Artikel

Bakat

oleh Helmi pada 31 Aug 2004

Perkataan yang membawa makna kebolehan dan kepandaian yang ada pada diri seseorang secara semula jadi yang berupaya melahirkan sesuatu yang mempunyai nilai seni. Kebolehan melahirkan sesuatu itu merangkumi daripada serumit-rumit bidang membuat reka bentuk bangunan yakni seni bina, merekabentuk kenderaan di laut, di darat dan di udara, hinggalah kepada mereka alat-alat rumah dan pakaian serta berbagai-bagai aspek seni yang tergolong dalam bidang seni tampak, seni lakon seni tari seni muzik dan seni penulisan.   

Orang yang mempunyai bakat akan dirujuk sebagai ‘orang yang berbakat.’ Sekiranya bakatnya itu menjadikan orang itu dikenali ramai atau mencapai tahap keagungan lazimnya dirujuk sebagai ‘orang yang berbakat besar.’ 
   
Bangunan piramid di Mesir, Taj Mahal di India, Candi Borobudur di Indonesia dan beribu buah bangunan tinggalan zaman silam yang mengagumkan di serata pelusok dunia adalah dibina berdasarkan pelan-pelan binaan jurubina yang berbakat besar. Demikian juga dengan berbagai-bagai hasil seni yang lain seperti senilukis, seniarca dan seniukir, semuanya memerlukan bakat dan daya kreativiti yang tinggi. Leonardo da Vinci, Vincent Van Gogh, Michealanglo dan Piccaso adalah antara beberapa orang ‘great masters’ atau ‘orang yang berbakat besar’ dalam bidang seni tampak yang karya-karyanya disanjung zaman-berzaman. Demikian juga dengan nama-nama seperti Schubert, Bach, Mozart yang dikenali sebagai ‘great masters’ dalam bidang seni muzik yang kebolehan mereka dikagumi hingga ke hari ini.

Dalam bidang penulisan, siapakah yang tidak kenal dengan Homer, William Shakespear, Leo Tolstoy, Ernest Hemingway, Pearl S.Buck dan beribu-ribu nama besar yang lain di seluruh dunia? Demikian juga dalam bidang seni lakonan, tarian dan nyanyian dan filem, nama-nama John Wyne, James Dean, Elvis Presley, Micheal Jackson, Margot Fonteyn, akan sentiasa diingat dan dikenang oleh para peminat seni nyanyian atau tarian di seluruh dunia. Namun, pada hakikatnya tidak semua orang mempunyai bakat tersebut, walaupun hanya satu daripadanya. Saya masih ingat kata-kata seorang pensyarah pendidikan semasa di Maktab Perguruan Perempuan Melayu, Melaka dahulu, bahawa seorang yang mampu menjadi pengarang atau pelukis atau pemuzik atau pereka cipta mempunyai daya IQ (Intelligence Quotient) yang tinggi yang menjadikannya lebih istimewa daripada manusia lain. 

Seseorang yang mempunyai bakat seni tidak kira seni apa jua, akan dapat dilihat ketika ia masih kecil lagi. Bakat itu ditampilkan menerusi pengajukan dan peniruan gerak-geri (tarian), menerusi contengan-contengan dan lakaran pada objek-objek tertentu (seni lukis), mencuba melagukan nyanyian atau lagu yang pernah didengar (nyanyian) seterusnya memperlihatkan minat menulis sama ada pada buku, di atas tanah atau pasir, diari dan objek-objek lain di samping meminati cerita-cerita yang dituturkan. Bakat lazimnya ada pada diri seseorang adalah terhasil oleh fenomena-fenomena tertentu seperti warisan, persekitaran dan adaptasi.
       
