Artikel

Temuramah bersama Samsudin Wahab.

oleh Helmi pada 16 Jul 2004

En Samsudin Wahab,pengarang buku ‘Pengurusan & Teknologi Pejabat’, ‘Mengurus Majlis & acara Rasmi’, ‘Panduan Protokol dan Tatatertib Majlis’ dan ‘Mengurus dan Mentadbir Pejabat’ menulis berkenaan pengalamannya menulis buku.

1) Sila En Samsudin berikan sedikit sinopsis berkenaan buku Tuan.
Saya ingin menyorot buku ‘Panduan Protokol dan Tatatertib Majlis’.
Buku ini ialah buku panduan mengurus sesuatu majlis rasmi yang selalunya dianjurkan oleh organisasi-organisasi. Antaranya ialah jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, institusi-institusi pendidikan termasuk sekolah, jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan secara ad-hoc bagi mengendalikan majlis tertentu, jawatankuasa kampung dan penduduk taman perumahan dan sebagainya.
Antara lain saya memasukkan panduan mengurus majlis-majlis seperti program latihan berkala jabatan, majlis suaikenal, program anak angkat, jamuan tahunan, perkhemahan, pertandingan fesyen, kursus-kursus jangka pendek dan berbagai lagi.
Kita semua sedia maklum bahawa berbagai persiapan perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas sesuatu acara itu dianjurkan. Buku ini telah memberikan garispanduan lengkap bagi sesebuah jawatankuasa dalam merancang acara, mengendalikan acara serta apakah yang perlu dibuat apabila sesuatu acara itu telah selesai.
Buku ini juga menyediakan bentuk surat jemputan, kad jemputan tetamu, serta bagaimana bajet boleh disediakan. Selain itu cara pemilihan tempat dimana acara itu hendak dijalankan juga dinyatakan.
Buku ini boleh dirujuk juga oleh persatuan-persatuan pelajar, serta guru-guru sekolah yang mana sentiasa terlibat dalam penganjuran berbagai acara atau event yang diadakan setiap tahun.
Selain itu para usahawan juga boleh menjadikan panduan dalam merancang berbagai majlis demi menaikkan nama dan reputasi mereka di dalam masyarakat. Masyarakat meletakkan nilai yang tinggi kepada usahawan-usahawan yang prihatin kepada kehidupan masyarakat disekelilingnya.

2) Ceritakan sedikit bagaimana buku ini terhasil, dari peringkat idea, perbincangan dengan editor, penulisan, modifikasi dan akhirnya sehingga menjadi buku.
Apabila saya menceburi kerjaya sebagai pensyarah, saya dilantik sebagai penasihat berbagai persatuan untuk pelajar-pelajar universiti. Walaupun masa mengajar di sekolah dulu saya tidak begitu terlibat dengan jawatankuasa sukan dan acara tahunan sekolah kerana tiada banyak peluang ketika itu. Setelah dilantik menjadi penasihat persatuan pelajar maka tergeraklah di hati saya untuk mengkaji dengan mendalam bagaimana sesuatu program atau acara itu boleh dilaksanakan dengan berkesan.
Saya pun mengambil keputusan untuk menggabungkan berbagai idea bagi menghasilkan buku ini dengan membuat banyak rujukan buku-buku luar negeri yang tidak begitu banyak di pasaran. Maka oleh kerana kos mencetak sebuah buku sangat mahal, maka jalan yang mudah ialah mendapatkan penerbit buku yang paling aktif di pasaran, Banyaklah syarikat penerbitan buku yang saya hubungi tetapi ada yang memberi respons tetapi taklah sebaik respons yang diberikan oleh PTS Publications.
Setelah menerima tawaran daripada PTS maka saya pun mengambil kesempatan ini untuk berbakti kepada berbagai lapisan masyarakat melalui perkongsian ilmu ini.

3) Apa keistimewaan buku-buku ini berbanding buku-buku lain yang dah ada.
Buku-buku tentang mengurus majlis sebenarnya tak lah banyak atau boleh dikatakan tiada langsung di pasaran terutamanya dalam Bahasa Melayu kita. Maka saya rasa penerbitan buku ini sangatlah istimewa. Lagipun ia ditulis dalam bahasa yang mudah malah orang kampung pun boleh menjadikannya rujukan harian mereka.

4) Siapakah pengarang lain atau buku lain yang menjadi ‘influence’ kepada buku En Samsudin? Bagaimanakah anda membezakan konsep buku ini dengan konsep buku mereka.
Setelah puas mencari akhirnya saya dapat sebuah buku berbahasa Inggeris yang ditulis oleh seorang pengarang dari Australia. Bukunya berjudul “Festival and Special Event Management”, maka saya rujuk buku ini dari segi cara persembahan serta tajuk-tajuk utama yang perlu ada. Maka dengan kapakaran Bahasa Melayu serta keupayaan saya untuk membuat huraian yang lebih sesuai dengan iklim serta masyarakat Malaysia maka saya berjaya menghasilkan satu manuskrip yang agak berbeza dengan buku Inggeris ini. Buku saya lebih menitik beratkan dengan acara-acara di Malaysia yang biasanya lebih bertaraf kebangsaan serta local event.

