Artikel

The Muslim Show : Menjadi Artis Itu HARAM?

oleh Hilal Asyraf pada 07 Feb 2014

Apa Yang Kita Nampak Pada Artis Hari Ini.

Kita terperangkap di dalam satu suasana di mana artis seakan-akan merupakan satu ‘cap buruk’ kepada diri kita. Kita melihat bahawa artis membawa influence yang buruk, mereka ini berlagak, terlalu high class, terkinja-kinja mencari populariti, tidak berakhlak, tidak mengikuti syariat dan sebagainya.

Saya memahami ‘kotak pemikiran’ sebegini kerana itulah yang disogokkan oleh suasana kepada kita. Artis-artis yang terkenal dari barat dan timur seperti Korea dan Jepun juga menunjukkan keadaan yang sedemikian, yang kita boleh lihat pada mana-mana sahaja majlis penganugerahan mereka, kehidupan harian mereka yang disensasikan dan sebagainya.

Maka, ‘artis’ seakan sudah menjadi satu perkataan yang buruk, dalam komuniti mereka yang menganggap diri mereka ‘soleh dan solehah’.

Tidak hairanlah, dengan pandangan yang sedemikian, ada yang menyatakan menjadi artis adalah haram. Wanita yang menjadi artis dilihat seakan murahan dan ‘menjual diri’, dan sebagainya.

 

Tetapi Realitinya, Artis Adalah Profession.

Namun, realitinya, artis hanyalah sebuah profession. Sebagaimana kita bekerja di pejabat juga, sebagaimana kita menjadi guru, menjadi menteri, menjadi jurutera dan sebagainya. Artis adalah sebuah pekerjaan. Cuma mungkin, pekerjaan itu dilimpahi dengan ke’glamour’an dan suluhan lampu sorot. Pekerjaan itu mungkin membuatkan orang yang bekerja sebagai artis kelihatan lebih menonjol, dan mudah menjadi isu jika ada apa-apa yang berlaku.

Justeru, saya melihat, menjadi artis adalah haram merupakan satu perkara yang tidak benar.

Menjadi artis tidak haram. Sebagaimana tidak haramnya kita menjadi cikgu, menjadi jurutera, menjadi menteri dan sebagainya.

Namun, apa yang membuatkan ianya boleh jatuh ke tahap yang haram adalah apabila kita campurkan perkara yang tidak syara’ di dalamnya. Membuka aurat contohnya, berpakaian ketat contohnya, kerjanya itu memerlukan dia berkata perkataan yang kesat, kerjanya itu membawanya kepada syirik dan sebagainya. Itu yang menjadikannya haram.

Sama sahajalah haramnya menjadi cikgu jika kerjanya mengajar orang berbuat jahat, haramnya menjadi menteri jika pangkat itu digunakan untuk salah guna kuasa seperti songlap duit dan sebagainya.

Justeru, asasnya, menjadi artis itu tidak haram.

‘bagaimana’ menjadi artis itu yang menentukan halal dan haramnya profession itu.

 

Keperluan Kepada Artis Yang Memahami Islam dan Hidup Dalam Kehidupan Islam.

Kita semua pastinya bersetuju bahawa media memainkan peranan yang penting dalam membentuk masyarakat. Filem, drama, lagu dan sebagainya merupakan wasilah-wasilah yang ‘tidak langsung’, ‘tanpa sedar’, membentuk masyarakat dalam diam. Didikan anak-anak kita, pemuda dan pemudi kita, semuanya dipengaruhi dengan wasilah-wasilah tadi kerana besarnya pengaruh media dalam kehidupan.

