Artikel

Sumber Idea dan Inspirasi

oleh Helmi pada 31 Aug 2004

Inilah dia perkara yang menjadi denyut nadi sebuah karya seni tidak kira bidang apa jua, seperti seni lukis, seni arca, seni catan, reka bentuk, tenunan, seramik, muzik, tarian, lakonan dan malah inilah perkara penting kepada para tukang masak. Lazimnya bahan, idea, ilham dan inspirasi menjadi masalah besar bagi seorang seniman sehingga tertulis perbandingan, ‘bagai seniman kehilangan ilham.’
       
Bahan, idea, ilham dan inspirasi datang hanya menerusi dua sumber utama iaitu pertama; sumber asal, sumber original, primary source dan kedua; sumber kedua secondary source. Sumber asal ialah sumber yang dialami ataupun disaksi ataupun dilalui dan dirasai sendiri oleh penulisnya sama ada bersendirian ataupun bersama orang lain. Sementara sumber kedua merupakan sumber yang datang daripada beberapa cara yang lain seperti menerusi pembacaan, menonton filem dan tv, daripada orang-orang yang rapat dengan kehidupan harian seperti keluarga, kawan-kawan dan jiran-jiran. Sumber-sumber ini sama ada sumber asal ataupun sumber kedua adalah sama pentingnya sebagai pencetus fikiran. 
       
Justeru, bahan, idea, ilham dan inspirasi adalah satu penemuan, satu penjumpaan yang tercetus dan muncul dalam pemikiran dan minda seseorang yang terhasil oleh satu fenomena ataupun satu sumber seperti peristiwa yang dilihat, didengar, dibaca dan dialami ataupun yang sudah diketahui sebelumnya. Peranan bahan, idea, ilham dan inspirasi dalam karya adalah sebagai isi dan inti sari yang menampilkan konsep, visi dan falsafah kepengarangan penulis. Pengutipan bahan, idea, ilham dan inspirasi tidak sama antara seorang penulis dengan penulis lain. Ada penulis yang mengutip semua sekali apa yang dialami, didengar, dilihat, dibaca dan yang diketahuinya dengan membuat pengubahan pada latar tempat, nama-nama watak dan perjalanan cerita.

Ada penulis yang hanya menjadikan peristiwa yang dilihat, didengar, dibaca dan dialaminya sebagai model karya sahaja. Ada juga penulis yang mengutip dengan menyaring dan menapisi apa yang diperlukannya sahaja daripada peristiwa tersebut.  Namun, segala anggapan bahawa sesuatu bahan, idea, ilham dan inspirasi yang bagus akan menghasilkan sebuah karya yang unik, sebenarnya kurang tepat. Ini adalah kerana seorang penulis yang kurang baik, tidak mungkin dapat mencernakan bahan, idea, ilham dan inspirasinya dengan baik.
Bagi penulis yang mahir, dia tidak memerlukan bahan, idea, ilham dan inspirasi yang bertaraf super untuk membolehkannya menghasilkan karya yang baik dan unik yang mempunyai originaliti, nilai estetika dan kelainan. Inilah yang menyebabkan ramai penulis membuat berbagai usaha seperti membuat kajian di perpustakaan, menghadiri bengkel penulisan, seminar dan persidangan. Malah ada juga penulis yang sanggup berbelanja mahal tinggal berbulan-bulan di satu-satu tempat seperti dalam masyarakat desa, masyarakat nelayan, malah ada yang sanggup hidup di tengah-tengah masyarakat pincang di kota bagi mendapatkan realiti kehidupan yang dijadikan latar untuk bahan, idea, ilham dan inspirasi yang diperolehnya.
         
Sewaktu nama mula keluar di majalah dan akhbar dahulu, orang sering bertanya kepada saya, “Bagaimana anda mendapat ilham menulis cerpen Nasinya Tumpah? Bagaimana anda mencarinya?” Saya pun menerangkan bahawa cerpen Nasinya Tumpah berdasarkan sebuah cerita orang-orang kampung tentang kanak-kanak tiga beadik yang tinggal di rumah kerana emak dan bapak mereka pergi menoreh getah. Apabila adik-adiknya lapar, si kakak memberi makan cendul (sejenis makanan yang dibuat daripada tepung beras, air daun pandan sebagai pewarna dan kapur untuk memejalkannya) digaul dengan budu (sejenis sos yang dibuat daripada ikan bilis yang diperapkan bercampur garam), kerana tidak ada bahan makanan lain lagi di rumah. Selepas makan makanan berkenaan, kanak-kanak tiga beradik itu terus mati keracunan.
       
Mencari bahan, idea, ilham dan inspirasi sebenarnya tidak pernah berlaku dalam proses pengkaryaan saya. Namun bagi orang biasa, yakni orang bukan penulis, mereka lazimnya menganggap begitu, seorang seniman mesti mencari ilham atau idea atau bahan untuk sesebuah karya yang hendak ditulis. Memang melucukan apa-bila ditanya, “Hai! Hendak cari ilhamkah?” ketika bertembung di tepi laut ataupun di tempat-tempat peranginan. Kadang-kadang mereka memberi amaran dalam bentuk jenaka dengan berkata, “Jangan tulis fasal saya tau?”

Pada mulanya saya agak hairan mengapa orang-orang ini suka bertanya begitu dan mengapa mereka amat bimbang dirinya menjadi bahan karya! Beberapa waktu kemudian, pertanyaan serupa itu sudah tidak menghairankan lagi. Umumnya orang menganggap di dalam kepala seorang penulis sering terjadi proses pemenuhan dan pengosongan yang berterus-terusan. Mereka mengandaikan selepas sebuah karya selesai ditulis oleh seorang pengarang, kepala pengarang berkenaan kosong beberapa ketika. Justeru itu si pengarang kenalah mencari bahan baru bagi memenuhi kekosongan itu. Bagaikan di dalam kepala seorang pengarang itu tidak dapat menampung bahan yang banyak sehingga tidak pernah putus-putus. Muncul daripada andaian inilah ada pihak yang takut akan menjadi bahan karya si penulis yang ketandusan bahan, idea, ilham dan inspirasi ini. Penulis sepatutnya tidak membiarkan diri ketandusan bahan, idea, ilham dan inspirasi untuk berkarya kerana terlalu banyak bahan, idea, ilham dan inspirasi yang boleh dikutip, disaring dan ditapis pada setiap masa yang berlaku di sekeliling kehidupan seseorang. Antara sumber bahan, idea, ilham dan inspirasi yang dapat digunakan adalah seperti: 
 
         
Pengalaman Kehidupan Peribadi
Barbara Cartland (1904-2001) pernah berkata tidak ada karya yang lebih realistik selain daripada tentang pengalaman peribadi sendiri. Pernyataan ini memang relevan. Seorang penulis atau pengarang yang menulis tentang pengalaman sendiri terutama secara peribadi, mempunyai beberapa advantages. Pertama dia tidak akan dicabar oleh orang lain tentang kesahihan apa yang dituliskan. Kedua, hanya dia yang mengetahui apa yang ditulis. Ketiga dia mempunyai keyakinan terhadap apa yang ditulisnya. Keempat dia berpeluang meluahkan sesuatu yang menekan mindanya dan mendapat kepuasan.
       
Penulis atau pengarang sewajarnya sedar kehidupan seorang manusia tidak berlandaskan plot seperti yang dilakukan terhadap karya fiksyennya. Rentetan plot bagi kehidupan manusia terlalu sederhana, iaitu kelahiran dan kematian. Proses yang lain seperti membesar, remaja, bercinta, belajar, bekerja, berkahwin, berkeluarga, dewasa dan tua adalah cabangan-cabangan plot (sub-plot) yang tidak terjadi kepada semua orang. Cabangan plot inilah yang memberikan kepelbagaian kepada setiap individu yang berbeza antara satu dengan lain mengikut qadak dan qadar yang tersurat baginya. Kehidupan ini penuh dengan segala rupa dan bentuk pengalaman; pengalaman manis, pahit, suka dan duka. Ada yang dialami secara bersendirian dan ada juga yang dialami bersama orang lain dan bersama keluarga. Semenjak usia kita beberapa tahun kita sudah mampu mengingati sesuatu yang kita alami. Bolehkah anda mengingatinya?
Kalau semua pengalaman hidup ini ditulis dalam bentuk buku, mungkin sudah boleh menghasilkan berbuah-buah buku. Antara pengalaman yang boleh diingati kembali ialah, pengalaman ketika sebelum masuk sekolah, selepas masuk sekolah berada di sekolah rendah, kemudian sekolah menengah, kemudian ke sekolah yang lebih tinggi seperti kolej, maktab dan universiti. Cubalah ingat kembali segala kehidupan anda pada waktu-waktu tersebut.

Apa yang membezakan pengalaman seseorang dengan yang lain ialah, latar keluarga, latar tempat dan persekitaran, latar masa, jantina, corak kehidupan dan takdir. Ini bermakna pengalaman hidup seorang anak daripada golongan kaya, bangsawan dan raja sama sekali berbeza dengan pengalaman hidup seorang anak daripada golongan orang biasa. Sesungguhnya segala pengalaman ini sangat berguna kepada seorang penulis kreatif.

