Artikel

Nilai ekonomi industri buku terjemahan.

oleh Helmi pada 16 Jul 2004

Dalam konteks kertas kerja ini, saya hanya bercakap berkenaan aktiviti terjemahan ke dalam Bahasa Melayu sahaja disebabkan latar belakang saya sebagai penerbit buku-buku Bahasa Melayu.

Industri Bermodalkan Bahasa Tempatan
Di seluruh dunia, industri yang menggunakan bahasa tempatan sebagai modal utamanya adalah industri yang berpotensi besar. Di India sebagai contoh, industri filemnya adalah kedua terbesar di dunia selepas Hollywood. Filem-filem dalam bahasa Hindi dieksport ke Latin Amerika, Afrika, Asia Tengah dan Asia Tenggara. Manakala industri filem Hong Kong adalah ketiga terbesar di dunia.

Di negara-negara di mana industri bahasa tempatan tidak berkembang, keadaan itu adalah disebabkan dasar pemerintahnya yang tidak berminat mengembangkan sektor tersebut.

Senario Semasa Pasaran Buku Bahasa Melayu di Malaysia:
Sejak tiga ataupun empat lima tahun yang lalu, maklumat yang kita terima daripada para pengedar dan penjual buku menunjukkan berlakunya lonjakan yang amat ketara bagi permintaan buku-buku dalam Bahasa Melayu di negara ini. Seorang pegawai pemasaran sebuah cawangan superstore buku Jepun memaklumkan jualan judul Melayu di outletnya naik pada kadar melebihi 30% setahun.

Sebuah rangkaian chainstore buku yang memfokuskan pelanggan mereka di kalangan golongan kelas menengah bandar-bandar besar, yang sebelum ini hanya menjual buku-buku bahasa Inggeris, sejak dua tahun yang lalu sudah membuka jabatan khusus bagi penjualan buku-buku Bahasa Melayu.

Dua buah rangkaian chainstore buku, satu tempatan dan satu lagi dari Singapura, yang sebelum ini memfokuskan perrniagaan mereka menjual buku-buku dalam bahasa Cina juga sudah memasuki pasaran buku dalam Bahasa Melayu.

Pada masa ini sudah muncul sebuah supermarket buku dalam kompleks membeli-belah yang khusus menjual buku-buku Bahasa Melayu sahaja dengan kos sewaan ruang sebanyak RM720 ribu setahun. Supermarket ini mempunyai lebih 15,000 orang pelanggannya yang mendaftar sebagai ahli kelab pembaca yang dikenakan yuran RM10 setahun (membawa pendapatan RM150 ribu setahun) di mana mereka layak menerima diskaun istimewa bagi setiap pembelian buku yang mereka buat di supermarket itu.

Gosip terbaru yang sedang beredar dalam komuniti penerbit buku tempatan adalah sebuah pelabur besar akan melabur secara besar-besaran dengan membuka rangkaian chainstore yang khusus menjual buku-buku agama dalam Bahasa Melayu sahaja dalam kompleks membeli-belah di kawasan golongan kelas menengah bandar-bandar utama negara ini.

Beberapa cawangan penerbit antarabangsa yang mempunyai pejabat di negara ini sudah mula secara aktif menerbitkan buku-buku Bahasa Melayu, termasuk judul-judul terjemahan. Sebuah agen PTS di utara memaklumkan beliau menjual 500 naskhah judul terjemahan buku Steven Covey dalam masa 3 bulan manakala buku versi Inggerisnya tidak sampai 50 naskhah.

Bekalan Buku Terjemahan dalam Bahasa Melayu:

Pada masa ini, jumlah judul Bahasa Melayu keluaran tempatan tidak dapat memenuhi permintaan. Secara tradisional Malaysia adalah pengimport buku-buku terbitan Indonesia yang terbesar, khususnya buku-buku agama bermutu tinggi yang diterjemahkan langsung daripada bahasa Arab dan diterbitkan di negara itu. Sebuah penerbit Singapura amat aktif membeli hak menerbitkan karya-karya terjemahan Indonesia dan diterbitkan semula dalam bentuk edisi Bahasa Melayu bagi pasaran Malaysia, Singapura dan Brunei.

Perdagangan eksport-import buku antara Malaysia dan Indonesia sejak dahulu sehingga hari ini menguntungkan Indonesia, dengan 99 peratus daripada import buku dari Indonesia adalah buku-buku agama terjemahan. (Saya perlu membuat catatan di sini, sektor buku agama adalah sektor yang besar, dalam bahasa Inggeris sekalipun.)