Warisan ialah bakat yang terdapat pada diri seseorang yang sama dengan bakat yang ada pada ibu bapa atau leluhurnya. Sering kali terdapat anak-anak yang muncul sebagai ahli dalam bidang-bidang seni tertentu disebabkan mewarisi bakat seni ibubapanya. Ada juga kes-kes ibu bapa yang sengaja menurunkan bakat seni mereka kepada anak-anak dengan cara mengasuh dan mendidik anak-anak semenjak kecil lagi. Sebagai contoh, kalau ibu bapanya pelakon filem, mereka membawa anak ke lokasi penggambaran agar si anak akan tertarik dengan apa yang mereka lakukan. Demikian juga dalam bidang-bidang seni yang lain seperti nyanyian, tarian, penulisan dan lukisan. Tidak mustahil bagi ibu atau bapa mendorong anak-anak mengikuti jejak mereka sebagai satu usaha ke arah jaminan masa depan si anak, yakni sebagai satu sumber mata pencarian. 
   
Persekitaran bererti lingkungan keluarga, tempat kerja dan tempat kediaman.Bakat seseorang juga akan berkembang hasil daripada kehidupan persekitarannya. Sebagai contoh seseorang yang bekerja dengan syarikat perfileman ataupun dengan sebuah sarkas, lama-kelamaan minatnya akan timbul untuk menjadi salah seorang daripada pelakon filem ataupun pemain sarkas walaupun tidak sehandal orang lain. Di Malaysia, permainan Mak Yong, Wayang Kulit dan Menora, adalah boleh dianggap sebagai permainan ahli keluarga yang biasanya dititihkan daripada satu generasi ke satu generasi keluarga berkenaan.

Pengaruh persekitaran juga akan merangkumi pengembangan bakat dalam kehidupan sesebuah komuniti. Sebagai contoh, sering kali terdapat satu-satu kelompok komuniti yang mengusahakan satu-satu produk seperti pembinaan perahu layar, perusahaan tenunan, pembuat batik, songket, pembuat barang perak, perusahaan tembikar atau bahan-bahan daripada tanah liat. Para pembeli yang mahu mndapatkan produk tersebut akan datang secara khusus ke tempat-tempat yang dikenal pasti mengusahakan satu-satu produk untuk mendapatkannya. Di Malaysia, seorang pembeli yang mahu mendapatkan sebuah perahu layar umpamanya akan pergi ke Pulau Duyung di Terengganu, tempat perusahaan itu dijalankan secara komuniti. Begitu juga seorang yang mahu membeli kain-kain songket, akan datang ke Kampung Penambang di Kelantan ataupun ke Kuala Terengganu. Dan sekiranya seseorang yang mahukan labu-labu yang diperbuat daripada tanah liat secara tradisional, mereka akan datang ke Sayung di Kuala Kangsar, Perak. 
     
Adaptasi adalah bakat yang muncul dalam keinginan seseorang selepas melihat kejayaan orang lain. Kecenderungan untuk turut mengecapi kejayaan yang dapat memberikan kemewahan dan nikmat hidup lebih cepat mendorong seseorang melakukan sesuatu. Ia juga berkemungkinan didorong oleh kegagalan dalam cita-cita, kegagalan dalam hidup, mengalami tekanan perasaan seperti rendah diri dan kesempitan hidup yang ada hubungan dengan ciri-ciri survival. Satu kelemahan bakat yang diadaptasi ialah sekiranya berlaku kegagalan yang banyak akan melenyapkan bakat yang kecil ini. Namun kelebihannya ialah menjadikan seseorang yang mempunyai bakat dalam kategori ini kuat semangat, rajin dan mempunyai etika kerja keras.       

Namun lazimnya bakat yang diadaptasi ini tidak dapat menghasilkan karya-karya yang baik dan original. Ini adalah kerana setiap ciptaan yang dihasilkan terpaksa berpandukan satu-satu model yang khusus. Justeru itu dia tidak akan dapat mencipta atau mereka tanpa satu model di hadapannya ataupun dalam mindanya. Contoh yang senang ialah seorang penulis yang membaca dan meminati sebuah karya agung, beliau akan berusaha menulis sebuah karya yang berpandukan karya agung tersebut dengan membuat beberapa pengubahsuaian mengikut konteks karya sendiri seperti nama-nama watak, latar tempat malah mengubahsuai jalan cerita atau plot agar tidak kelihatan seperti karya ciplak.