Mungkin anda pernah membaca novel Adlaine Mah yang berjudul Chinese Cinderella tentang nasib malang seorang kanak-kanak yang dibenci oleh adik-beradik, ayah dan ibu tirinya kerana ibunya mati akibat melahirkannya. Karya ini berbentuk biografi pengarang dan diceritakan menerusi watak orang pertama, yakni saya atau aku daripada semenjak dia mulai dapat mengingati dirinya hingga ke usia remaja. Memang tidak semua orang mengalami nasib yang serupa, tetapi mungkin pengalaman anda lebih menarik daripada pengalaman orang lain.
         
Satu lagi pengalaman peribadi yang tidak kurang menarik juga ialah mimpi. Hingga sekarang saya masih ingat beberapa buah mimpi saya waktu kecil-kecil dahulu. Memang kata orang-orang tua mimpi itu permainan tidur. Akan tetapi bagi sesetengah orang, mimpi adalah pembawa alamat atau bayangan-bayangan tertentu, yakni mimpi yang benar. Sebagai contoh, kalau mimpi ada gigi sebelah atas tercabut, alamatnya ada keluarga daripada sebelah bapa akan meninggal dunia, begitu juga sebaliknya kalau mimpi gigi bawah tercabut, ada keluarga sebelah ibu akan meninggal dunia. Kalau orang perempuan bermimpi digigit ular, ada lelaki yang meminati secara diam-diam.
Satu waktu ketika saya berada di darjah enam ada seorang alim di kampung berhampiran, sakit tenat. Ketika sampai hari beliau akan meninggal, beliau minta semua anak cucu dan keluarga berkumpul dan memberitahu semua orang beliau bermimpi naik sebuah perahu bersendirian menyeberangi sungai darah. Kemudian beliaupun meninggal selepas masuk waktu subuh dan sempat sembahyang Subuh secara baring telentang.
         
Mimpi juga boleh dijadikan sebagai salah satu teknik penulisan yang menarik yang akan dihuraikan nanti di dalam bahagian Teknik Penulisan. Selain daripada mimpi,  pengalaman yang lumrah dirasai oleh hampir semua orang ialah penyakit. Ada 1001 macam penyakit yang boleh disenaraikan termasuk penyakit yang boleh membunuh seperti sakit jantung, angin ahmar, kencing manis, buah pinggang dan berbagai-bagai jenis barah seperti barah payu dada, barah rahim, barah otak, barah tulang dan leukimia. Ada juga penyakit yang menyebabkan pengidapnya menderita sepanjang hayat seperti lumpuh. Kemungkinan satu ataupun dua daripada penyakit itu pernah dialami oleh para penulis kreatif sendiri, oleh ahli keluarga dan kawan-kawan.
         
Penelitian dan pemerhatian terhadap para pesakit yang menderitai penyakit-penyakit tersebut, para penulis kreratif dengan senang mendapat bahan idea, ilham, inspirasi untuk dijadikan sebagai sebahagian jalan cerita. Malah seluruh cerita untuk sebuah novel boleh didasarkan kepada sejenis penyakit tertentu sahaja umpamanya penyakit leukimia dan jenis-jenis penyakit berat yang lain yang menyebabkan para penghidapnya menderita dalam jangka masa yang lama sebelum meninggal dunia, seperti barah payu dada, barah otak dan kencing manis.
Sekiranya penulis kreatif mahu menulis inti sari cerita tentang salah satu penyakit yang kronik ini, dia perlu membuat tugasan luar seperti mendapatkan keterangan daripada doktor tentang simpton penyakit,  cara rawatan, perkembangan penyakit daripada tahap awal hingga ke tahap kritikal. Di samping itu kemungkinan si penulis juga perlu mendapat bantuan pakar perubatan tradisional untuk merealisasikan lagi daya kreativitinya. Berdasarkan kelaziman hidup seorang individu pengalaman peribadinya boleh diselusuri daripada proses-proses berikut:

Zaman Kanak-Kanak
Pengalaman zaman kanak-kanak dapat dimanfaatkan oleh seorang penulis dengan bantuan ilmu psikologi kanak-kanak. Antara bahan, idea, ilham, inspirasi yang dapat ditimba daripada pengalaman ini ialah kasih sayang daripada keluarga khususnya daripada ibu dan bapa, proses interaksi dengan adik beradik yang lain, pergaulan dengan kawan-kawan sepermainan. Seterusnya alam pembelajaran yang bermula di taman asuhan kanak-kanak, sekolah rendah sekolah menengah dan peristiwa-peristiwa yang muncul secara tidak langsung ke dalam kehidupan seorang kanak-kanak yang melibatkan jiran, teman dan keluarganya. Sebagai contoh seorang kanak-kanak yang berkelah bersama kawan-kawan di tepi laut, tiba-tiba kawannya lemas dan mayatnya dijumpai dua hari kemudian. Ataupun seorang kanak-kanak secara kebetulan terpandang petir memanah sebatang pokok kelapa berhampiran rumah dan membias ke dinding rumahnya hingga terkena beberapa orang anggota keluarganya. Pengalaman ini agak luar biasa, justeru itu ia tidak mudah dilupakan.
       
Pengalaman seorang anak kecil yang inosen digunakan oleh Shahnon Ahmad dalam cerpennya Lagu Kit Kit Kit, tentang seorang kanak-kanak yang gembira melihat orang ramai datang ke rumahnya menziarahi ibunya yang sedang nazak. Ali Majod pernah menulis cerpen tentang seorang murid di sekolah rendah yang berjudul Pensil Sebatang. Malah ramai lagi penulis yang mengutip bahan, idea, ilham dan inspirasi daripada dunia kanak-kanak. Saya sendiri banyak menggarap bahan daripada zaman kanak-kanak ke dalam karya-karya saya, kerana bagi saya zaman kanak-kanak adalah zaman yang terindah yang dianugerah Allah dalam kehidupan saya. Hinggakan kalau saya diberikan satu pilihan untuk memasuki kembali zaman-zaman yang sudah lepas, saya akan memilih zaman kanak-kanak! Memang sukar bagi penulis atau pengarang Melayu melahirkan karya fiksyen tentang kanak-kanak seperti Tom Sawyer, Huckleberry Finn, Peter Pan dan The Prince and the Pauper. Namun, ia bukanlah satu yang mustahil dilakukan.

Zaman Remaja
Bagi sesetengah orang, zaman ramaja menjadi zaman yang penting dalam sepanjang kehidupannya. Ini adalah kerana pada zaman inilah seseorang individu akan mengalami perubahan dan peralihan hidup secara tabii alam daripada segi perangai, perlakuan, bentuk fizikal, biologikal, emosi dan psikologi. Malah bagi sesetengah ibu bapa, inilah zaman yang kritikal dalam usaha membesarkan seorang anak.
         
Pengalaman pada zaman remaja lebih sukar untuk disaring sebagai bahan, idea, ilham dan inspirasi dalam karya. Sebab utama ialah, kebanyakan penulis atau pengarang tidak sanggup menulisnya kerana takut disalah anggap oleh khalayak. Namun, dengan bantuan ilmu psikologi dan falsafah hidup yang ringan, pengalaman zaman remaja akan menjadi satu bahan yang menarik. Di samping itu, ramai penulis yang bergantung pencarian pada bahan penulisan, sering menggunakan zaman remaja ini bagi menulis kisah-kisah yang mengghairahkan golongan remaja seperti kisah-kisah cinta monyet, kerosakan akhlak dan kenakalan yang ghalib muncul dalam diri para remaja terutama sewaktu di sekolah menengah. Namun begitu zaman remaja penulis boleh dieksploitasikan dengan cara lebih berkesan seperti membuat adaptasi daripada cerita-cerita zaman silam tentang Hang Tuah, Hang Jebat dan teman-temannya serta para pahlawan Melayu yang lain dengan menggunakan unsur bawah sedar, psikologi dan sejarah. Hanyasanya, para penulis atau pengarang terpaksa membuat kajian dan penyelidikan terlebih dahulu. Justeru itu, zaman remaja dalam karya fiksyen bukanlah semata-mata berlatarkan kisah cinta monyet, kisah konflik remaja dengan keluarga, terjerat dengan gejala-gejala negatif dengan kehidupan yang liar dan memberontak walaupun katakanlah si penulisnya sendiri pernah terlibat dengan gejala-gejala tersebut.
           
Seelok-elok pengalaman zaman remaja yang wajar diterapkan dalam karya ialah yang berunsur positif, kisah yang memperlihatkan adanya unsur-unsur dinamisme, determinisme, kewiraan dan berbagai-bagai kisah yang pengakhirannya dapat memberikan satu renungan. Kelumrahan filem-filem barat tentang remaja biasanya menonjolkan remaja yang bermasalah dengan ibu bapa, melawan kata-kata orang tua, keras kepala, memberontak, angkuh dan segala macam perangai negatif yang lain. Namun, pengakhiran cerita selalunya memihak kepada para ibu bapa dengan keinsafan daripada pihak remaja.