Indonesia juga sangat aktif menterjemahkan judul-judul karya pengarang luar negara yang popular. Maklumat yang kami terima daripada dua buah penerbit yang paling besar di Indonesia menunjukkan pasaran judul terjemahan di Indonesia semakin membesar.

Pada masa ini sudah ada usaha-usaha awal daripada beberapa penerbit Malaysia untuk memanfaatkan judul-judul terjemahan Indonesia ke dalam bentuk edisi Malaysianya bagi menurunkan kos menterjemahnya. (Para penerbit judul-judul terjemahan di Taiwan bekerjasama dengan penerbit di Cina bagi menerbitkan edisi khusus bagi pembaca di Cina disebabkan wujudnya sedikit perbezaan bahasa.)

Keyakinan Penerbit Buku Bahasa Melayu:

Dalam isu penerbitan buku Bahasa Melayu hari ini, terdapat dua kumpulan penerbit. Kumpulan pertama, dan yang lebih besar jumlahnya, tidak yakin pelaburan menerbitkan buku-buku terjemahan yang dapat membawa pulangan yang selesa kepada pelabur. (Saya minta maaf banyak-banyak kepada ITNM, semenjak institut itu ditubuhkan ia telah dipimpin oleh individu-individu yang jauh di dalam hati mereka, sebenarnya mereka termasuk dalam kumpulan ini.)

Kumpulan kedua, yang sangat kecil jumlahnya, yakin buku-buku terjemahan mempunyai potensi pasarannya di negara kita ini, tetapi mereka tidak mempunyai modal yang cukup bagi memasuki pasaran itu dengan cara-cara yang memenuhi syarat untuk berjaya. Saya termasuk dalam kumpulan ini, di mana syarikat yang saya pimpin secara teknikalnya mampu menerbitkan buku-buku terjemahan, tetapi buat masa ini seluruh sumber kewangan syarikat yang ada terpaksa ditumpukan kepada penerbitan karya-karya asli sahaja, yang jumlahnya pun banyak sekali.

Dukungan Kerajaan kepada Industri Buku:
Perlu diingat, sokongan kerajaan negara kita bagi aktiviti penerbitan buku tidak ada. Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) tidak memasukkan aktiviti penerbitan dalam senarai aktiviti yang layak mendapat sokongan. Akibatnya penerbit tempatan seperti PTS dan lain-lain, bergantung kepada sokongan bank di mana setiap ringgit kemudahan yang diberikan oleh bank kepada penerbit tempatan memerlukan cagaran minimum wang tunai yang sama nilainya.

Di negara ini, semenjak 1996, perubahan pada dasar pendidikan kebangsaan semakin tidak mendukung industri penerbitan buku Bahasa Melayu, meskipun demikian industri ini dapat berkembang juga disebabkan permintaan pasaran.

Potensi Pelaburan dalam Penerbitan Buku Terjemahan:
Untuk memahami potensi sumbangan buku-buku terjemahan kepada perkembangan industri penerbitan buku, kita ambil kes yang mempunyai banyak persamaan dengan negara kita, iaitu Taiwan. Penduduk negara Taiwan adalah 20 juta orang, lebih kurang sama banyak dengan Malaysia.

Publisher’s Weekly melaporkan baru-baru ini, pada tahun 2000, Taiwan menerbitkan 38,000 judul bernilai US3.8 bilion.  Daripada jumlah itu 8,000 adalah judul buku terjemahan. Pada puratanya, setiap kedai buku di Taiwan menjual 10,000 naskhah buku, 3,000 daripadanya adalah buku terjemahan.

Sumber terjemahan paling besar di Taiwan adalah bahasa Jepun, iaitu judul-judul komik diikuti oleh novel. Pengarang novel paling laris di Taiwan adalah Murakami Haruki. Novel-novel beliau diterjemahkan ke dalam 17 buah bahasa dan dijual di 39 buah negara. Murakami Haruki begitu popular di Taiwan sehingga banyak kafe, restoran dan minuman buah-buahan campuran menggunakan nama beliau, judul novelnya dan nama-nama watak dalam novelnya sebagai pelaris, malah ada taman perumahan yang menggunakan nama beliau.

Di Taiwan, 50% daripada semua judul buku bacaan kanak-kanak adalah judul terjemahan. Maklumat ini boleh dijadikan panduan kepada mana-mana penerbit tempatan yang berminat memasuki pasaran buku terjemahan supaya memberi perhatian kepada potensi buku kanak-kanak. Bagi tahun 2000 dan 20001, buku-buku Harry Porter menjadi bestsellers, mengalahkan judul-judul karya tempatan di Taiwan. (Perkara yang sama berlaku di Korea dan Jepun.)