Pernah juga terjadi seorang penulis akan memetik sebahagian daripada karya yang dijadikan model dan diserapkan ke dalam karyanya dengan sedikit peng-ubahsuaian. Sekiranya penulis ini bernasib baik, tidak akan ada sesiapa yang menyedari perbuatan mencuri karya orang ini. Justeru itu dia akan terus-menerus mengasah bakat sambil mencipta berpandukan karya-karya model yang dipilihnya. Pada umumnya bakat dapat dikategorikan dalam dua jenis iaitu: bakat biasa dan bakat alam.

Bakat Biasa
Bakat biasa dapat disamakan dengan minat atau kesukaan. Lazimnya minat dan kesukaan ini ada pada diri seseorang yang merasa tertarik hati dalam bidang-bidang seni tertentu. Katakanlah dia membaca sebuah novel, tiba-tiba dia berasa dia juga mahu mengarang novel, tetapi dia tidak menulisnya. Demikian juga apabila dia menonton drama pentas, tarian dan seumpamanya, dia juga merasakan dirinya boleh berlakon dan menari tetapi dia tidak melakukannya. Mungkin selepas dia terdedah agak lama dengan bidang-bidang tertentu, lama-kelamaan dia turut menulis ataupun berlakon dan menari. Justeru itu lazimnya seseorang yang hanya mempunyai bakat biasa tidak dapat menceburi sesuatu bidang yang diminati atau disukainya secara serius. Kadang kala, dia berjaya menjadi seorang penulis, tetapi sekadar dua tiga buah cerpen ataupun dua ataupun tiga buah sajak sahaja. Selepas itu namanya terus terbenam. Orang yang mempunyai bakat biasa hanya dapat bertahan sekiranya dia bekerja keras, rajin dan mempunyai determinasi yang tinggi. Namun disebabkan minat dan tarikan kepada satu-satu bidang , biasanya orang-orang ini terus berdampingan dengan bidang tersebut dengan memegang jawatan-jawatan dalam persatuan yang berkaitan seperti pengerusi, setiausaha ataupun jawatankuasa biasa. Lazimnya mereka memberikan sumbangan yang baik kepada persatuan yang diterajuinya.

Bakat Alam
Bakat alam dapat ditakrifkan sebagai bakat gifted, yakni bakat yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang bersama kelahirannya ke dunia ini. Secara senang sering dikatakan sebagai bakat semula jadi. Justru itu walaupun bakat alam ini tidak dapat disamakan dengan karamah yang dikurniakan Allah SWT kepada para wali ataupun sebagai mukjizat yang dikurniakan Allah SWT kepada para Rasul, akan tetapi bakat alam yang dikurniakan Allah kepada seorang manusia biasa sudah boleh dikatakan sebagai satu kelebihan bagi dirinya dan orang berkenaan patutlah bersyukur kepada Allah SWT kerana bukan semua orang ditakdirkan lahir bersama bakat alam ini di samping tidak menyalah gunakannya.
         
Perbezaan yang ketara antara bakat alam dengan bakat biasa ialah, bakat alam tidak akan terjejas dengan sebarang gangguan-gangguan suasana, keadaan, tekanan, persekitaran dan apa-apa pun jua. Ia akan terus-menerus hidup bersama kemampuan seorang sampai bila-bila, melainkan kalau seseorang itu sudah sampai ke tahap keuzuran fizikal dan spiritual.  Satu lagi perbezaan ialah seseorang yang mempunyai bakat alam sentiasa yakin kepada kebolehan diri sendiri tanpa menggunakan sebarang model yang dicipta oleh orang terdahulu untuk berkarya. Sebaliknya model utama yang sering digunakan dalam proses kreativitinya ialah alam itu sendiri. Justru itu karya-karya yang dihasilkan oleh seorang yang mempunyai bakat alam, akan menampilkan berbagai-bagai motif alam dan kesemestaannya yang selalunya unik, belum pernah dihasilkan oleh orang-orang yang terdahulu ataupun kalaupun motif itu dihasilkan oleh seseorang sebelumnya, ia akan muncul dalam bentuk yang berlainan. Bertuahlah bagi para penulis yang mempunyai bakat alam. Ini adalah kerana mereka mempunyai beberapa keistimewaan tertentu seperti mempunyai daya ingatan yang kuat, kesan sensitiviti yang tajam, minda yang kreatif dan jiwa yang sensitif.