Zaman Dewasa
Terlalu banyak pengalaman yang boleh dimanfaatkan oleh seseorang dalam kehidupannya pada zaman dewasa. Ini adalah kerana sekiranya dia dianugerahkan Allah SWT dengan usia yang lanjut, inilah zaman yang akan menjadi waktu terpanjang dalam hidupnya berbanding dengan tiga zaman yang lain iaitu zaman kanak-kanak, zaman remaja dan zaman tua.
           
Pengisian zaman dewasa seseorang itu lazimnya ditandai dengan berakhirnya zaman remaja sekitar awal dua puluhan. Kadang kala bagi sesetengah orang zaman dewasanya bermula dengan alam penyaraan hidup atau pekerjaan, perkahwinan dan alam rumah tangga. Bagi seseorang yang lahir dengan nasib yang baik seperti kata pepatah Inggeris born with the silver spoon, hidupnya berjalan selurus, selebar, sesempurna ukuran lebuh raya, tidak ada selekoh tajam, tidak ada lopak-lopak, tidak ada halangan untuk memotong kenderaan lain, boleh memecut laju ataupun perlahan di lorong-lorong yang ditentukan dan pendeknya tidak ada yang kurang lagi. Justeru itu apabila dia bekerja, prestasinya terus menerus cemerlang, naik pangkat demi pangkat. Dalam rumah tangga dia mempunyai pasangan yang baik dan unggul, menjalani hidup yang bahagia. Anak-anak juga tidak ada yang bermasalah seperti cacat, terlibat dengan gejala hidup negatif, sebaliknya semuanya berjaya sama ada dalam pembelajaran mahupun dalam pekerjaan.
         
Dalam takrif warna, kehidupan sedemikian dipenuhi warna-warna yang ceria, kuning, merah, merah samar, biru muda, jingga dan sebagainya. Justeru itu tidak ada warna murung seperti hitam, kelabu, ungu dan warna-warna gelap yang lain. Sekiranya seorang penulis atau pengarang ditakdirkan hidup dalam dunia begini, bagaimanakah dia akan mendapat kepelbagaian rancam bahan, idea, ilham dan inspirasi yang hendak ditulisnya bagi sebuah karya berhubung dengan zaman dewasanya? Sudah tentu tidak ada apa-apa lagi. Untuk itu individu berkenaan terpaksa keluar daripada garis hidup kelebuhrayaan ini, kerana inilah salah satu elemen yang tidak lengkap dalam hidupnya. Yakni hidup yang tidak ada selekoh tajam, tidak ada perlumbaan, tidak mengalami kepayahan dan kesukaran dan tidak perlu mengejar apa-apa lagi. Bagi penulis atau pengarang apa yang penting dalam hidupnya ialah ketidaksempurnaan dalam satu aspek hidupnya. Kekurangan ini membuat dia mempunyai naluri, emosi, daya kreatif dan desakan daripada dalam diri.
           
Rencam kehidupan orang dewasa lebih banyak dan berbagai-bagai. Semua aspek kehidupan seorang manusia biasa yang ditakdirkan lahir not with the silver spoon, lebih bermakna daripada mereka yang lahir with the silver spoon. Disebabkan tidak ada kesempurnaan inilah manusia mulai mencari, mengejar dan berlumbaan untuk mendapatkan kesempurnaan. Justeru itu dia terus aktif, bergerak dan dalam segala tindakannya dia akan berhadapan dengan seribu cabang peristiwa tragedi dan komedi yang bakal melekat dalam sejarah hidupnya. Lalu hidupnya pun terwarna oleh kepelbagaian warna daripada merah menyala penuh keceriaan kepada gelap hitam kemurungan. Lazimnya daripada ketiadaan kesem-purnaan atau the missing piece dalam hidup inilah yang memberikan bahan, idea, ilham dan inspirasi yang menarik dalam karya seseorang. Justeru itu garaplah semahu-mauhnya pahit manis pengalaman hitam putih ini. Tonjolkan pengalaman hidup ini dalam karya dengan membuat beberapa pindaan yang wajar. Kutip dan saringlah segala suatu yang boleh dijadikan inti pati karya.

Zaman Tua  
Kalau sudah tua-renta, mata mulai rabun, telinga mulai kalis, ingatan mulai kabur, anggota badan mulai gementar bolehkah seseorang berkarya lagi? Jawapannya sudah tentu tidak boleh. Akan tetapi orang lain boleh menulis tentangnya. Namun, ghalibnya usia tua datang selepas seseorang itu mencapai usia 60-an. Dalam usia sebegini, keupayaan bagi seorang penulis, pengarang untuk berkarya lebih hebat daripada penulis, pengarang yang baru berada pada tahap permulaan ataupun pertengahan usia dewasa.
Lazimnya selepas seseorang itu berada pada usia 60-an, dia sudah bebas daripada tanggungjawab membesar dan mendidik anak-anak, sudah bebas daripada belenggu pekerjaan untuk saraan keluarga, justeru itu dia mempunyai banyak masa untuk dirinya sendiri. Keupayaan untuk menulis memang tinggi dan terbuka. Batasan bahan, idea, ilham dan inspirasi lebih saujana. Segala keghairahan menulis tentang kerenah manusia, mungkin sudah bertukar kepada satu wawasan yang labih menjurus seperti ke arah ketuhanan dan introspeksi, kedirian. Contoh yang mudah dapat dilihat pada keupayaan para sasterawan negara Malaysia, A. Samad Said, Arenawati, Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad dan Usman Awang. Ketuaan A.Samad Said dapat dilihat dalam watak Lazri Meon dalam Daerah Zeni dan kedirian Shahnon Ahmad terserap pada watak Su Usul dalam Tunggul-Tunggul Gerigis. Pepatah Melayu mengatakan, kelapa yang tua lebih banyak mengeluarkan minyak dan lemak berbanding kelapa yang lebih muda.

Hubungan Kekeluargaan
Adalah menjadi satu kelaziman juga kepada penulis dan pengarang menimba bahan, idea, ilham dan inspirasi daripada kehidupan ahli keluarganya sendiri. Penimbaan ini dibuat melalui pengamatan, pemerhatian dan interaksi. Individu-individu tertentu dalam keluarga biasanya akan diangkat menjadi model dalam karya. Ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dengan mudah boleh memberikan bahan, idea, ilham dan inspirasi untuk berkarya.
           
Kadang kala tanpa disedari individu-individu berkenaan mempunyai keunikan tersendiri. Perangai, perilaku, tabiat, gerak-geri, kegemaran, kebencian, sifat fizikal, emosi, sudut pandangan, pertuturan antara individu-individu dalam keluarga sering kali tidak serupa. Malah etika kerja mereka juga berlainan seperti rajin, tekun, malas, cuai, sabar dan tergesa-gesa. Gaya hidup mereka juga tidak sama antara satu dengan lain, seperti ada yang kaya raya, ada yang miskin susah papa-kedana, ada yang suka menunjuk-nunjuk, ada yang bersikap sederhana. Perkara yang terlalu jelas yang terdapat pada diri individu-individu ini ialah perwatakannya seperti, sopan, pemarah, dengki, tolak-ansur, pendiam, banyak mulut, warak, jahil, tidak ada pendirian, bersifat suka bergantung pada orang lain, tidak ada keyakinan diri dan berbagai-bagai lagi. Kesemua ciri ini akan dapat dijadikan model watak dan perwatakan dalam karya. Soalnya sejauh manakah ciri-ciri tersebut dapat diterapkan dalam sesebuah karya, terserahlah kepada kebijaksanaan seorang penulis atau pengarang membuat imitasi, peniruan, adaptasi daripada pengamatan dan pemerhatiannya di kalangan orang-orang ini. 
           
Satu lagi ciri berhubung dengan kekeluargaan ini ialah adat-resam yang diamalkan. Antara adat itu seperti perkahwinan, adat melenggang perut kalau si isteri sudah mula hamil sulung, kemudian apabila bayi dilahirkan, adat berpantang atau kata orang-orang tua ‘atas dapur berdiang’, kemudian adat bercukur, kalau bagi keluarga diraja ada adat berendoi, naik buai. Apabila bayi sudah jadi kanak-kanak, kalau kanak-kanak perempuan adat bertindik, kalau lelaki adat berkhatan (bersunat). Kalau orang zaman dahulu masih ada adat menghantar mengaji al-Quran ke rumah guru al-Quran. Ada juga amalan adat yang bercanggah dengan tuntutan agama seperti apabila terjadi kematian, masih ada orang yang meletak duri-duri tajam di bawah rumah pada tempat jenazah hendak dimandikan. Kenduri-kenduri arwah juga dilakukan mengikut hari-hari tertentu seperti hari ketujuh, hari keempat puluh dan hari keseratus. Malah dalam masa tujuh hari itu keluarga si mati akan mengadakan tahlil dengan menjamu tetamu dengan kuih-kuih seperti kuih apam bakar pada hari pertama, kedua dan ketiga, kerana waktu ini badan si mati akan mulai membengkak. Kuih serabai dijamu pada hari kelima, kononnya apabila masuk hari kelima, perut si mati akan pecah. Kuah kuih serabai itu melambangkan lendir perut si mati yang pecah.  Perkara-perkara seperti ini kalau diterapkan dalam karya dapat menimbulkan fungsi kesedaran budaya di samping menampakkan keunikan.