Bagi pasaran buku-buku bacaan dewasa, buku-buku terjemahan yang laris di Taiwan adalah buku-buku akademik yang bersifat serius dan dibeli oleh pembaca lelaki berpendidikan. Bagi tahun 2000 judul-judul paling laris adalah:-

The Dilbert Principle, karya Scott Adams (laku 1 juta naskhah)
The Third Way, karya Anthony Giddon.
All Too Human, karya George Stephanapoulus.
Building Wealth, karya Lester Thurow.
E=MC2, karya David Bodanis.
Galileo’s Daughter, karya Dava Sobel.
Longitude, karya David Sobel.

Antara pengarang Barat yang karya mereka mendapat sambutan hangat di Taiwan termasuklah Peter Singer, Micheal E. Porter, Peter Drucker, George Soros, Charles Handy, John Nesbitt dan Steven Covey.

(Di Jepun perkara yang sama berlaku di mana 50% daripada 100 judul buku paling laris adalah terjemahan. Buku paling laris di Jepun bagi tahun 2001 adalah terjemahan Who Moved My Cheese oleh Spencer Johnson.)

Di Taiwan, lima buah penerbit buku-buku terjemahan yang terbesar adalah DK Company, Cambridge and Larousse, Polo Press, Commonwealth Publishing Co., dan Thinking Tree. Syarikat Thinking Tree mengambil masa 3 tahun sahaja bagi melonjak naik dan masuk ke dalam senarai 5 penerbit terbesar negara itu dengan menumpukan aktivitinya kepada terjemahan buku akademik yang serius.

Purata setiap rakyat Taiwan bagi membeli bahan bacaan sebanyak US118 (RM450) setahun. Buku-buku yang terbitkan dan dicetak Taiwan dieksport ke Hong Kong, Malaysia dan Singapura. Bagi setiap 6 buah buku yang dijual di Taiwan, sebuah dijual di Hong Kong. Pada masa ini, maklumat yang kita peroleh menunjukkan, penerbit yang paling banyak menanggung kerugian akibat aktiviti cetak rompak di Malaysia adalah penerbit-penerbit Taiwan. Buku-buku dalam bahasa Cina paling banyak dicetak rompak dan dijual dengan harga murah. Sektor pasaran buku, majalah dan akhbar yang paling besar di negara ini adalah juga sektor bahasa Cina.

Sumbangan Terjemahan kepada Peluasan Peluang Pekerjaan Profesional dalam Bidang Perbukuan:

Berdasarkan maklumat dari Taiwan, kita boleh membuat anggaran jumlah pekerjaan profesional yang dicipta oleh aktiviti penerbitan buku-buku terjemahan di negara itu.

(a) Kalau seorang penterjemah dapat menterjemahkan 8 judul setahun, sekurang-kurangnya 1,000 orang penterjemah sepenuh masa diperlukan bagi menerbitkan 8,000 judul setahun.

(b) Kalau seorang editor mengedit 20 judul setahun, 400 editor diperlukan.

(c) Kalau seorang artis kulit buku menghasilkan 30 buah kulit setahun, 266 artis diperlukan.

(d) Kalau seorang artis layout buku menghasilkan 40 buah manuskrip setahun, 200 orang diperlukan.

Ini bermakna, bagi kerja-kerja profesional pracetak sahaja, Taiwan mencipta 1,866 jumlah pekerjaan untuk menerbitkan 8,000 judul buku terjemahan pada tahun 2,000 yang lalu. Anggaran ini tidak memasukkan peluang pekerjaan dalam sektor sokongan dan hiliran.

Penutup:
Untuk memahami implikasi aktiviti penerbitan buku terjemahan ke atas ekonomi sesebuah negara, kita ambil kes negara jiran kita. Filipina adalah pengimport buku-buku dalam bahasa Inggeris yang terbesar disebabkan keperluan dasar pendidikan negara itu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Import kertas dikenakan cukai oleh kerajaan Filipina manakala buku-buku import tidak dikenakan cukai. Ini menyebabkan kos mencetak buku-buku terbitan tempatan menjadi mahal. Filipina mengalami kerugian kos membeli buku-buku import, pelepasan cukai, peluang pekerjaan dan ekonomi perbukuan yang kecil. Kerugian daripada sudut pendidikan adalah lebih serius disebabkan bahasa Inggeris tidak dapat menyampaikan ilmu pengetahuan moden kepada kanak-kanak yang ibu bapa mereka tidak bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah iaitu keluarga miskin dalam bandar dan penduduk luar bandar.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024