunakan oleh pelanggan yang ingin mengguna dan memiliki sesebuah aset tetapi tidak mempunyai wang yang diperlukan bagi membeli secara tunai.

Kemudahan pembiayaan oleh pihak kerajaan melalui agensi dan Kementerian tertentu memberikan alternatif kepada pengusaha kecil bagi mencari sumber-sumber pembiayaan. Agensi yang ulung ialah Majlis Amanah Rakyat. Kementerian yang terlibat dalam menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan ialah Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. MARA menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha-pengusaha bumiputera untuk modal tetap dan modal pusingan. Pemberian pinjaman ini tertakluk kepada beberapa syarat tertentu dan had pinjaman ditetapkan sehingga RM 250 000.00. Kementerian Belia dan Sukan pula menyediakan kemudahan pembiayaan modal perniagaan di bawah skim Rancangan Belia Niaganya. Had pinjaman sehingga RM 30 000.00 ditawarkan mengikut penilaian daya maju projek yang dilaksanakan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membangunkan industri kampung. Kemudahan yang ditawarkan ialah membiayai pembelian aset tetap seperti mesin pembinaan bangunan kilang.

Penubuhan Bank Islam yang pertama di Malaysia pada tahun 1984 membawa perspektif yang lebih meluas dalam soal pembiayaan kewangan dalam urusan perniagaan atau muamalat. Pembiayaan dalam Islam terdiri daripada tiga kaedah utama yang boleh digunakan dalam perniagaan dan perindustrian iaitu:
1. Mudharabah atau Perkongsian untung
2. Musyarakah atau Penyertaan ekuiti
3. Al-Bai Bithaman Ajil atau Pembiayaan Aset Tertangguh atau Murabahah
4. Al-Ijarah atau Sewa pajak
5. Al-Ijarah Thumma Al-Bai atau Sewa pajak dengan pilihan membeli
6. Al-Qardh Al-Hassan

Kaedah murabahah ialah suatu cara institusi atau badan kewangan mendahulukan pembayaran untuk pihak pelanggan bagi mendapatkan aset tetap seperti lot perindustrian. Pelanggan mesti membayar secara ansuran kepada pihak yang sudah mendahulukan pembayaran iaitu badan atau institusi kewangan. Nilai wang yang perlu dibayar secara ansuran ini ditentukan melalui pembahagian jumlah pembiayaan dengan tempoh bayaran balik. Jumlah pembiayaan ini diperoleh dengan mencampurkan nilai aset pada masa dibeli dengan kadar keuntungan yang pihak bank sudah tetapkan. Misalnya harga pasaran bagi sebuah lot perindustrian ialah RM 500 000.00. Bank akan mengambil untung 5% setahun ke atas RM 500 000.00, jika tempoh yang dipilih oleh pelanggan ialah 15 tahun. Dalam pembelian aset seperti mesin tertakluk kepada susut nilai, pengiraan berdasarkan manfaat yang akan diperoleh selama aset itu digunakan bagi mengeluarkan hasil. Jumlah ansuran yang perlu dibayar ialah RM4,861 sebulan.

Kaedah mudharabah dapat membantu peniaga yang menghadapi masalah membiayai modal pusingan dan modal tetap perniagaan. Konsep ini memerlukan dua pihak iaitu pelabur dan pengusaha. Pihak pelabur akan mengeluarkan keperluan pembiayaan dan pihak pengusaha akan menggunakan wang ini bagi menjalankan aktiviti perniagaan atau perindustrian. Perjanjian adalah suatu perkara penting di antara pihak pelabur dan pengusaha. Perjanjian ini menentukan agihan keuntungan dan tanggungan kerugian dalam usaha sama ini. Pihak pelabur berhak mengetahui kedudukan projek yang dijalankan oleh pihak pengusaha. Bank Islam Malaysia Berhad ada menjalankan kaedah mudharabah yang melebihkan agihan keuntungan kepada pihak yang mengusahakan projek.

Musyarakah atau syarikat atau persyarikatan ialah konsep penyertaan ekuiti yang melibatkan lebih daripada dua pihak mengusahakan sesebuah projek perniagaan atau perindustrian. Pihak-pihak yang terlibat dalam syarikat atau persyarikatan ini akan menyumbangkan bahagian modal masing-masing mengikut perjanjian yang sudah disetujui daripada segi sumbangan modal wang dan tenaga kerja di kalangan ahli-ahli persyarikatannya ini.