Persekitaran

Suasana dalam Rumah Tangga Sendiri
Ini termasuklah suasana yang melingkungi orang-orang yang terdekat dalam kehidupan harian seperti isteri suami, anak-anak dan ibu bapa. Mereka juga mampu mencetuskan ilham, idea, inspirasi dan sekaligus menjadi bahan untuk menulis. Walaupun orang-orang ini hanya terdiri daripada satu kelompok yang kecil namun pengaruh mereka dalam kehidupan si penulis atau pengarang sangat kuat disebabkan adanya hubungan yang rapat secara daging-darah. Pada saya, ibu saya adalah satu-satunya model yang unggul membawa peranan wanita atau wanita desa. Etika kerjanya sungguh mengagumkan sehingga jiran-jiran sering mengatakan ‘kalah babi tanah’ oleh ibu saya. Imej ‘babi tanah’  menggambarkan seorang yang sangat tekun bekerja siang malam. Babi tanah ialah sejenis haiwan seperti tikus Belanda yang bentuk badannya lebih besar daripada tikus mondok, tetapi lebih kecil daripada arnab. Haiwan ini suka memakan umbut rebung buluh yang baru hendak muncul. Dia akan bekerja siang malam mengorek perdu-perdu rumpun buluh untuk mencari umbut-umbut ini. Bunyi gigitannya jelas dapat di dengar berkeruk-kerik sekiranya kebetulan seseorang lalu berhampiran perdu rumpun buluh itu.
         
Walaupun ibu saya seorang wanita yang bersuami, tetapi dia seperti seorang ibu tunggal kerana bapa kami sering membuat kerja di tempat-tempat yang jauh, kadang-kala empat bulan baru balik sekali. Kakak saya Zainab yang berkelulusan Maktab Perguruan Durian Daun Melaka, pulang hanya waktu cuti, kemudian selepas menjadi guru, beliau menyewa rumah berhampiran sekolah tempat dia bertugas sebagai guru besar. Seorang anak saudara saya, Abdul Rahman yang bekerja menjual ikan di pasar Kota Bharu turut pulang sekali-sekala. Dengan itu ibulah yang menjadi ketua keluarga kami yang terdiri daripada kakak saya Rokiah dan anak saudara saya Aisyah. Inilah anggota keluarga yang tetap di dalam rumah kami. Mereka inilah yang seirng muncul dalam karya-karya saya dengan nama si Jenab, si Kiah, si Esah dan si Derani dalam cerpen Sampah-Sampah yang Hanyut, Anak-Anak Dari Kampung Pasir Pekan, Musim Kemarau Bulan Lima, Ketika Hari Masih Pagi, Fatamurgana I, Bulan Berlingkung di Pasir Pekan dan Pada Suatu Masa Dahulu.  Kehadiran orang-orang ini dalam persekitaran hidup saya ketika zaman kanak-kanak meninggalkan kesan yang sangat kuat dan mempengaruhi daya kreativiti, menimbulkan rasa nostalgik dan meninggalkan kenangan yang tidak pernah luntur, sentiasa segar dan mengasyikkan apabila mengingatinya sekali-sekala. Saya kira sebahagian besar daripada kita semua akan mengalami persekitaran yang serupa.

Jiran-Jiran
Sebahagian besar penulis atau pengarang hidup di dalam kawasan yang mempunyai jiran. Jiran-jiran ini juga dapat mencetuskan ilham, idea, inspirasi yang boleh dijadikan bahan karya. Hanyasanya penulis atau pengarang perlu memerhati, mengamati cara hidup, gaya hidup jiran-jiran ini. Jiran-jiran ini juga manusia yang serupa kehidupannya dengan ahli keluarga kita yang tertakluk kepada kepelbagaian tabiat, perilaku dan peribadi yang tersendiri. Pengaruh jiran-jiran juga boleh memberikan tekanan kepada diri penulis atau pengarang yang berkenaan. Walaupun katakan seorang penulis mengasingkan diri ke tempat yang terpencil, terjauh daripada gangguan jiran-jiran dan gangguan keluarga untuk berkarya,  namun bayangan mereka tetap akan wujud juga dalam proses pembentukan watak-watak. Seperti yang sudah disebutkan sebelum ini, Basho, seorang penyair Haiku Jepun membina pondok di dalam hutan dengan tujuan menjauhkan diri daripada keluarga untuk menulis puisi-puisi Haikunya. Namun dalam setiap baris haiku itu terkandung juga sifat manusia, hakikat kehidupan dan fakta-fakta tentang manusia yang pernah hadir dalam persekitaran hidupnya. 

Rakan-Rakan Sekerja
Ini satu lagi kelompok manusia yang mampu memantulkan kepelbagaian rancam kehidupan yang siap-sedia untuk digarap oleh para penulis dan para pengarang yang terlibat. Seperti anggota keluarga dan jiran-jiran, orang-orang ini juga mempunyai peribadi yang khas, gaya hidup yang berbeza, cara berfikir yang tidak sama antara satu dengan lain dan sudah tentulah segala perbezaan ini dapat diteliti oleh seorang penulis atau pengarang secara dekat. Tidak seperti anggota keluarga sendiri, rakan-rakan sekerja ini mempunyai latar belakang kehidupan yang berbeza. Sesetengahnya tanpa disedari oleh sesiapa, dia mempunyai latar belakang kehidupan yang aneh dan unik.


Hijrah, Mengembara dan Merantau

Dalam kehidupan tradisi orang-orang Melayu di Nusantara zaman dahulu terutama dalam adat Minangkabau, merantau adalah satu kewajipan bagi anak muda sebelum memasuki alam rumah tangga. Tradisi merantau bukanlah hanya untuk melatih diri hidup berdikari, belajar mengharungi susah senang kehidupan sebagai persediaan menjadi seorang lelaki, tetapi apa yang lebih penting lagi ialah mematangkan diri di samping membawa pulang pengalaman mengenal mata cupak mata dacing di tempat orang dan membawa pulang harta benda. Justeru apabila mereka pulang, mereka membawa pulang diri sebagai lelaki yang bakal menjadi ketua keluarga yang tidak akan menggantungkan hidup kepada keluarga daripada segi kewangan dan ketahanan diri secara fizikal dan mental.
             
Memang ramai pengarang terkenal yang melakukan perantauan, pengembaraan, hijrah dan ziarah ke merata tempat di seluruh dunia. Perantauan itu dilakukan samada disebabkan tugas seperti bekerja di tempat-tempat tersebut, mahupun sebagai pengembara ataupun pelancong. Joeseph Conrad seorang pengarang Inggeris menulis novel Lord Jim selepas datang merantau ke Persekutuan Tanah Melayu sekitar tahun 1950-an. Kemudian beliau merantau pula ke Afrika dan menulis novel Heart of the Darkness. Sekurang-kurangnya ada dua orang lagi pengarang Inggeris yang mengembara ke negara ini untuk mendapatkan bahan penulisan karya fiksyen mereka iaitu Sommerset Mougham yang menulis antologi cerpen dan Henri Fauconer yang menulis novel The Soul of Malaya.

Multatuli yang merantau ke Indonesia menulis Max Havelaar (1860), sebuah novel yang terkenal di dunia yang menaikkan nama pengarangnya Multatuli, nama samaran bagi Eduard Douwes (1820-1887) yang bermakna ‘aku yang banyak menderita.’ Karya ini mengupas dan menselusuri penderitaan orang-orang Jawa dan seluruh penduduk wilayah Hindia Belanda dalam kurun ke-19. Sebagai seorang anak penjajah Belanda, Multatuli didatangkan ke wilayah Hindia Belanda sebagai pentadbir. Jiwa kemanusiaannya tersentuh dengan penderitaan orang-orang tempatan akibat kekejaman bangsanya sendiri, Belanda. Keprihatinan ini semuanya dicurahkan dalam novel Max Havelaar ini.
           
Peral S.Buck (1892-1973), salah seorang pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan banyak menulis karya fiksyen yang berlatar-belakangkan negara Cina dan Jepun seperti novelnya yang jadi karya agung The Good Earth dan The Hidden Flower. Novel The Good Earth (1931) memperkatakan kehidupan petani di negara Cina dalam era sebelum revolusi hingga bermula revolusi. Sementara The Hidden Flower memperkatakan hubungan cinta antara wanita Jepun dengan seorang tentera Amrika yang ditempatkan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua. Bahan-bahan untuk kedua-dua karya ini ditimba oleh Pearl S. Buck semasa mengikut ayahnya yang menjadi seorang mubaligh Kristian pada waktu itu.
         
