Artikel

Waktu Cuti Bersama Anak Syurga Austisme Saya - Hamka Kereta Mayat

oleh Hamka Kereta Mayat pada 17 Mar 2020

Cuti sekolah tiba lagi, anak yang tinggal di asrama (seramai tiga orang) semuanya pulang kepangkuan ayah dan bondanya, dah kereta yang dulu berempat (saya ada lima anak) kini penuh bertujuh.

Bilik anak yang sunyi, meriah dengan kepulangan anak anak.

Sebelum saya mendapat anak autisme, (saya ada lima anak, anak autism paling bongsu) aktiviti cuti sekolah ternyata tidak sama.

Jika dahulu, sebelum kehadiran Muhammad Iman, anak syurga kami, kami berenam akan mulakan aktiviti pagi berjemaah dengan sarapan.

Lepas sarapan, sebelum mereka nak bermain, tonton TV, atau buat apa sahaja, kami akan berikan mereka tugasan mudah, iaitu setiap anak dibekalkan dengan buku kosong, dan diminta menulis tugasan harian seperti:

Nama Nabi, nama malaikat, peristiwa bulan Islam, sifat sahabat, rukun iman, rukun solat, rukun negara, pantun, makna bacaan solat, lirik lagu yang bersesuaian, makna surah pendek, dan bermacam lagi tugasan yang mereka boleh rujuk buku, bertanya kepada abang, bertanya kepada saya, yang mana soalan disediakan mengikut tahap umur, abangnya yang dewasa, mungkin kena terangkan makna sifat dua puluh, adiknya yang kecil, cukup hafal nama khalifah Islam dan lain lain.

Selepas mereka tulis, saya galakkan mereka hafal, setelah dah hafal, barulah mereka boleh bermain atau lain lain aktiviti bebas yang bagus untuk rohani dan jasmani mereka.

Selain itu saya juga ada buatkan permainan ‘anak tanya, ayah jawab’ iaitu setiap anak wajib bertanya satu soalan, dan daripada soalan mereka saya akan jawab mana-mana soalan yang saya tahu. Manakala, jika ada soalan yang saya tidak tahu maka akan kami sedia bantu mencari jawapan terutama soalan daripada mereka yang bersifat di luar kotak normal. Permainan ini sesuai dimainkan waktu memandu kereta, atau ketika sedang makan malam.

Selalu saya tekankan, “Ayah masih hidup, tanyalah apa sahaja sebelum ayah meninggal. Nanti ayah dah mati, ‘mengeteh di kubur ayah’ sahajalah.”

Mendengar desakan begitu, maka bermacam-macam soalan daripada anak yang mereka sanggup bertanya sehingga saya abadikan dalam buku Kisah Anak Bini terbitan Buku Pojok, KarangKraf.

Selain itu, sejak awal kahwin, saya dan isteri setiap malam selepas Isyak akan luangkan masa selama 15 minit ke setengah jam untuk buat majlis suara Nabi.

Apa itu majlis suara Nabi?

Iaitu amalan membaca hadis Nabi kerana di zaman sahabat Nabi, mereka boleh dengar hari-hari suara Nabi lalu mereka pun ‘improve’kan diri masing-masing. Sekarang, Al-Quran dan hadis telah menjadi warisan Nabi, tinggal kita nak kena hidupkan kembali ‘suara Nabi’ agar anak isteri dapat mengambil manfaat seperti mana anak isteri sahabat yang mendengar ‘suara Nabi’ daripada suami mereka yang bercerita akan sabdaan Nabi setelah bergaul dengan Nabi sehari hari.

Untuk itu, boleh mulakan dengan kitab Mutakhab Hadith karangan Maulana Yusof atau Fadhilat Amal karangan Maulana Zakaria. Kumpul anak beranak dan baca dengan gaya ustaz walaupun anda bukan ustaz, dan anak beranak kena dengar gaya pelajar walaupun mereka ustaz atau ustazah.

Baca hadis Nabi jika boleh ulang tiga kali. Tak perlu tafsir yang dalam-dalam, sebab sudah ada tafsir kat bawah. Baca sahaja dalam bahasa Melayu, maka insyAllah ianya akan mengeluarkan satu cahaya yang boleh menerangi hati si pendengar dengan syarat si pendengar faham apa yang didengar dan sanggup mendengar dengan penuh rendah diri.

Jadi dari awal kahwin istiqamah buat setiap malam, hinggalah ada anak atas riba, dan anak membesar, lalu bila anak boleh membaca, maka giliran anak pula yang bacakan hadis sehingga saya kadang boleh tegur kesalahan bacaannya sebab kita dah macam hafal kerana kerap mendengar hadis berkenaan.

Penting kita dengar banyak hadis supaya kita sentiasa ada modal nak bercakap bab agama dengan anak-anak. Contohnya, saya ada urusan luar dan balik lewat. Sampai rumah, saya akan tanya anak-anak, tadi hadis apa yang dibaca? Lalu saya dan anak bersembang kisah agama yang berkaitan dengan hadis tadi. Nampak tak? Alhamdulillah.

Namun semenjak ada anak autsime, dukacita, semua perkara di atas; bercerita waktu makan, bertanya soalan, membaca hadis, tidak mampu dilakukan oleh Muhammad Iman kerana autism ini lain cara berfikir dan hidup dalam dunianya sendiri.

