Artikel

Tafsir Al-Azhar ; Karya Hamka yang Paling Agung

oleh Amirah pada 13 Aug 2015

“Hamka bukan sahaja milik bangsa Indonesia, tetapi kebanggaan bangsa-bangsa Asia Tenggara”

Demikian lah petikan kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abd Razak ketika menyebutkan tentang ketokohan Hamka, si pengarang Tafsir al-Azhar.

Hamka, atau nama sebenarnya Haji Abd Malik Abd Karim Amrullah dilahirkan di Maninjau, Sumatera Barat, pada hari Ahad,  13  Muharam 1326 bersamaan dengan 16 Februari 1908.

Ayahnya Haji Abd Karim Amrullah ialah seorang ulama terkenal manakala ibunya bernama Shafiyyah Bagindo Nan Bertuah.

Beliau pernah dianugerahkan dengan gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar pada 1958 dan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1974.

Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Majelis Ulama Indonesia ( MUI ) bagi tempoh 1975-1981. Hamka kembali menghadap Ilahi pada 24 Julai 1981.

Tafsir al-Azhar ialah karya monumental Hamka yang paling terkenal. Tafsir ini berasal dari kuliah Subuh Buya Hamka di Masjid Kebayoran Baru ( kini dikenali sebagai Masjid al-Azhar).

Beliau memulakan kuliah tafsirnya dari Surah al-Kahfi. Kuliah-kuliah tafsir beliau  kemudian diterbitkan dalam Majalah Gema Islam bermula sejak Januari 1962.

Setelah beberapa tahun menulis Tafsir al-Azhar, Hamka masih belum mampu menyelesaikan penulisan beliau.

Tafsir ini hanya tuntas sepenuhnya apabila beliau berada dalam tempoh tahanan Orde Lama selama 2 tahun 4 bulan.

Penerbitan pertama dilakukan tahun 1968 oleh Penerbitan Pembimbing Masa yang mengandungi juzuk 1 hingga juzuk 4. Kemudian tafsir ini diterbitkan oleh beberapa buah penerbit yang berbeza.

Dari semasa ke semasa, beliau menyemak tafsir tersebut sehinggalah selesai disemak sepenuhnya pada tahun 1979.

Tafsir ini dinamakan  sebagai Tafsir al-Azhar sempena nama Masjid al-Azhar yang menjadi tempat Hamka menyampaikan kuliah

tafsirnya dan sempena anugerah doktor  kehormat yang diberikan oleh Universiti al-Azhar kepada beliau.

Beberapa pendekatan yang diambil oleh Hamka dalam tafsir ini adalah seperti berikut :

1. Menggunakan Metode Tahlili

Metode ini adalah metode menganalisa ayat secara terperinci.

2. Bercorak al-Adab al-Ijtima’i

Al-Adab al-Ijtima’I ialah pendekatan tafsir yang dekat dengan cabaran yang  dihadapi oleh masyarakat.

3. Mengutamakan tafsir bi al-ma’thur

Tafsir bi al-Ma’thur ialah pendekatan yang mengutamakan tafsir ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain, hadith, pendapat pendapat sahabat, dan juga para tabi’in.

4. Menggunakan Tafsir  bi al-Ra’yi al-Mahmud

Tafsir  bi al-Ra’yi al-Mahmud ialah tafsir dengan menggunakan pendapat secara terpuji.

Antara kelebihan Tafsir al-Azhar ialah tafsir ini menggunakan pendekatan yang mudah difahami oleh orang awam. Tambahan pula, tafsir ini ditulis dalam Bahasa Indonesia, yang berasaskan Bahasa Melayu.

Ini membolehkan orang ramai yang tidak menguasai Bahasa Arab menggunakan tafsir ini sebagai rujukan.

Hamka menghindari perdebatan dalam perkara-perkara bersifat khilafiyah yang tidak perlu.

Selain itu, tafsir ini turut dilengkapi dengan kupasan dari sudut sosial, antropologi, sejarah, dan pengalaman peribadi Hamka yang difikirkan sesuai untuk dimasukkan dalam tafsirnya.

Tafsir al-Azhar edisi PTS diterbitkan dengan mendapat keizinan dari waris Hamka. Setakat ini, di Malaysia hanya PTS yang diberikan keizinan untuk menerbitkan semula tafsir ini yang

didatangkan dalam versi kulit keras ( hard cover ). Susunan asal tulisan Hamka dikekalkan sebagaimana edisi asal. Konsep warna digunakan bagi menjadikan tafsir ini kelihatan lebih menarik dan

ini antara perkara utama yang membezakannya dengan terbitan lain. Glosari juga disediakan di halaman belakang bagi memudahkan para pembaca merujuk perkataan-perkataan tertentu yang tidak difahami.

Tafsir ini sesuai untuk dijadikan rujukan peribadi bersama keluarga di rumah, digunakan dalam kuliah-kuliah di masjid-masjid, ataupun dalam seminar-seminar ilmiah.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024