Seorang lagi pengarang Amerika yang mendapat Hadiah Nobel Kesusasteraan ialah Ernest Hemmingway melalui karyanya The Old Man And The Sea. Novel ini ditulis berlatarkan kehidupan seorang nelayan bangsa Cuba. Namun, melalui lintasan-lintasan arus kesedaran atau stream of consciousness, dimasukkan juga tentang latar kehidupan di Afrika. Bahan-bahan seperti ini, tidak akan dapat dimasukkan ke dalam karya sekiranya Hemmingway tidak mengembara ke negara-negara berkenaan. Memang tidak ramai para penulis kreatif di negara ini yang berjaya menulis karya kreatif hasil daripada pengembaraan mereka. Kalau ada pun hanya seorang dua seperti Muhammad Haji Salleh dan A. Latiff Mohidin.

A.Samad Said juga pernah melakukan pengembaraan ke negara-negara di Eropah, tetapi karyanya yang terhasil daripada pengembaraan ini ialah karya yang berbentuk memoir, catitan perjalanannya yang terkandung dalam buku Warkah Eropah. Sudah tentulah pengarang Melayu yang pertama menulis karya fiksyen hasil daripada keperantauannya menuntut ilmu di Timur Tengah ialah Syed Sheikh Al-Hadi yang dengannya berjaya menulis novel saduran Hikayat Faridah Hanum (1925). Novel ini hanya ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu, tetapi orang-orang yang menjadi fokus dalam novel ini serta kehidupan tradisi serta masyarakatnya terdiri daripada tradisi kehidupan masyarakat orang-orang Timur Tengah. 
           
Mengapa para penulis kreatif digesa untuk melakukan perkara seperti ini? Sekali lagi diulangi peribahasa ‘Jauh berjalan banyak pemandangan, lama hidup banyak dirasa.’ Justeru kepentingan pertama ialah para penulis kreatif sangat memerlukan pendedahan ‘exposer’, supaya tidak menjadi katak di bawah tempurung. Kedua, ada perkara-perkara yang kita tidak pernah menyedarinya ketika kita berada dekat dengannya, tetapi kita akan menyedarinya selepas berada berjauhan darinya. Saya akui akan kebenaran ini. Ketika saya tinggal di Kelantan, saya hanya merasa kegembiraan berada di tengah keluarga, sering berjumpa dan berkumpul dengan adik beradik, sanak saudara dan sering menziarahi kaum keluarga yang jauh-jauh.
Kalau terasa hendak melihat sawah, berjalan sahaja ke pinggir kampung sudah nampak sawah. Kalau terasa hendak melihat kebun getah, keluar sahaja ke belakang rumah, sudah ada kebun getah. Kalau terasa hendak merayap di dalam kampung untuk menghilangkan rasa rimas sewaktu tengahari, keluar sahaja dari rumah, kaki sudah boleh menyepak ranting-ranting kayu yang jatuh di tepi-tepi jalan dan memijak daun-daun kering yang berlambak di atas jalan. Akan tetapi apabila saya berada di Pulau Pinang, segala-galanya sudah berada jauh dari saya. Rasa rindukan kegembiraan itu memantulkan nostalgia yang sungguh menyayukan yang memunculkan kenangan dan ingatan sepanjang waktu malah turut menjelma dalam mimpi.

Kehadiran orang-orang yang pernah bergaul hidup dengan saya di Kelantan, suasana persekitaran, keadaan alam dengan flora dan faunanya, selalu tertayang dalam kenangan yang mengasyikkan. Lalu apabila semuanya ditulis untuk dijadikan sebuah karya fiksyen, ia mengalir tidak henti-hentinya. Saya yakin, dengan melakukan hijrah, perantauan dan pengembaraan, kita akan menyedari betapa banyaknya bahan, idea, ilham, inspirasi yang boleh ditimba di alam semesta ciptaan Allah SWT yang maha saujana ini.
 

Alam Ciptaan Tuhan

Biasanya orang mengatakan alam semula jadi. Namun daripada segi logiknya alam tidak boleh terjadi dengan sendirinya melainkan diciptakan. Dan yang menciptakan alam ini bukan manusia, kerana manusia tidak berkudrat untuk menciptanya melainkan Tuhan, Allah SWT. Justeru setiap yang diciptakan oleh manusia, hanyalah peniruan yang terilham dan diinspirasikan daripada ciptaan yang telah tersedia ada ini. 

Bagi orang-orang yang beragama Islam, mereka perlu melihat alam ciptaan Tuhan ini sebagai satu tanda kebesaran Allah SWT. Banyak keajaiban alam ini yang menimbulkan kekaguman kepada setiap pemerhatinya. Sesetengahnya menyimpan misteri yang tidak dapat dihuraikan hingga ke waktu ini, seperti Segitiga Bermuda. Demikian juga tidak ada siapa yang dapat menghitung dengan tepat berapa banyakkah jumlah bintang yang bertaburan di langit pada waktu malam, berapa banyakkah jumlah pokok yang tumbuh di muka bumi, berapa banyakkah jenis pokok-pokok itu. Dan tidak ada siapa yang mengetahui mengapa setiap jenis pokok itu mengeluarkan bunga dan buah yang berbeza-beza daripada segi saiz, warna, bau, rasa dan bentuknya.

Dalam al-Quran al-Karim, Allah SWT berkali-kali memperingatkan supaya manusia yang berakal merenungi segala kejadian penciptaan ini yang menunjukkan tanda kebesaran, kebijaksanaan, kekuasaan dan keagungan Allah SWT yang maha di atas segala maha. Justeru mengapa kita sebagai penulis atau pengarang yang berakal tidak boleh, tidak mampu merenungi segala keajaiban dan kejadian alam semesta ini bagi mengilhamkan karya-karya kita? Habitat asal alam itu sendiri mampu melantunkan sumber ilham, idea, bahan dan inspirasi yang banyak kepada penulis atau pengarang dan para ahli seni yang lain. Kata Plato art imitate nature, yakni setiap meja yang dibuat oleh tukang kayu diinspirasikan oleh meja yang sedia ada. Antara kepentingan alam dalam karya ialah:

Flora dan Fauna
Penampilan unsur flora dan fauna dalam karya adalah sebagai solekan terhadap seorang gadis. Ia menambahkan seri dan keindahan karya. Ia akan membantu suasana persekitaran, mengembangkan plot, membentuk perwatakan, menghidupkan suasana dan khasnya sebagai penandaan lokasi dan latar tempat. Bagaimana unsur flora dan fauna dapat mewujudkan suasana persekitaran?  Seseorang tentu terfikir, kalau persekitaran dalam karya terletak di sebuah kota, mana ada sangkut-paut dengan flora dan fauna. Kalau anda seorang yang peka, burung layang-layang, merpati, gagak, tikus, anjing, kucing adalah antara fauna kota yang tersebati turun temurun. Pokok-pokok perhiasan seperti jenis pinang ataupun palma, pokok-pokok yang sengaja ditanam untuk dijadikan peneduh dan peredup persekitaran, pokok-pokok bunga di dalam taman, semuanya adalah flora.Pada waktu malam, ketika bunyi kenderaan sudah reda, gagak masih berkokok di sana sini. 
           
Tentang persekitaran kampung, desa dan luar bandar, tentulah tumbuh-tumbuhan dan faunanya juga berbeza. Di persekitaran desa, pokok peneduh, biasanya terdiri daripada pokok-pokok buah-buahan yang ditanam di halaman rumah. Halaman rumah sering di kelilingi pokok-pokok pisang yang pada waktu senja kelawar-kelawar akan keluar berterbangan daripada pucuk-pucuk pisang yang masih bergulung.

Demikian juga sekiranya datang musim durian berbunga dan rambutan berbuah, beratus-ratus ekor keluang terbang dalam satu kumpulan yang besar terbang berarak beramai-ramai pada waktu senja yang menimbulkan panorama indah dengan garis-garis lenggokan hitam di langit. Keluang-keluang ini akan turun mengerumuni pokok-pokok durian yang berbunga untuk memakan bunga-bunga durian dan mengerumuni pohon-pohon rambutan untuk memakan buah-buah rambutan dengan bunyi yang sangat bising tercerit-cerit. Kadangkala pada malam yang senyap dan diam, terdengar secara tiba-tiba musang menangis dan belalang rusa berkokok tercering-cering hanya beberapa langkah dari tangga rumah. Kehadiran sumber flora dan fauna begini dalam karya akan menjadi nadi yang mendenyutkan karya.


Nilai Estetika
Apakah ertinya sebuah karya kreatif tanpa nilai estetik? Kalau diibaratkan kepada sebiji limau, ia tidak bersari lagi, seperti jusnya sudah diperah keluar. Hanya kulitnya saja yang tinggal kelihatan warna jingga dan segar. Penampilan unsur flora dan fauna dalam sebuah karya samalah dengan memasukkan rempah ratus dalam masakan supaya masakan tidak rasa tawar hambar.               

