Artikel
Baca@ Ramadan:Perlukah Cuti Nuzul Quran?
oleh Hairul Faizal Adli Ab Ghani pada 26 Jul 2013
Perlukah hari Nuzul Quran dijadikan sebagai hari cuti umum? Kenapa negeri Selangor bercuti, tetapi Kuala Lumpur tiada cuti pada hari Nuzul Quran? Begitulah persoalan yang biasa timbul di kalangan pekerja sekitar hari Nuzul Quran. Yang bekerja di Kuala Lumpur pasti cemburu dengan mereka yang bekerja di Selangor.
Ramai yang mahu bercuti pada hari Nuzul Quran. Majoritinya pasti mengambil peluang cuti untuk membeli-belah persiapan raya. Ada juga yang sekadar mahu bermalas-malasan di rumah, mungkin terlalu letih kerana berpuasa. Namun, orang yang paling untung, sama ada cuti ataupun tidak, adalah orang yang mahu mengambil kesempatan ini untuk menghayati al-Quran yang agung.
Cuti ataupun tidak pada hari Nuzul Quran adalah perkara kecil yang tidak perlu dibahaskan dengan berapi-api. Begitu juga dengan tarikh sebenar penurunan al-Quran, sama ada pada 17 Ramadan ataupun pada tarikh yang lain. Para ulama berbeza pendapat tentang tarikh sebenar penurunan Al-Quran, namun mereka sepakat al-Quran sememangnya diturunkan dalam bulan Ramadan. Allah sendiri menjelaskan perkara ini dalam surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud, “Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi petunjuk untuk manusia.”
Peranan al-Quran adalah menjadi petunjuk untuk manusia. Dengan petunjuk al-Quran, manusia dipandu ke jalan yang diredhai Allah. Namun, sekadar menyimpan al-Quran di rumah atau menggantungnya di dinding tidak akan memberikan manfaat kepada kita. Manfaatnya hanya akan muncul apabila kita membaca ayat-ayatnya, meneliti isi kandungannya, dan mengamalkan segala ilmunya.
Manfaatkan hari Nuzul Quran ini dan sepanjang bulan Ramadan dengan mendampingi al-Quran. Luangkanlah masa membaca al-Quran di dunia, dan al-Quran akan menjadi pembela kita di akhirat. Sempurnakan juga sambutan hari Nuzul Quran dengan usaha kita untuk mengetahui sebab-sebab penurunan ayat al-Quran. Kita perlu mengenali al-Quran dan memahami sebab turunnya ayat-ayat al-Quran. Apabila ayat-ayatnya dibaca dengan penuh kefahaman, keindahan wahyu akan memberikan ketenangan jiwa yang hakiki.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam agama dan menjadikan kita orang yang mencintai al-Quran.