Justeru itu keupayaan berkarya di kalangan para pengarang yang mempunyai bakat alam tidak akan pupus dan lupus. Daya kreativitinya mengalir bagaikan aliran mata air di gunung yang tinggi bergerak menuju ke muara. Idea dan bahan dalam karya-karyanya selalu yang baru dan unik. Kelebihan ini menjadikannya tidak bermasalah lagi untuk menyusun dan memulakan karyanya sebagaimana sering terjadi kepada para penulis biasa. Lazimnya bakat alam yang wujud dalam diri seseorang penulis kreatif tidak sama antara satu sama lain. Masing-masing ada identiti dan kualiti yang tersendiri pula.

Ada penulis kreatif yang mempunyai bakat alam bersama daya kebijaksanaan atau daya keintelektualan, daya sensitiviti yang tajam dan daya kreativiti yang unik. Ada juga penulis yang mempunyai bakat alam yang tidak disertai daya intelektualiti yang menjadikan karya-karya penulis berkenaan kurang bermaya. Bakat alam berkembang dalam diri seorang penulis kreatif disebabkan terangsang oleh dua faktor utama iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

Faktor Dalaman

Pengalaman Hidup di Tengah Keluarga
Alangkah bertuahnya seorang pengarang yang dilahirkan dalam latar kehidupan yang berliku-liku, berwarna-warni, turun-naik, suka-duka, tersendiri, unik dan original. Seorang pengarang yang ditakdirkan lahir dalam masyarakat kampung daripada keluarga yang miskin tentulah mempunyai pengalaman yang sangat berbeza daripada seorang pengarang yang lahir dalam masyarakat kota daripada keluarga yang kaya-raya yang selalu mendatar sahaja.

Kehidupan desa itu sendiri adalah satu khazanah bagi seseorang yang mahu mengambil iktibar yang menyediakan beribu-ribu bahan atau subjek daripada jenis tumbuh-tumbuhan, serangga, mergastua dan hubungan segalanya dengan suasana malam, siang, hujan, panas, banjir, kemarau serta sejuta fenomena alam yang lain yang bergerak, berkembang selari dengan proses pembesaran dan pendewasaan seseorang yang tinggal bersamanya yang sangat berbeza dengan ketika seseorang yang menjalani proses pembesaran di kota. Dalam kehidupan desa, segala fenomena alam daripada sekecil-kecil lubang cengkerik hinggalah kepada hujan lebat dan banjir, semuanya menjadi sebahagian daripada kehidupan itu. 
     
Seseorang yang berkeinginan mengalami kehidupan desa kerana hendak menulis tentang orang kampung, tidak mungkin boleh dikumpul padatkan segala fenomena itu dengan hanya membuat kajian seminggu dua ataupun tinggal sebulan ataupun dua bulan malah setahun. Kalaupun dia dapat menulisnya, dia hanya akan melahirkan sebuah karya artificial dan superficial yang tidak dapat bertunjangkan kepada habitat yang biasa.