Flora dan fauna itu sendiri bersifat indah daripada segi bentuk, warna, tabiat dan ciri-ciri survival. Karya yang mendekati alam, mentransformkannya melalui berbagai-bagai kaedah adalah karya-karya yang hidup, yang ada movement dan mempunyai nilai seni yang tinggi dan evergreen sebagaimana kehidupan flora dan fauna itu sendiri. 
           
Pernahkah anda membaca karya-karya dari negara-negara yang bermusim seperti musim panas, musim bunga, musim luruh dan musim dingin? Negara-negara bermusim bukan hanya terdapat di Amerika Syarikat, Eropah dan bahagian utara Benua Asia, tetapi ia juga terdapat di sebahagian negara Cina, Jepun dan Korea. Kalau kebetulan kita membaca karya-karya yang dihasilkan oleh para penulis dari negara-negara bermusim ini, mereka tidak pernah lupa menerapkan musim-musim ini dalam karya mereka sebagai latar peristiwa, latar suasana dan untuk tujuan pengembangan cerita dan plot.

Demikian juga kalau membaca karya-karya dari negara yang berada di dalam kawasan berhawa panas, dengan gurun yang saujana dan pasir yang kering. Pemandangan di sini tentu berbeza dengan pemandangan di tempat negara-negara berhawa dingin dan berhawa sederhana. Memang Malaysia tidak mempunyai musim-musim begitu kerana terletak di dalam kawasan Tropika, Khatulistiwa. Akan tetapi bukankah kita sering berhadapan dengan musim tengkujuh, banjir, hujan lebat, panas, kemarau dan kering? Tidakkah fenomena-fenomena alam ini memberikan sedikit kesan kepada daya kreativiti anda? Adakah kerana fenomena-fenomena alam yang terjadi di negara kita ini sering diasosiasikan dengan bencana, malapetaka dan kesusahan, lalu kita tidak menyukainya? Mungkin juga begitu.
           
Namun bagi saya, fenomena-fenomena alam ini walaupun pembawa bencana, pembawa malapetaka, ia tetap mempunyai keajaiban yang menampilkan nilai-nilai estetik dalam karya. Justeru itu sebahagian besar karya saya bergantung hidup kepada fenomena-fenomena alam ini, tidak kira sama ada banjir yang mengorbankan kanak-kanak dalam Sampah-Sampah yang Hanyut, saringan hidup di kampung yang sederhana dalam Anak-Anak Dari Kampung Pasir Pekan, Bunga-Bunga Pulau, Ketika Hari Masih Pagi, Cincin, Anak Bumi Tercinta, Fatamurgana I, Musim Kemarau Bulan Lima, Mempelai, Bulan Berlingkung di Pasir Pekan, Pada Suatu Masa Dahulu, Nasinya Tumpah dan dalam suasana kehidupan kota seperti dalam Apa Ada di Sana, Melihat Hujan dan Kekasih Muharam. Malah fenomena alam ini juga turut berfungsi dalam cerpen-cerpen saya yang berunsur absurd seperti Embun Yang Kering, Al-Amin, Al-Isra’, Lagenda Kelopak Bakawali, Tolol Si Tolol, Mahar Asmara dan Al-Kisah Ceritera Yang Kesembilan. Saya berpendapat adalah satu kerugian kalau seorang penulis kreatif tidak dapat memanfaatkan kewujudan alam ciptaan Tuhan ini ke dalam karya mereka.


Falsafah  
Saya masih ingat tentang seorang pensyarah bahasa Korea di Universiti Sains Malaysia ketika saya menjadi pelajar dahulu. Beliau menghasilkan sebuah antologi sajak berjudul Dua Helai Daun Pada Satu Pohon Tidak Pernah Bersua. Puas saya cuba meneliti apakah maksud tersirat di sebalik judul yang aneh ini. Selepas mengetahui serba sedikit tentang latar belakangnya, barulah saya sedar bahawa ada beribu-ribu helai daun pada sepohon pokok. Namun berapa helaikah antara daun itu dapat bersua dengan daun yang lain walaupun mereka ada di atas sebatang pokok yang sama? Ia seperti rangkai kata yang berbunyi so near and yet so far.
           
Mungkin daun-daun itu hanya akan bertemu selepas pokok berkenaan tumbang dan daunnya tindih-menindih menghempap bumi, ertinya daun-daun ini hanya akan bertemu selepas mengalami dan melalui bencana dan malapetaka. Akan tetapi apa akan jadi kalau pokok itu tidak tumbang-tumbang sehingga daun-daun berkenaan akan mengalami proses putaran alam menjadi tua, kering keperangan dan gugur ke bumi dan hanya akan bersua antara satu dengan lain selepas daun-daun itu kering dan mati. Dan pada tempatnya akan tumbuh daun-daun yang baru yang bakal mengalami proses putaran alam yang sama. Memang daripada segi kepercayaan agama Buddha, kehidupan di dunia pertama akan bersambung ke kehidupan di dunia kedua yang sering dirujukkan sebagai Zaman Keemasan (Golden Age). Inilah takrif dari pertemuan dan kebersamaan dua helai daun setelah kering dan mati.
           
Penampilan keagamaan ini adalah salah satu ibarat bagaimana ketajaman persepsi seorang penulis kreatif memanfaatkan keajaiban alam ini untuk dijadikan sebagai sebahagian falsafah hidup manusia. Bahawa ada dua manusia yang melalui takdir masing-masing hidup dalam satu kelompok atau lingkungan yang kecil dan saling menyukai akan tetapi terlarang dari hidup bersama, serta tidak mungkin akan mendapat peluang untuk hidup bersama, melainkan selepas berlaku kematian yang membebaskan mereka dari segala larangan dan kongkongan.
           
Masih tentang daun-daun pada pokok, berapa orangkah antara kita yang memerhatikan proses kitaran daun pada satu-satu pokok? Pernahkah anda melihat bagaimana kemunculan daun-daun? Tentulah ia bermula dari pucuk yang sangat lembut dan kecil berwarna keperangan ataupun keunguan pada hujung ranting. Lama-lama pucuk-pucuk ini akan berubah warna menjadi hijau muda, kemudian berubah lagi menjadi hijau tua. Bila sudah sampai waktu tua, daun ini bertukar warna jadi kuning tua dan perang dan akhir sekali gugur melayang menjadi daun kering jatuh ke atas bumi.

Di samping itu ada juga pucuk-pucuk yang masih lembut, daun-daun yang masih hijau muda dan masih hijau tua yang gugur ke bumi sebelum tiba waktu tua dan kekeringan. Tidakkah kita juga sebagai manusia melalui proses kehidupan yang serupa dengan tabiat daun-daun ini? Daun-daun ini juga sewaktu berada di dahan-dahan dan di ranting-ranting yang tinggi kelihatan terlalu megah disanjung angin melambai-lambai dan bergerak lenggang-lenggok. Akan tetapi apabila jatuh ke bumi sama ada secara tabii kerana tua ataupun kerana dipulas ribut, ke manakah perginya segala kemegahan dan sanjungan itu? Tidakkah ia nanti menjadi sehelai daun kering yang mengotorkan bumi sebagai sampah-sarap? Mungkin kalau daun kering ini bernasib baik pokoknya tumbuh di dalam rimba, ia akan menjadi reput untuk membajakan bumi bagi tumbuhan yang lain. Akan tetapi kalau pokoknya tumbuh di dalam kawasan perumahan, daun-daun kering akan disapu dan dibuang ke tempat pelupusan sampah bersama bahan-bahan reput dan busuk yang lain. Dan tidak mustahil air hujan akan menyerapkan bahan berkimia atau mungkin juga bahan beracun bertoksid hasil kereputan dan kebusukan ini ke dalam sumber saliran di bawah tanah yang bakal dibekalkan kepada manusia!
           
Ketika menjadi pelajar USM dahulu saya pernah mengambil kertas bertajuk Classical Tradition yang membincangkan karya-karya klasik Timur dan Barat. Ada sebuah puisi klasik zaman Late Tang yang terjemahannya berjudul The Tree yang sangat unik. Ia adalah tentang pokok yang melambangkan ajaran Taoisme. Bahawa sebatang pokok yang ditakdirkan berkategori baik walaupun batangnya sudah renggeh, namun ia masih tetap berguna untuk makhluk-makhluk tertentu seperti katak akan membuat lubang untuk berlindung di pangkalnya, mergastua yang terbang akan hinggap berhenti rehat pada ranting dan dahannya. Dan apabila pokok ini tumbang, dapat pula dijadikan kayu api untuk memasak makanan dan sebagai alat pendiang memanaskan badan. Jadi kematian sebatang pokok yang baik bukanlah secara sia-sia reput menjadi tanah.
Kalau kita menghalakan pula pandangan ke arah sungai, batu-batan, laut, pantai, gunung-ganang, langit, awan, hujan dan semua kejadian dalam alam ini, semuanya akan berselarian dengan takrif falsafah hidup manusia. Lihat saja sungai-sungai kecil di hulu-hulu negeri, mengalir di antara hutan rimba, perlahan dan lemah. Namun selepas bertemu dengan beberapa cabang anak sungai yang lain, sungai-sungai ini membentuk sebuah sungai yang besar dengan aliran yang deras dan kencang, membentuk jeram dan air terjun berhambatan menuju lautan. Pada peringkat ini alirannya tidak dapat dibendungi lagi.
         
