Artikel

Surah Al-Kahfi: Memelihara daripada Fitnah Dajjal dan Sumber Ketenangan

oleh Amiratul Awatif Ghazali pada 25 Jul 2013

Buku Hikmah Surah Al-Kahfi membongkar berkenaan asbabun nuzul, kelebihan membaca surah Al-Kahfi, dan tafsir ringkas setiap ayat. Antara kelebihan membaca surah Al-Kahfi adalah terpelihara daripada fitnah dajjal dan sumber ketenangan (as-sakinah). Rasulullah s.a.w. menyatakan:

“Sesiapa yang memelihara, iaitu memelihara bacaan dengan sentiasa membaca 10 ayat pertama daripada surah Al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada fitnah dajjal.”

(Hadith ini direkodkan oleh Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, dan At-Tirmizi)

Dalam buku ini juga dihuraikan secara ringkas tafsir setiap ayat, iaitu sebanyak 110 ayat. Sebenarnya banyak peristiwa penting yang diceritakan dalam surah ini. Bermula dari ayat 1 sehingga ayat 8, Allah s.w.t. menceritakan tujuan Al-Quran diturunkan kepada sekalian umat dan Nabi Muhammad bersedih kerana ramai yang tidak mahu membenarkan Al-Quran. Bermula ayat 9, Allah s.w.t. menceritakan berkenaan Ashabul Kahfi, iaitu penghuni-penghuni gua.

Bermula ayat 32, Allah s.w.t. memberikan perumpamaan antara orang Mukmin dengan orang kafir. Mulai ayat 60, Allah s.w.t. menceritakan kisah Nabi Musa bersama Nabi Khidir. Dan bermula dari ayat 83, Allah s.w.t. menceritakan berkenaan Raja Zulkarnain dengan Yakjuj dan Makjuj.

Kita disunatkan membaca surah ini pada setiap malam Jumaat ataupun pada waktu siang hari Jumaat. Abu Said Al-Khudri melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata:

“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan menyinarinya dengan cahaya di antara dua Jumaat.”

(Hadith ini direkodkan oleh Al-Hakim)

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025