Selain daripada itu kedaifan hidup di tengah keluarga juga akan menjadi satu kenangan yang manis kemudian kelak. Ciri-ciri survival yang dilihat dan dialami sendiri di tengah keluarga akan menjadikan seorang pengarang kaya raya dengan pengalaman masa silamnya. Konflik dalam keluarga seperti pertentangan pendapat antara keluarga pihak ayah dengan pihak ibu, jurang generasi antara adik beradik dengan datuk nenek, malah konflik yang muncul dalam hubungan ibu dan ayah semuanya menjadi cermin timbal balik dalam ingatan seorang pengarang yang yang akan memantul kembali bila-bila masa sahaja.
       
Para pengarang yang mempunyai keluarga yang ramai akan mendapat advantage daripada pengalaman setiap individu yang berinteraksi dengan dirinya. Ini adalah kerana setiap individu turut mempunyai ruang kehidupan dan pengalaman sendiri yang kadangkala secara tidak langsung akan terkongsi dengan orang lain di sekitarnya. Peribadi setiap individu dalam keluarga menampilkan berbagai-bagai jenis tabiat dan perilaku ayng membabitkan berbagai-bagai aspek kehidupan daripada cara berpakaian, cara makan, bergaul, tutur-kata, pembelajaran, pekerjaan dan pergaulan. Semua orang ini akan membawa pulang ke dalam keluarga mereka pemandangan yang berlainan warna dan bentuknya.

Lazimnya pengalaman hidup yang dilalui oleh setiap orang tidak kira penulis ataupun bukan penulis akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat. Hanyasanya orang yang ditakdirkan menjadi penulis akan mengingati pengalaman hidupnya dalam bentuk yang indah, berharga, nostalgik, melankolik dan sering menganggapnya sebagai satu khazanah yang tidak terjual-beli lagi. Segala peristiwa yang dialami walaupun tidak dicatit di mana-mana, namun ia tetap hidup dan bergerak dalam kenangan tidak kira sama ada peristiwa buruk yang mahu dilupakan apatah lagi peristiwa indah. Ingatan ini menjadi lebih kuat sekiranya orang berkenaan sudah berada jauh daripada latar yang berkaitan. 

Satu lagi pengalaman yang tidak kurang pentingnya dalam kehhidupan seseorang penulis ialah pengkelanaan dan pengembaraannya samada dilakukan kerana mata pencarian ataupun pekerjaan mahupun sebagai hobi. Makin jauh seseorang itu mengembara, makin banyaklah pengalaman hidup yang ditimbanya di sepanjang jalan. Ernest Hemingway (1989-1961) walaupun dikenali sebagai anak jati Amerika (lahir di Oak Park, Illinois) tetapi banyak mengembara ke negara-negara Eropah malah pernah terlibat dengan peperangan Dunia II. Hasil daripada pengembaraan tersebut beliau menulis novel-novel yang baik seperti A Farewell to Arms dan For Whom the Bell Tolls. Hingga akhirnya kunjungan beliau ke Cuba mendorongnya menghasilkan The Old Man and the Sea yang mengangkat beliau sebagai penerima Nobel Prize dan Pulitzer Prize.

Demikian juga keadaannya dengan seorang penulis Malaysia, Sasterawan Negara Arenawati. Pengalaman beliau sebagai seorang pelaut yang menjelajahi pelosuk Nusantara, sering tercermin dan terpantul kembali dalam karya-karyanya seperti Lingkaran, Sakura Mengorak Kelopak, Bunga di Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sudara.           
       
Cita-cita, emosi dan naluri semula jadi boleh menjadi perangsang kepada bakat alam. Mengejar cita-cita, hanyalah satu rangkai kata klise yang sering diucapkan apabila seseorang berusaha mencapai impian hidupnya. Namun perkataan ‘kejar’ memaknakan usaha gigih, kerja keras yang tidak mengenal putus asa. Untuk itu, walaupun seseorang penulis yang mempunyai bakat alam tanpa intelektualiti, dia akan berusaha mendapatkannya dengan membuat studi sendiri, menghadiri bengkel dan kursus penulisan serta persidangan yang ada kaitan dengan bidang penulisan kreatif. Justeru itu demi cita-cita untuk menjadi seorang penulis, dia berusaha melengkapkan dirinya dengan membeli buku-buku teori penulisan dan sebagainya. Malah ada antaranya yang memperkayakan diri dengan berbagai-bagai ilmu bantu yang lain seperti psikologi, falsafah, agama, politik, antropologi, geografi dan sains dengan cara mengumpul buku-buku dan keratan akhbar dan majalah.

