Artikel
Syarat guru besar boleh berucap bahasa Inggeris
oleh Helmi pada 20 Jul 2005
Timbalan Menterinya, Datuk Hon Choon Kim, berkata kesediaan itu selaras prinsip kementerian berkenaan yang terbuka terhadap apa juga cadangan bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar.
Beliau juga mengalu-alukan cadangan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung penggunaan bahasa antarabangsa itu oleh pengetua dan guru besar di negeri berkenaan pada majlis perhimpunan pagi.
Bagaimanapun, katanya, cadangan terbabit perlu dikaji dan diperhalusi terlebih dulu bagi memastikannya praktikal dan boleh digunakan di semua sekolah.
“Kementerian akan kaji cadangan itu dari semua aspek dan jika kajian mendapati ia sesuai serta praktikal, apa salahnya diperluaskan ke seluruh negara.
“Kajian kesesuaian itu perlu dibuat mengikut sekolah kerana mungkin bukan semua pihak selesa bila berbahasa Inggeris. Jadi, ia memerlukan penelitian dari segenap aspek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan menulis esei bahasa Inggeris peringkat negeri ini anjuran Rotary Seremban di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Haji Mohd Said, di sini semalam.
Mengenai penggunaan bahasa Inggeris pada perhimpunan pagi di Perlis, Hon berkata, pengetua dan guru besar boleh membuat keputusan sendiri kerana kementerian berkenaan tidak membuat sebarang ketetapan berhubung perkara itu.
“Sekolah masih di bawah Kementerian Pelajaran dan belum ada arahan berhubung perkara itu. Jadi, terserah kepada pengetua dan guru besar jika mahu menggunakan bahasa Inggeris pada perhimpunan pagi di sekolah,” katanya.
Beliau mengulas langkah Kerajaan Perlis mewajibkan pengetua dan guru besar sekolah di negeri itu berucap dalam bahasa Inggeris pada perhimpunan pagi di sekolah masing-masing.
Arahan itu bagaimanapun mendapat bantahan sebahagian besar pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkan cadangan berkenaan sebagai keterlaluan kerana tidak menghormati martabat bahasa kebangsaan.
Selain itu, NGO terbabit berpendapat dasar pendidikan sudah membekalkan pelbagai kaedah untuk pelajar sekolah menguasai bahasa antarabangsa berkenaan dengan baik.
Pada pertandingan berkenaan, Andrian Teh 16, dari SMK King George V muncul johan kategori menengah atas sekolah bandar, manakala pelajar SMK Rantau, GR Kamini, 17, johan luar bandar.
Kategori menengah rendah sekolah bandar pula diungguli pelajar SMK Bukit Mewah, Timothy Kwan Joon Ming, 14, manakala luar bandar oleh Alvin Yee, 14, dari SMK Seri Pagi.