Ishak Haji Muhammad menjadikan falsafah kejadian batu-batan sebagai satu kias kepada kehidupan manusia dalam novelnya Anak Mat Lela Gila. Falsafah hidup yang mudah menerusi bentuk batu-batu yang bulat disamakan dengan perjalanan wiranya yang turut dinamakan Bulat. Muhammad Haji Salleh, ketika berada di USA menghasilkan sebuah puisi yang berjudul Batu-Batu. Namun puisi ini sebenarnya mengkiaskan susun lapis batu-batu yang terdapat di merata sungai dan air terjun ini adalah sebagai susun lapis, hierarki kehidupan masyarakat manusia itu sendiri. 
         
Semua fenomena alam ini memantulkan tafsiran dan iktibar kepada manusia yang mahu memerhatikannya. Kalau ada penulis atau pengarang yang pernah membaca sajak-sajak A. Latiff Mohidin yang terkumpul dalam antologi Sungai Mekong, tentulah mereka masih ingat bagaimana banyaknya kehidupan flora dan fauna ini digarap oleh Latiff dalam sajak-sajaknya seperti sajak yang berjudul Serigala, Cinta Kembara Sotong Tua, Kepada Kura-Kura, Banjir dan Sungai Mekong. Demikian juga kalau ada antara para penulis yang pernah membaca sajak-sajak W. S. Rendra seperti Masmur Mawar, Nyanyian Angsa dan Masmur Pagi. Semuanya memantulkan kehadiran alam ciptaan Tuhan yang berinteraksi dengan manusia. Para seniman Cina, Jepun dan Korea sering menjadikan alam sebagai salah satu faktor utama dalam karya seni mereka. Dalam lukisan, dalam pengarcaan dan ukiran, malah dalam penulisan, objek-objek seperti hutan, salji, hujan, awan, lautan, pulau, gunung, singa, harimau, burung dan kuda akan selalu tertampil dalam karya-karya mereka sama ada secara unsur biasa atau berfungsi perlambangan dan penerapan unsur falsafah seperti dalam rangkai kata Sepenuh-penuh gunung, masakan tidak muat untuk seekor singa.

Justeru itu para penulis atau pengarang yang mahu menghasilkan karya yang memberikan kupasan tentang kehidupan ini, cubalah membuat pentafsiran terhadap kejadian-kejadian alam yang ajaib ini. Cubalah berdialog dengan alam, berinteraksi dengannya, perhatikan tabiat dan kehidupannya, tirulah segala proses kehidupannya. Antara falsafah hidup yang sering diasosiasikan dengan alam ialah;
Sungai: Perjalanan kehidupan ke satu arah, ke titik akhir, kematian.
Laut/lautan: Kehidupan ini tidak pernah tenteram.
Ombak: Dugaan dan ujian takdir.
Pantai: Kehidupan yang sering diambil kesempatan oleh orang lain.         
Pulau: 1.Matlamat impian, 2. Keterasingan, kesendirian, kesepian.
Buih: Kemelaratan, tidak ada matlamat hidup.
Gunung/singa: Keagungan/keangkuhan.
Merpati putih: Kebebasan dan keamanan.
Awan mendung: Kemurungan hidup.
Dinihari: Permulaan kehidupan.
Senja: Akhir usia, tua, menuju kematian.
Malam: Kematian.
Bintang: Pencapaian segala kepuasan hidup.
Gerhana: Kemurungan hidup, musibat.         
Gerimis: Kedukaan, kemurungan.
Pelangi: Keceriaan, kesemarakan.


Kesedaran Budaya

Mungkin ada para penulis kreatif di Malaysia yang tidak menyedari alam juga menjadi satu alat untuk menampilkan kesedaran budaya sekaligus mempamerkan tradisi sesuatu bangsa. Sedangkan hakikat ini sudah menjadi akar tunjang dan nadi dalam karya-karya penulis kreatif di seluruh dunia. Tentu kita sering menonton filem-filem seram dari Hollywood seperti siri filem Dracula, Vampire, Elm Street, Exorcise, malah drama bersiri X-Files. Suasana hutan berpaya, pokok-pokok renggeh dengan ranting bercerancangan mencakar angkasa dan malam yang berkabus selalunya digunakan untuk menimbulkkan suasana seram yang menghubungkan dengan penjelmaan makhluk-makhluk misteri, mayat-mayat yang hidup semula, pembunuhan ngeri di luar perikemanusiaan dan berbagai-bagai peristiwa misteri yang lain.

Pembentangan begini sengaja ditampilkan kerana ia sudah menjadi satu kepercayaan, dongengan dalam budaya masyarakat orang-orang Barat. A. Samad Said turut menggunakan unsur alam yang membawa kesuraman dan keseraman dalam karyanya Daerah Zeni. Bomoh Sakinah meninggalkan ‘pusaka’ amalan perbomohannya yang apabila dibuka, melancar keluar beberapa ekor lipan bara yang besar berwarna merah menyala. Pada satu bahagian, terdapat pemandangan waktu malam di sebuah jambatan kecil bekas terbakar, dengan keadaan hutan yang gelap dan seram dan jelmaan lembaga berbentuk torso.
         
Ahmad Tohari menampilkan sebahagian besar unsur alam dalam novel triloginya Ronggeng Dukuh Paruk, Lintang Kemukus Dinihari dan Jentera Bianglala. Dalam karya ini didapati pada setiap pergerakan watak, pertukaran dan peralihan peristiwa dan jalan cerita ada perkaitan yang rapat dengan unsur alam yang menjadi tradisi kehidupan warga Dukuh Paruk. Kepercayaan mereka, pantang-larang dan nasib yang datang, semuanya dikaitkan dengan kehadiran fenomena alam. Ketika protagonisnya, si gadis sunti Srintil mula diserapi endang ronggeng, yakni menunjukkan bakat seni ronggeng-nya, dia digambarkan duduk di bawah bayang pokok rambai pada satu tengah hari. Sehelai daun rambai diselitkan di kepala sebagai mahkota. Bayang dan daun rambai adalah lambang penyerapan alam ke dalam diri Srintil yang membantunya muncul sebagai seorang penari ronggeng yang berbakat alam, luar biasa bukan sahaja di sekitar desanya Dukuh Paruk, malah sampai ke desa-desa yang lain.

Satu lagi peristiwa yang dihubungkan bagaimana pentingnya fungsi alam dalam kehidupan warga Dukuh Paruk ialah tentang petanda-petanda dan bayangan akan datang kepada kemunculan malapetaka, yakni imbas muka kepada satu tragedi yang bakal berlaku. Perhatikan salah satu petikan berikut:
Beberapa hari sebelum terjadi malapetaka itu terlihat berbagai petanda. Pancuran di Dukuh Paruk mengeluarkan air yang berbau busuk. Pohon-pohon puring diperkuburan melayu, tetapi pohon-pohon kemboja malah berbunga, meskipun bukan waktunya. Anjing-anjing berdatangan ke Dukuh Paruk. Anjing-anjing jantan berebut betina di dalam kegaduhan yang mengerikan.Burung-burung kedasih berbunyi sejak malam tiba hingga terbit fajar. (Hal.54)

Penampilan seperti ini hanya dapat dilakukan oleh seorang penulis kreatif melalui pengamatan yang sangat teliti, pemerhatian yang memakan masa yang lama, mungkin turun temurun dan ketepatan persepsi serta ketajaman daya sensitiviti. Pembentangan Ahmad Tohari ini mengembalikan ingatan saya kepada satu malapetaka yang melanda penduduk kampung kami sekitar tahun 1952, iaitu wabak taun. Pada setiap keluarga terjadi kematian tidak kurang dari dua tiga orang. Ada juga keluarga yang hanya tinggal sebatang kara. Emak dan ayah saya menziarahi semua orang yang meninggal ini dan menghitung satu lepas satu angka kematian hingga meningkat ke angka dua puluh tiga orang semuanya.     
Seminggu sebelum wabak taun ini bermula, satu-satunya bidan yang penting di kampung kami dan kampung-kampung sekitar kerana kebolehannya menangani kes-kes orang bersalin yang aneh, Allahyarhamah makcik Cik Embung, bermimpi melihat satu rombongan lelaki dan perempuan yang tidak dikenali datang beramai-ramai membawa tikar yang digulung dengan bantal dan dikepit di bawah ketiak dan ada yang menjunjungnya, memasuki kampung kami. Selain itu, gagak-gagak datang entah dari mana berkerumun begitu ramai dengan suara bising sampai larut malam.
Pada setiap malam juga terdengar buluh pecah belempung dari rumpun-rumpun buluh berhampiran kawasan perkuburan yang akan mengebumikan jenazah keesokannya. Burung-burung hantu masuk ke bawah rumah pada setiap malam untuk memakan tahi ayam dan kemudian berkokok seperti orang mengoyak kain di atas pokok berhampiran rumah orang yang akan meninggal dunia yang menyeramkan bulu roma. Selepas wabak itu berhenti, bidan makcik Cik Embung sekali lagi bermimpi rombongan orang lelaki dan perempuan yang datang ke kampung kami dahulu, berjalan berjujut-jujut meniti batas bendang menuju jalan raya menjunjung dan mengilik tikar gulung dan bantal.
         