Peluang bergaul dan berkenalan dengan penulis terkenal di seminar dan persidangan kebangsaan dan antarabangsa lazimnya meninggalkan kesan positif di jiwa para penulis yang bercita-cita besar. Mereka membeli karya-karya pengarang besar dan menelaahnya seberapa dalam yang boleh. Mereka melihat teknik-teknik yang digunakan, bagaimana pembentukan plot dan watak, seterusnya meneliti keunikan dalam karya berkenaan. Sesungguhnya bagi sesetengah orang, membaca karya yang baik dan unik mendorongnya membuat eksperimen sendiri yang terarah oleh rasa kekagumannya. 

Faktor Luaran    
 
Pekerjaan
Kadangkala pekerjaan seseorang boleh membantunya mengasah bakat yang sedia ada. Suasana persekitaran di tempat kerja, kerenah, perilaku, gerak-geri para pekerja di sekeliling dan cerita tentang kehidupan peribadi masing-masing akan mendorong seseorang yang mempunyai bakat penulisan untuk menulis novel, cerpen, drama tentangnya. Keragaman kehidupan manusia ini akan menjadi bahan yang bernilai bagi seseorang penulis untuk dicernakannya. 

Desakan
Bakat boleh dimanipulasi sepenuhnya waktu seseorang itu sedang berada dalam keadaan yang terdesak dan memaksa untuk bertindak. Ramai orang yang belum menjadi penulis yang mendapati dirinya menjadi seorang penulis apabila dia berada dalam satu keadaan yang mencabar. Kita akan kehairanan mengapa Solzhenitsyn, penerima anugerah Nobel Prize Kesusasteraan 1970, sanggup dibuang daerah ke Siberia selama dua belas tahun, 1945-1957 kerana menulis One Day In the Life of Ivan Denisovich (1962) dan The Gulag Archipelago (1973) yang mengkritik sistem pentadbiran Stalin di Rusia. Namun apabila beliau kemudiannya mendapat kerakyatan Amerika 1974, nyatalah tulisannya ada kaitan dengan pengalaman peribadi yang mendesaknya mengecam pentadbiran kerajaan Rusia. 
Pramoedya Ananta Toer (1925-) adalah pengarang agung Indonesia yang tidak takut menghasilkan karya yang mengecam sistem pentadbiran negaranya tidak kira sistem pentadbiran Belanda maupun sistem feudal di Indonesia. Justeru itu setiap buah karyanya penuh dengan kecaman terhadap sistem ini hingga beliau dilebelkan sebagai seorang komunis dan seluruh karyanya seperti Keluarga Gerilya (1949), Perburuan (1965), Bumi Manusia (1981), Jejak Langkah (1985), Anak Semua Bangsa (1986) Rumah Kaca (1967) dan Gadis Pantai (1986) diharamkan di Indonesia malah pada tahun 1988, penerbit yang menerbitkan karya-karyanya, Hasta Mitra juga diperintah tutup. 

Namun Pramoedya tidak pernah putus asa, desakan untuk menonjolkan kebenaran dan keadilan diteruskan dengan Arus Balik (1995) dan Nyanyi Sunyi Seorang Bisu (1996). Pramoedya yang pernah ditahan di Pulau Buru kerana dituduh sebagai pengkhianat bangsa Indonesia, turut menjalani tahanan dalam rumah. Justru itu Pramoedya tidak dapat menemui sesiapa di luar rumahnya. Selain daripada desakan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, seseorang penulis juga akan menghasilkan karya demi desakan saraan hidup.