Untuk itu, selain saya kekalkan amalan di atas untuk anak normal, (satu tugasan di waktu pagi, bertanya soalan waktu makan, dan 30 minit bacaan hadis setiap malam) bagi anak syurga pula saya banyak buatkan aktiviti terapi.

Bagi mereka yang mendapat anak syurga autisme, ada tiga perkara penting kita kena fokus setiap hari iaitu;

  1. Pastikan anak makan makanan yang sihat agar otaknya sihat.
  2. Pastikan anak sentiasa aktif beriadah agar jasmaninya sihat yang akan membantu perkembangan otak.
  3. Pastikan terapi pertuturan, terapi saraf, terapi kerja terus kita buat dari masa ke semasa.

Untuk itu, aktiviti fizikal yang ada kaitan dengan sunnah Nabi adalah mendaki, berenang, memanah dan berkuda.

Maka kami sekelurga apabila tiba cuti sekolah, akan selalu hiking bersama-sama dan setakat ini antara bukit yang anak syurga saya dah tawan; Bukit Pelindung Kuantan, Bukit Besar Terengganu, Bukit Keluang Besut, Bukit Panaroma, dan banyak lagi.

Sungguh saya mendapati, mendaki bukit bersama anak-anak adalah detik terbaik untuk kita berborak, bercerita, berceramah, dan saling bantu-membantu. Bila penat, anak-anak duduk, banyak kisah yang dapat kita kongsikan bersama mereka.

Selain mendaki, kesemua anak saya termasuk anak syurga saya hantar ke kelas renang. Semua anak dah boleh berenang kecuali anak syurga. Tak apa, pelan-pelan kayuh.

Untuk memanah, saya bermodalkan kedai dua ringgit. Banyak mainan yang jenis ada sasaran dibeli agar anak syurga saya selalu fokus dalam aktiviti. Maka pistol, bowling, senapang, lastik, set panah, yang hanya berkos RM2 akan digunakan sampai rosak dan beli baru.

Untuk berkuda belum lagi kerana tiada kemudahan yang berhampiran. Tapi selalu juga bawa anak ke zoo yang berhampiran, dan saya ada membelikannya basikal. Baru-baru ini dua roda tambahannya patah, dan saya cabut, dia marah lalu mengamuk. Tapi ketika artikel ini ditulis, anak kelihatan sudah pandai membawa basikal tanpa tayar bantuan dan sebaik dia berjaya, riak wajahnya sangat gembira dan kelihatan dia semakin lebih yakin dengan keupayaan dirinya. Alhamdulillah.

Selain itu, tempat yang saya suka bawa anak syurga saya pergi adalah pantai. Banyak aktiviti anak boleh dilakukan seperti mengumpul siput, mengejar ketam, lumba rumput pantai, tanam diri di dalam pasir, melompat ombak, mandi laut, lumba tulang sutong, bowling kelapa, atau bawakan mainan dari rumah dan jadikan pantai ruang bermain kereta mainan yang suka di susun. Tak apa, pantai itu luas, dan biarkan dia menyusun permainan di ruang yang luas.

Di dalam rumah pula, untuk aktiviti malam, suka saya kunjungi kedai DIY dan pergi ke ruang kraftangan. Banyak permainan yang modalnya dalam RM10 ke bawah. Ada permainan gunting kereta kertas, tampal mata pada raksasa, lipat rumah, pokok getah, warna kartun, serbuk gam, dan macam-macam. Semua itu untuk pastikan anak selalu menggunakan minda dan jasmani agar sewaktu buat terapi pertututan, anak lebih mudah menyerap ilmu.

Tidak dinafikan, rumah akan bersepah, kita akan sangat penat. Namun demi kebahagian anak-anak dan amanah Allah, semua itu mudah sahaja bila kita ikhlas dan redha.

Sungguh, penatkan diri untuk orang tersayang adalah modal pahala, dan bila kita penat, maka kita dah tak larat buat maksiat!

Woha!

Akhir kata, saya suka berpesan kepada diri, jangan pernah malu ada anak syurga. Allah berikan apa yang terbaik buat kita. Maka, setiap hari di jalanan jika ada orang pelik melihat aksi anak, akan segera saya bagitahu kepada mereka, “Anak saya OKU dan saya okey, dan jangan tuan puan bimbang dengan ragam anak syurga saya sebab anak saya ni nanti dia tak ikut tuan balik rumah, tapi dia akan ikut saya balik ke rumah.”

Ha ha. Tak adalah sampai macam tu pesanan saya, kasar sangat tu. Tapi adalah sikit-sikit infomasi agar masyarakat sedar dan kebanyakkan masyarat kita hari ini sangat membantu. 90 peratus manusia yang saya jumpa adalah celik autsime! Terima kasih semua.

“Sekiranya beginilah caranya Allah nak ampunkan dosa saya, alangkah ringannya penderitaan ini. Dan apabila beginilah caranya Allah nak selamatkan saya daripada azab api neraka dan masukkan saya ke dalam syurga yang kekal abadi, alangkah ‘indah-nya’ penderitaan ini.”

Yang baik semuanya daripada Allah, yang buruk atas kelemahan diri sendiri. Saya juga masih belajar, dan ujian anak autism saya sangat ringan berbanding keluarga yang ada anak OKU pelbagai tahap. Hidup ini akan diuji dan sebaik-baik ujian adalah kita terima dengan hati seluas dunia!

Ayoh!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024