Akta Bank Islam dan pindaan akta tersebut dalam Dasar Belanjawan 1987 membuka peluang ke arah penubuhan institusi dan badan kewangan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Khidmat runding cara disediakan oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensinya dan institusi-institusi pengajian tinggi. Di samping itu sektor swasta juga turut menawarkan perkhidmatan ini. Agensi-agensi yang menyediakan khidmat runding cara ini ialah:
1. Institut Piawaian Perindustrian Malaysia (SIRIM)
2. Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
3. Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)
4. Pusat Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM)
5. Pusat Penyelidikan Logam Malaysia (MIDEC)
6. Perbadanan Pengeluaran Negara (NPC)
7. Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Institusi-institusi Pengajian Tinggi yang menyediakan khidmat runding cara ialah:
1. Unit Penyelidikan dan Perundingan Perindustrian (IRCU), Universiti Sains Malaysia
2. Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya
3. Pusat Pembangunan Perusahaan Kecil (SBDC), Universiti Pertanian Malaysia
4. Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC), Universiti Teknologi MARA

Dalam sektor swasta terdapat beberapa syarikat yang menjalankan khidmat runding cara dalam industri-industri yang khusus, termasuk juga syarikat-syarikat asing di Malaysia.

Agensi-agensi kerajaan yang disebutkan di atas memberikan khidmat nasihat daripada segi pengurusan dan perkhidmatan teknikal. Agensi-agensi tertentu mengenakan bayaran minimum untuk kemudahan khidmat nasihat ini. MARDI memberikan khidmat nasihat di bawah skim kilang bimbingannya.

Suatu perubahan besar dalam membantu sektor perkilangan tidak kira kecil atau besar ialah pelaksanaan inkubator perindustrian oleh SIRIM dan unit bahagiannya iaitu MIDEC. Konsep pelaksanaan inkubator ini menyediakan kemudahan khidmat kepakaran dan penggunaan mesin bagi pengusaha-pengusaha.

Institusi-institusi pengajian tinggi menyediakan khidmat nasihat dan penyelidikan bagi sektor perkilangan dan pembuatan. Inisiatif utama dijalankan oleh Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Perlaksanaan konsep inkubator perindustrian dipelopori oleh Universiti Malaya. Sementara itu Universiti Sains Malaysia dengan Unit Perkhidmatan Perindustriannya sudah menyediakan khidmat runding cara dan penyelidikan bagi sektor perindustrian. Institusi-institusi pengajian tinggi yang lain mempunyai bahagian seperti MEDEC di ITM dan pusat perniagaan kecil di UPM menawarkan khidmat nasihat daripada segi pengurusan perniagaan.

Kemudahan kursus-kursus latihan keusahawanan adalah bantuan sokongan secara tidak langsung bagi membangunkan sektor perniagaan kecil. Kursus-kursus keusahawanan ini merangkumi kursus-kursus yang khusus dalam aspek-aspek pengurusan yang tertentu. Kedua-dua, kerajaan dan sektor swasta menawarkan kemudahan bagi mengikuti kursus-kursus keusahawanan ini. Agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam mengendalikan kursus keusahawanan ini ialah:
1. Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC, UiTM)
2. Pusat Daya Pengeluaran Negara (NPC)
3. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
4. Kementerian Belia Dan Sukan (KBS)
5. Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan

Badan-badan profesional seperti Institut Pemasaran Asia (AIM), Institut Pengurusan Malaysia (MIM), Institut Pengurusan Personel Malaysia (MPIM) dan Syarikat-syarikat Rundingan turut mengendalikan kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan dan keusahawanan.

Rujukan
Aziz Mahmud. Malay Entrepreneurship Problem in Development. Kuala Lumpur: SocioEconomic Research Unit, 1981.

Abdul Rahim. Develpoing Indigenous Entrepreneurship, (Unpublished Masters Thessis). New York: Cornel University, 1974.

Bank Negara Malaysia, Credit Guarantee Corporation.
Yep Putih. Keusahawanan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024