5) Apakah latar belakang isu dalam dalam buku ini? Boleh diberikan secara ringkas sejarahnya, situasi semasa dan akan datang berkenaan isu yang En Samsudin kupas disini?
Saya rasa buku saya ini amat bersesuaian dan sangat sesuai diterbitkan pada masa ini kerana kebanyakkan masyarakat yang berjaya adalah masyarakat yang berjaya menganjurkan banyak aktiviti dalam kehidupan mereka. Ciri ini amat kurang pada masyarakat Melayu di Malaysia, sebab itulah saya rasakan antara sebab utama masyarakat kita gagal dalam hidup berpunca daripada kurangnya majlis-majlis serta acara-acara yang boleh membuka minda serta dijadikan pengisian waktu dalam hidup mereka.
Acara-acara yang positif amat wajar diberi penekanan agar para belia kita tidak terjebak dalam kancah gejala sosial sekaligus merosakkan anak-anak bangsa yang menjadi harapan semua jenerasi untuk di masa depan.
Masyarakat yang malas atau pemimpin masyarakat yang malas akan menjadikan ahli masyarakatnya tewas dalam menegakkan maruah bangsa, adakah ini yang kita mahu.
Mana ada guru yang mahu lihat pelajarnya gagal, mana ada ketua kampung yang mahu lihat anak buahnya tak bermaya, mana ada pensyarah yang mahu melihat siswa/i nya moyok, dan mana ada pemimpin organisasi yang mahu melihat pekerjanya malas dan lemah. Maka perlulah semua pihak membaca buku ini untuk dijadikan panduan dalam mengendalikan acara yang bermanfaat kepada orang dibawah mereka.

6) Bagaimana pembaca boleh menggunakan buku ini?
Pembaca boleh menggunakan maklumat yang ada dalam buku ini bagi mendapatkan idea mengenai acara-acara yang boleh dijalankan oleh mereka. Berpandukan tajuk-tajuk penting yang disusun secara berkesan para pengurus dan semua pihak yang terbabit boleh menjadikannya panduan dalam mengendalikan acara dengan berkesan serta memberikan pulangan yang amat berfaedah kepada organisasi. Pulangan yang dimaksudkan ialah dalam aspek-aspek yang telah ditetapkan dan ingin dicapai di dalam matlamat perlaksanaan acara tersebut.

7) Bagaimana pembaca yang ingin maklumat lanjut dalam bidang ini boleh mencarinya.
Pembaca yang berminat untuk mengetahui ilmu ini dengan lebih mendalam bolehlah membeli buku-buku lain yang juga mempunyai penekanan terhadap beberapa aspek yang lain dalam pengendalian acara, misalnya dengan membeli sebuah lagi buku tulisan saya iaitu berjudul “Panduan Protokol Dan Tatatertib Majlis”. Buku ini mempunyai bab penerangan yang lebih tentang bagaimana protokol sesuatu majlis itu boleh diikuti atau diamalkan dengan baik agar majlis yang dijalankan itu tidak berlaku kecacatan. Buku ini juga penting kepada semua pihak yang ingin menjalankan sesuatu acara.
Selain itu pembaca juga bolehlah menjemput saya untuk memberikan ceramah di organisasi masing-masing agar saya dapat memberikan kupasan yang lebih jelas mengenai perancangan serta perlaksanaan sesuatu acara.

8) Apakah topik-topik yang berkaitan tetapi tidak disebut dalam buku ini (supaya boleh dicadangkan untuk diselitkan dalam buku atau edisi akan seterusnya)
Seperti yang telah saya sebutkan di atas , topik yang berkaitan dengan protokol majlis juga santa penting. Alhamdulillah buku mengenai protokol itu telah diterbitkan oleh PTS Publications.

9) Jika En Samsudin ada kisah peribadi disebalik penghasilan buku ini ?
Saya pernah melihat beberapa kecacatan dalam penganjuran majlis oleh berbagai institusi, maka saya mengambil keputusan di hati saya iaitu untuk menghasilkan buku panduan mengendalikan majlis ini agar penganjur dapat menjadikan panduan bagi mengelakkan kecacatan tersebut dari berulang. Pengalaman menulis buku taklah banyak, tetapi memang ada dua buah buku lain yang telah saya tulis sebelum buku ini.
Semangat yang berkobar-kobar untuk melihat nama saya dicetak pada kulit buku juga telah menjadikan motivasi diri saya begitu melonjak untuk terus menulis buku.

10) Apakah peristiwa atau perkembangan dalam dunia luar yang mendorong En Samsudin untuk menulis?
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bahasa kita kian lemah! Bahasa Melayu menjadi sindiran di kebanyakkan majlis. Oleh itu dengan maksud yang lain, bangsa kita juga semakin dihina dan dicaci.
Dengan ikhlas saya akui bahawa, antara nawaitu saya dalam menulis buku ini ialah untuk memartabatkan bahasa saya dan bahasa kita kearah yang lebih tinggi dan terhormat. Inilah perjuangan kita semua yang sebenarnya belum selesai..

11) Jika ada masa tambahan, apakah pembaikan atau tambahan yang ingin masukkan ke dalam buku ini?
Banyak perkara yang boleh diperbaiki, tetapi apa yang ada ini sudah cukup baik. Penambahbaikkan tidak begitu perlu sebaliknya idea-idea baru berkaitan penganjuran acara masih boleh dicungkil dari semasa ke semasa. Lebih banyak acara yang kita cuba ikuti maka lebih banyak ilmu baru yang dapat kita kongsikan, dengan lain perkataan penulis juga perlu menambahkan pengetahuan melalui penyelidikan dan pendedahan dalam banyak lagi majlis.

12) Apa rancangan penulisan En Samsudin yang seterusnya?
Rancangan saya seterusnya ialah untuk menulis buku buku pengurusan yang sewaktu dengannya yang mana lebih hampir dengan pengurusan masyarakat. Hanya dengan cara inilah kita dapat membantu masyarakat Melayu untuk berjaya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024