Namun hari ini, dunia dibanjiri dengan artis-artis yang tidak mampu menunjukkan qudwah yang baik. Artis-artis tidak menunjukkan kehidupan yang Islam. Ramai yang mampu melakonkan watak Muslim dan Muslimah, namun di dalam kehidupan yang sebenar, mereka bukanlah Muslim dan Muslimah yang baik. Di dalam kehidupan sosial mereka, mereka bukan manusia yang taat kepada Allah SWT. Hatta di dalam lakonan, nyanyian dan sebagainya, mereka secara tidak langsung mempromosikan keingkaran kepada Allah dengan melakonkan cerita-cerita yang tidak bermanfaat, dan tidak menutup aurat serta tiada didikan Islamik di dalam cerita. Lebih buruk, mereka melakonkan, atau menjadi duta, kepada salah faham masyarakat terhadap Islam.

Justeru, saya melihat, adalah satu keperluan untuk kita mempunyai artis-artis Muslim dan Muslimah, yang mampu mengubah suasana ini.

Artis yang sopan, berakhlak, rajin pergi mengikuti penyampaian agama untuk mempertingkatkan diri, dari masa ke semasa berusaha memperbaiki diri, mengikuti usrah agar diri jadi lebih terjaga, dan berusaha pula menggerakkan drama-drama dan filem yang Islamik sebagai didikan secara tidak langsung kepada masyarakat. Artis-artis ini, dengan populariti yang mereka ada, dengan pengaruh yang mereka punya, akan menjadi duta-duta Islam di tengah masyarakat, sekaligus mempengaruhi masyarakat untuk menjadi Muslim dan Muslimah yang baik, bersama mereka.

Ini yang kita perlukan. Besar peranan mereka, dan besar peluang yang ada pada mereka. Amatlah rugi jika para pendakwah tidak melihat akan situasi ini, pejuang-pejuang Islam menafikan perkara ini.

Justeru, bagaimana kita boleh labelkan profession artis sebagai sebuah profession yang haram?

Yang haramnya bukan menjadi artis. Yang menentukan halal dan haramnya seseorang itu menjadi artis adalah pada ‘bagaimana’ dia menjadi artis.

Kekurangan pastinya ada. Jangan kata pada artis, pada ulama’ besar pun ada kekurangan. Kerana kita adalah manusia.

 

Penutup: Memandang Dengan Konteks Yang Luas.

Menjadi isunya adalah apabila wanita kita dedahkan sebagai artis, menjadi menonjol di khalayak, menjadi santapan mata orang ramai dan sebagainya. Itu dijadikan isu yang besar. Namun kita terlupa, sekiranya kita tidak menonjolkan muslimah-muslimah kita, maka jahiliyyah akan menonjolkan duta-duta mereka seperti Britney Spears, Selena Gomez, Katy Perry, Taylor Swift dan lain-lain untuk mempengaruhi masyarakat kita.

Kita ada pilihan di sini.

Mahu remaja kita mengikuti artis seperti Puan Wardina, Heliza, Yatt, atau mahu remaja kita mengikuti artis seperti artis di barat dan korea jepun? Ya, yang mana kita mahu anak-anak kita pergi ikuti? Semestinya sebagai seorang muslim, saya mahu remaja saya, pemuda dan pemudi saya mengikuti artis yang mempraktikkan Islam dalam erti kata yang sebenar.

Ya, mungkin masih ada beberapa perkara yang tidak selesai. Isu tabarruj contohnya. Tetapi itu semua boleh kita usahakan dari masa ke semasa. Manusia bukan macam plastisin. Ketuk terus berubah bentuk.  Karat-karat jahiliyyah memang perlukan masa untuk dikikis. Namun kita pandang perkara ini dalam konteks yang lebih luas lagi.

Jahiliyyah berusaha keras menjahanamkan kita, mengapa kita pula berusaha keras untuk menjahanamkan aset-aset yang kita ada?

Sepatutnya kita memandang positif perkara ini, dan mengusahakan apa yang boleh kita usahakan.


HILAL ASYRAF MERUPAKAN PANEL DALAM SEMINAR THE MUSLIM SHOW. Daftar seminar di pts.com.my/muslimshow

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024