Artikel

Tip Rajin Solat Awal Waktu

oleh Fazzira Ghazali pada 18 Mar 2020

Sedar tak sedar, kita sudah menghampiri bulan Ramadhan. Cepat sungguh masa berlalu! Semakin hampir dengan bulan Ramadhan, saya yakin kita semua mahu menambahkan amalan sebab mengejar pahala pada bulan Ramadhan ini sangatlah dituntut! Mungkin ada di antara kita yang solatnya masih tidak lengkap. Kadang-kadang, terlepas solat Subuh, terlepas solat Isyak dan sebagainya.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah Al-Asr, ayat 1-3). Di dalam Al-Quran telah dijelaskan bahawa kita termasuk dalam golongan yang rugi sekiranya tidak menghargai masa. Masa yang ada, kita gunakan untuk kepentingan duniawi, dan akhirnya leka tumpas dengan hawa nafsu. Ke manakah kita selepas ini? Sungguh, ini menakutkan!

Saya pernah mendengar tazkirah yang berbunyi, “Walaupun kita berbuat dosa banyak kali, tetap solat. Walaupun kita pernah melakukan maksiat, bangun, solat! Walaupun tidak memakai hijab, solatlah, walau apa sekalipun berlaku terhadapmu. Solatlah, jangan khuatir untuk digelar munafik. Hal ini demikian, pemisah antara muslim dan kekafiran adalah meninggalkan solat (H.R. Muslim). Maka, solatlah. Kelak engkau akan mendapatkan kasih-sayang Allah.” Betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita.

Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak mengenai tip mudah dan rajin solat mengikut gaya Rasulullah s.a.w. daripada buku 200 Tip Mudah dan Rajin Solat Gaya Rasulullah, karya Nor Aniza Mad Azeri. Rasulullah s.a.w merupakan suri teladan yang sangat baik, dan Allah s.w.t amat menyayangi Baginda. Jadi, kita kejar syurga sama-sama ya? Berikut beberapa tip yang boleh kita lakukan.

Yakin solat adalah penawar penyakit

Antara tip yang paling utama ialah dengan mempercayai bahawa solat adalah penawar bagi seluruh kehidupan di dunia dan akhirat. Hal ini demikian, menurut kajian, sekiranya kita melakukan pergerakan badan dalam solat dengan betul, ianya diumpamakan seperti melakukan senaman ringan, dan juga dibuktikan dapat meningkatkan tahap ketahanan badan sekaligus dapat menghindarkan penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, tekanan kolestrol dan sebagainya.

Aktifkan penggera waktu solat

Antara salah satu usaha untuk mendirikan solat adalah dengan menetapkan jam penggera pada waktu solat, dan kemudiannya berusaha untuk solat pada waktu tersebut. Kini, banyak aplikasi notifikasi azan yang boleh dimuat turun di Internet. Semuanya menarik! Kita juga bolehlah meminta ibu, adik-beradik mahupun kawan-kawan untuk mengejutkan kita daripada tidur pada waktu solat itu. Paling penting, jangan lupa untuk menggantikan solat yang pernah kita tinggal selepas solat fardhu. Pada peringkat permulaan, mungkin akan berasa penat kerana belum menjadikan ianya satu kebiasaan. Namun, percayalah, anda akan terbiasa kelak. Dengan izin Tuhan.

Solat sebelum tidur

Seterusnya, kita juga haruslah berdisiplin untuk solat sebelum tidur. Maksud saya, anggap sahaja seolah-olah anda akan meninggal dunia ketika anda tidur, dan tidak lagi sempat untuk berbuat amal pada keesokan harinya. Solatlah, sebelum anda tidur. Kita semestinya tidak mahu untuk mati dalam keadaan yang hina, bukan? Di samping itu juga, kita bolehlah buat jadual waktu harian, supaya kita boleh berehat dan mampu untuk solat pada waktunya. Dua dalam satu. Kerana dunia ini merupakan ladang bagi akhirat. Tempat kita berhempas-pulas melakukan solat dan kebaikan, dan berehat selama-lamanya di akhirat nanti.

Siap sedia sebelum azan

Antara tip lain yang mudah dan rajin solat adalah membuat persediaan awal sebagai terapi sebelum menunggu azan untuk solat misalnya seperti bersugi, dan mandi. Selain daripada rasa ‘fresh’, kita juga akan lebih rasa bersedia dan menikmati detik indah dengan pencipta kita yang satu (khusyuk), dengan izin Tuhan.

Berdoa

Terapi lain termasuklah dengan menunaikan solat Dhuha dan solat sunat Tahajud. Imam Asy-Syafi’i berkata, “Doa di saat Tahajud, adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran.” Berdoalah kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh, diberi ketetapan hati untuk solat fardu yang penuh. Berdoa juga untuk diberikan keampunan kerana dosa-dosa lepas. Sesungguhnya Dia itu bersifat Maha Pengampun. Maha Suci Tuhan!


Sesungguhnya, saya amat berharap agar tip yang dikongsikan bermanfaat untuk semua pembaca. Jangan risau, anda masih tidak terlambat lagi untuk mula solat sempurna 5 waktu, dan tambahan solat-solat sunat yang lain. Ingat, solat bukan sebab kita baik, tetapi sebab kita hanyalah seorang hamba. Untuk tip lain, anda juga bolehlah rujuk buku 200 Tip Mudah dan Rajin Solat Gaya Rasulullah, karya Nor Aniza Mad Nazeri. Sangat mudah, murah dan menyeluruh! Jangan lupa dapatkannya dengan segera di kedai buku yang berhampiran dengan anda ataupun beli atas talian di www.bookcafe.com.my sekarang. Selamat menyambut bulan Ramadhan, semua! Semoga kita dapat kekal istiqamah melakukan kebaikan dan dilindungi Tuhan. Dengan izin Tuhan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025