Pramoedya Ananta Toer pernah mengakui beliau juga terpaksa menulis untuk mendapatkan saraan hidup yang diakibatkan pemencilan ke atas dirinya oleh pihak pemerintah. Sesiapa yang pernah menjejaki rumah Pramoedya di Multi Karya II, pasti akan menyaksikan bagaimana pengarang agung yang menghasilkan karya yang diedarkan di seluruh dunia tidak mampu menjalani kehidupan yang baik semewah karya-karyanya.
         
Emile Edouard Charles Antoine ataupun Emile Zola (1840-1902), adalah seorang wartawan daripada Perancis dan juga seorang kerani biasa. Kehidupannya yang amat sederhana, mendorong beliau untuk menulis karya kreatif hingga akhirnya menjadi salah seorang pengarang dunia. Dalam sebuah filem autobiugrafi Zola, pernah digambarkan bagaimana beliau berusaha keras untuk meyakinkan pihak penerbit untuk mencetak karyanya. Malah karyanya dipendam bertahun-tahun sebelum diterbitkan. Namun kerana desakan untuk membaiki taraf hidup Zola terus berpayung dengan payung terkoyak dalam hujan ke tempat penerbit.  Ada juga pengarang yang menulis kerana desakan visi tertentu yang mahu diterapkan dalam karya-karyanya.

Di Malaysia pada tahun 1999, ramai rakyat Malaysia daripada berbagai lapisan masyarakat terkejut apabila Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato’ Shahnon Ahmad tiba-tiba menulis novel Shit (1999), sebuah karya yang dikatakan sangat kontroversial adalah untuk menerapkan visinya terhadap suasana politik di Malaysia pada waktu itu. Di Afrika dalam dekad 1960-an, ramai pengarangnya menulis kerana desakan rasa kekecewaan dengan sistem pemerintahan di negara-negara di Benua Afrika dalam masa sepuluh tahun pertama selepas merdeka. Ayi Kwei Armah (1943-)  menghasilkan sebuah karya satira The Beautyful Ones Are Not Yet Born (1966) (perkataan beautyful sengaja dieja salah) yang mengkritik dengan lantang sistem pemerintahan Kwame Nkrumah di Ghana yang penuh dengan rasuah dan oportunistik hingga dianggap kehidupan para pemimpin dan negara Ghana itu sendiri bergelumang dengan tahi. Begitu juga Chinua Achebe (1939-) yang menulis beberapa buah karya seperti A Man of the People (1967) turut mengecam corak kepimpinan oleh para pemimpin politik di Nigeria dengan gambaran permainan politik yang sangat kotor.
         
Selain daripada pekerjaan dan desakan, salah satu faktor luaran yang menyebabkan seseorang itu terdorong untuk menulis ialah keterasingan. Seorang yang pernah berada dalam tahanan sama ada dibuang daerah, dipenjarakan ataupun satu-satu sebab lain yang menyebabkan dia terasing daripada keluarga, rumah tangga dan kampung halaman, sering menggunakan kesempatan keterasingan itu untuk menulis.
Bagi para pengarang yang berada bertahun-tahun dalam tahanan, terasing dan sendiri, takdir terpaksa diterima walaupun dalam kesepian dan keseorangan. Inilah yang berlaku kepada Pramoedya Ananta Toer yang ditahan di Pulau Buru sebagai tahanan politik. Karya-karya yang dihasilkan semasa dalam tahanan ini iaitu Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca sering dirujuk sebagai karya-karya Pulau Buru.

Kassim Ahmad ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri juga mengisi waktu yang terseksa itu dengan menulis dua buah karya iaitu Zaman Pancaroba dan Universiti Kedua. Para penyair haiku Jepun, lazimnya memencilkan diri ke suatu tempat yang sunyi bagi mendapatkan suasana tenang dan sejahtera. Basho (1644-1694) salah seorang penyair haiku bertaraf great masters,  meninggalkan keluarganya untuk hidup terasing di sebuah pondok yang dibuatnya di dalam rimba. Di sinilah beliau menghasilkan haiku-haikunya yang indah dan mem-punyai nilai aestetika tinggi yang dapat dinikmati hingga kini. 