Di sini, kita perlu juga menyedari bahawa sebarang penyakit, wabak, kematian adalah fenomena-fenomena alam yang berkait rapat dengan kepercayaan tradisi dan cara hidup masyarakat Melayu. Tradisi ini tidak kira di mana jua, dari serendah-rendah kehidupan rakyat jelata yang miskin di ulu negeri hinggalah kepada golongan istana yang tinggal di kota-kota besar. Kalau ada antara kita yang masih ingat tentang filem Ranjau Sepanjang Jalan, tentu tidak lupa dengan misteri kematian Lahuma yang dipegang oleh pelakon Ahmad Mahmud. Namun seperti dalam karya asal yang diadaptasinya Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, filem ini tidak menampakkan apa-apa perbezaan. Akan tetapi apabila saya menonton filem Ranjau Sepanjang Jalan versi Kemboja yang dibuat dan diterbitkan oleh sebuah syarikat perfileman Peranchis, ternyata ianya lebih menarik dan lebih masuk akal. Umpamanya sebelum Lahuma mati, ada burung hantu berkokok berhampiran rumah mereka. Jeha terus turun dari rumah memarahi burung ini dan menghalaunya pergi. Selepas Lahuma mati, anak-anaknya terpaksa menjalani upacara perkabungan dengan mencukur kepala. Malah dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan itu sendiri, suasana kedatangan ajal di rumah Lahuma dipenuhi dengan ‘gebeng’ gelak tertawa Tuk Penghulu dengan traktornya.
Saya sangat kesal dengan sikap Jeha yang turut hadir mendengar orang bergebeng di luar sedang di dalam bilik Lahuma sudah berada di penghujung detik nazak. Jeha sepatutnya tidak berkalih lagi dari telinga Lahuma untuk mengajar mengucap dan mengingati Allah. Dulu-dulu saya sering bertanya apakah perlunya Jeha dieksploitasikan menjadi sejahil itu. Ambillah masa mengkaji segala mitos, dongeng, lagenda malah pepatah, peribahasa dan simpulan bahasa yang berkaitan dengan alam ini. Pernahkah anda mendengar mitos tentang Burung Garuda yang bersarang di atas pokok pauh yang tumbuh di tengah Pusat Tasik Pauh Janggi? Pernah anda mendengar cerita Batu Belah Batu Bertangkup? Pulau Dayang Bunting? Puteri Lindungan Bulan? Carilah sebab-sebab mengapa munculnya segala perkara berkenaan. Jadikan diri sejenak sebagai orang-orang dahulu kala yang mengajar diri mereka menjadi bijaksana dengan pengamatan dan pemerhatian. Mengapa timbul peribahasa seperti Terdengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan ataupun, Harapkan pagar, pagar makan padi ataupun, Bergalah ke hilir tertawa buaya, bersuluh di bulan terang tertawa harimau ataupun, Takkan pisang berbuah dua kali dan beribu-ribu peribahasa lagi. 


Misteri dan Keajaiban
   
Elemen-elemen alam yang berlaku juga boleh memberikan idea untuk mengembangkan plot, jalan cerita dan membuat pengakhiran. Fenomena alam seperti ribut, hujan, petir, banjir, tanah runtuh, runtuhan salji, gempa bumi, taufan, angin puting beliung, letupan gunung berapi, pasir atau lumpur jerlus, gerhana, hujan, panas, kemarau gigitan binatang berbisa, semuanya membantu penulis mendapatkan sebab dan akibat secara langsung untuk mengembang-kan karya. Hanyasanya pengambilan dari fenomena alam seperti ini perlu ditangani dengan bijak, masuk akal dan munasabah.
           
Lazimnya tujuan asal para penulis kreatif mengambil malapetaka alam ini sebagai satu resolusi mudah untuk menamatkan cerita seperti hendak mematikan seorang penjarah atau antagonis yang sering diistilahkan sebagai deus ex machina, (membuat penyelesaian dengan menggunakan kuasa mesin). Ada juga yang menggunakannya sebagai satu cara mudah untuk mentiadakan salah-seorang watak yang terlibat dengan cinta tiga segi. Namun dalam skop yang lebih luas, segala fenomeno alam ini sangat berguna untuk dijadikan bahan, idea, ilham dan inspirasi dalam karya yang semata-mata berpusat kepada fenomena-fenomena tersebut. Segala fenomena ini hanya perlu dimanipulasikan oleh para penulis kreatif dalam karya mereka. Allah SWT menjadikan alam ini penuh dengan unsur misteri. Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat mengetahui segala-galanya. Waktu kecil-kecil dahulu saya selalu tertanya-tanya dari manakah datangnya bunyi guruh dan petir yang kuat ini. Bila cikgu beritahu bunyi yang kuat itu hasil dari kumpulan-kumpulan awan tebal yang berantakan, saya tidak dapat menerimanya kerana awan-awan itu hanya seperti debu ataupun asap, bagaimana boleh mengeluarkan bunyi sekuat itu apabila bertembungan, lainlah kalau awan itu seperti batu ataupun besi.
Dan apabila saya membaca cerita-cerita klasik, saya selalu berjumpa dengan dunia kayangan, dunia keinderaan tempat tinggal segala dewa dan dewi. Kalau ada anak buahnya turun bermain-main ke bumi dan jatuh cinta dengan manusia di bumi, mereka sering bercitakan, yakni memusatkan ingatan pada ayah bonda di kayangan atau keinderaan minta pertolongan. Siapa sebenarnya yang mula-mula mereka-reka tentang dunia kayangan atau keinderaan ini? Bagaimana para pengarang karya-karya klasik dahulu-kala mendapat idea, ilham, inspirasi membentuk dunia kayanganaatau keinderaan ini? Dari manakah datangnya idea para pengarang ini membentuk watak burung geruda yang apabila terbang sayapnya melindungi sebelah langit? Itu hanyalah sebahagian kecil pertanyaan yang muncul dalam fikiran saya waktu itu. Tentu ramai penulis kreatif tertanya-tanya seperti saya tentang 1001 macam keajaiban atau misteri alam.
Kecendekiawanan masyarakat dahulu kala bukan hanya terletak pada daya imaginasi dan rangsangan fantasi yang kuat, tetapi termasuk juga kesan sensitiviti, daya pengamatan dan kepekaan seterusnya sifat kepedulian yang luar biasa tentang alam. Mereka mengikuti peredaran waktu menerusi pergerakan matahari, bulan dan bintang. Mereka menggunakan petunjuk dan alamat malah arah Qiblat melalui kedudukan bintang-bintang. Dengan ketiadaan kalendar dan takwim, mereka dapat menjelaskan hitungan hari-hari yang telah dilalui di dalam sebulan dengan hanya melihat bentuk anak bulan, bulan penuh dan seterusnya. Waktu saya kecil dahulu, ketika hendak menyediakan makan sahur pada bulan Ramadhan, emak sering mendongak ke langit sebelah timur melihat kedudukan bintang timur yang besar dan cerah bagi memastikan waktu. Para nelayan yang berada di tengah-tengah lautan pada waktu dinihari, mereka hanya perpandukan Bintang Belatik sebagai arah Qiblat, iaitu sekelompok empat biji bintang, tiga biji berbaris lurus menghadap ke arah matahari jatuh dan sebiji lagi berada arah ke kanan, bersiku 90 darjah bertentangan dengan bintang yang di belakang sekali.
Demikian juga dengan pemerhatian terhadap kejadian-kejadian tertentu umpamanya kalau ada sebiji bintang yang kedudukannya sangat hampir dengan salah satu hujung bulan ketika bukan berkeadaan bulan sabit, ia mengalamatkan ada orang yang akan mati akibat ditanduk oleh lembu atau kerbau yang bengkeng. Ada beberapa orang tua di kampung saya memberitahu bahawa sebelum berlaku serangan tentera Jepun di Kota Baharu, mereka melihat sebiji bintang telah melintasi bulan yang penuh purnama. Mereka menganggap kejadian ini sebagai peristiwa ‘bintang dimakan bulan.’ Dengan pemerhatian dan penelitian ini juga mereka menentukan alamat-alamat dan tanda-tanda putaran waktu dan masa. Sebagai contoh perhatikan bagaimana deskripsi yang dibuat bagi menggambarkan hari akan siang yang sering muncul di dalam cerita-cerita hikayat khasnya cerita-cerita pelipu

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024