Kesedaran Budaya
Cultural consciousness adalah satu lagi faktor yang tidak kurang pentingnya untuk seseorang itu mengarang. Malah ramai yang mengarang atas kesedaran ini yang biasanya dilakukan oleh para pengarang yang datang daripada negara-negara yang pernah mengalami sistem kolonialisme seperti para pengarang Afrika dan India.

Alex Haley, seorang Amerika kulit hitam yang bekerja sebagai pengawal pantai Amerika, selepas persaraannya 1959 telah mengambil masa selama dua belas tahun menelusuri titih-menitih salasilah keturunannya yang dijual oleh para peniaga kulit putih sebagai abdi di Amerika. Perjalanan hidup Kunta Kinte yang ditangkap sebagai seekor haiwan dan dirantai, kemudian dibawa ke Amerika dan dijual, disaring sepenuhnya oleh Alex Haley lengkap dengan latar kebudayaan dan warisan bangsa Afrika. Keinginan untuk menampilkan ‘black consciousness’ di kalangan orang kulit hitam di Amerika agar mereka tidak hilang jati dirinya, mendorong Alex Haley menamakan judul novelnya Root (1977).

Kecintaan kepada kebudayaan kulit hitam atau black consciousness juga terdapat dalam karya-karya para pengarang Afrika yang lain seperti Ngugi Wa Tiongo, Amos Totuola, Elche Amadi dan Camara Laye. Boleh dikatakan semua karya yang bertunjangkan kesedaran kebudayaan khususnya kesedaran kulit hitam atau black consciousness yang bertolak daripada falsafah negritude menjadi motif utama di kalangan para pengarang Afrika bagi memperagakan kebudayaan Afrika kepada dunia.
                 
Di India terdapat beberapa orang pengarang turut menulis atas kesedaran kebudayaan yang bermotifkan kebudayaan India. Raja Rao menulis Kanthapura (1955) demi kesedarannya untuk menampilkan berbagai-bagai ciri kebudayaan yang terimplimentasi dalam sistem pentadbiran India dalam zaman kolonial Inggeris. Juga ditampilkan dalam karyanya ini proses asimilasi yang terjadi ke atas anak-anak tempatan kesan daripada kolonialisme ini. Di samping Raja Rao, ada beberapa orang lagi pengarang India yang turut menampilkan kesedaran budaya walaupun daripada sudut pandangan yang negatif seperti sistem kasta yang amat merugikan masyarakat bawahan sebagaimana terdapat dalam dua buah karya Mulk Raj Anand; Untouchable dan Coolies (1955).
Di Indonesia, Abdoel Moeis menghasilkan sebuah novel ‘evergreen’ berjudul Salah Asuhan (1922). Daripada penelitian terhadap karya ini nyatalah yang Abdoel Moeis cuba mewujudkan sebuah kebudayaan pribumi yang selaras dengan perkembangan semasa. Ini bererti tidak semua kebudayaan pribumi dapat diimplimentasi daripada zaman ke zaman. Sebahagian daripadanya memerlukan pengadaptasian yang selaras dengan perkembangan daya keintelektualan orang-orang Indonesia. Sekiranya hal-hal seperti ini tidak diambil kira dalam membangunkan kebudayaan Indonesia yang baru atau moden, generasi moden akan terperangkap antara ke-budayaan tradisi dengan kebudayaan moden yang datang bersama proses asimilasi penjajahan Belanda. Inilah antara faktor-faktor yang memunculkan minat dan bakat penulisan seseorang penulis kreatif dan sekaligus yang boleh menerapkan semangat kepenulisannya. Hanya dengan determinasi yang tinggi sahaja seseorang penulis kreatif akan mampu melepasi segala rintangan ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024