Artikel

Titian antara dua bangunan

oleh Helmi pada 14 Aug 2006

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baharu sahaja menyambut perayaan jubli emasnya dan pada hujung bulan Jun lalu penulis telah melalui Jalan Dewan Bahasa dan melihat pekerja-pekerja kontrak sedang sibuk bekerja dekat dengan pintu masuk bangunan lama DBP. Penulis gembira dan tertanya-tanya juga apakah mungkin jambatan ataupun titian akan dibina untuk menyambungkan kedua-dua bangunan? Waktu itu, penulis rasakan jika bukan sesuatu dibina untuk menyambung kedua bangunan pasti sesuatu yang menarik akan berlaku pada bangunan lama DBP yang pada penulis wajib dibaik pulih untuk diberi fungsi sewajarnya sebagai lambang perpaduan bangsa.

Setahu penulis bangunan lama DBP dibina oleh arkitek Y.T. Lee pada tahun 1959. Manakala bangunan baru yang didirikan setinggi 33 tingkat pada tahun 2002 adalah hasil rekaan arkitek Kumpulan Senireka Sdn. Bhd. Di atas bumbung bangunan baru terletak rehal yang memuliakan al-Quran, jelas dapat dilihat dari jauh. Di bangunan lama pula terletak Balai Budaya Tun Syed Nasir yang bermuralkan batik, berdekatan dan menghadap bulatan Edinburgh. Mural ini adalah hasil rekaan artis, Ismail Mustam. Kedudukan bangunan DBP cukup strategik kerana berdekatan dengan segi tiga emas, berhampiran pula dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara, simbol kemerdekaan negara kita.

Walaupun penulis bukanlah artis atau arkitek, organisasi DBP adalah kayu pengukur kemajuan dan penglibatan penulis di bidang penerbitan yang kebetulan hampir sama hayatnya dengan kewujudan DBP. Kisah silam kegemilangan DBP di bangunan lamanya sentiasa terpahat di sanubari. Terasa semakin umur meningkat, retak-retak halus yang terlakar di dinding bangunan DBP lama seperti mencengkam diri penulis seolah-olah kubur di seberang bangunan itu melambai-lambai kedaulatan serta roh dan semangat yang ada pada rakyat dan pemimpinnya. Maklumlah abang penulis, arwah Datuk Abdul Aziz Ahmad, adalah pengasas Pustaka Antara dan beliau adalah penerima anugerah Zaaba yang pertama.

Beliau pernah mengedarkan buku-buku DBP, juga pernah mengadakan majlis persandingan anak beliau, Asmahan di bangunan lama DBP.

Tidak segan dan tidak malu penulis mengandaikan bangunan baru dan lama seolah-olah dua wanita yang kebetulan mendirikan rumah tangga dengan dua lelaki yang bersaudara sedang menghadapi masalah kerana kedua-dua lelaki sebagai suami dan pemimpin keluarga sering difitnahkan bersikap kurang setia.

Suami sebagai pemimpin rumah tangga leka, oleh itu ahli keluarga yang peduli nasib mereka wajiblah membawa ke tengah kerana undang-undang keluarga Islam yang hebat diperkatakan sebenarnya boleh melindungi dan menyelamatkan mereka lebih-lebih lagi jika pengabaian nafkah atau krisis hubungan yang menjadi punca!

Apa yang penulis ingin suarakan adalah kerana kurangnya keyakinan di kalangan pemimpin politik dan rakyat, sehingga terpaksa menggunakan undang-undang untuk mendaulatkan bahasa rasmi kita!

Lebih tepat jika penulis membandingkan bangunan baru DBP sebagai lambang semangat bangsa mendaulatkan bahasa rasmi kita. Sambil bangunan lama pula seolah-olah satu peringatan bahawa kita tidak lupa untuk melengkapkan diri dengan pelbagai bahasa, juga bahasa Inggeris yang dianggap bahasa dunia ala bahasa global pula. Pemimpin perlulah ikhlas untuk melihatkan perlaksanaan penguatkuasaan Akta DBP.

Apakah maknanya peradaban jika tiada perpaduan dan jalan perpaduan bukankah dengan mengunggulkan bahasa rasmi kita? Tugas DBP jelas dan nyata, tetapi tanggungjawab pemimpin bersama-sama rakyat perlulah jujur hatta terpaksa meminda atau menggubal Akta Bahasa Kebangsaan 1963 perkara 152, di dalam Perlembagaan Negara untuk membolehkan DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak supaya menghormati kedaulatan bahasa Melayu agar tidak terhapus tamadun bangsa. Perlu diingat serangan media dan teknologi di era siber lebih besar daripada ombak tsunami yang melanda, jika kita tidak bersatu mengubah hala, kelemahan kita boleh menelan jati diri bangsa.

Jika pemimpin politik tidak serius, pada penulis tidak ada bezanyalah mereka dengan mana-mana pendakwah dan karyawan termasuklah para penerbit, baik penerbit buku, penggiat seni ataupun penerbit filem, artis ataupun penyanyi kerana mereka sekadar perlu membaca dan mengolah manuskrip atau lirik yang disediakan untuk disampaikan pada sasarannya, mengikut niat dan keadaannya.

Buku Sebutir Bintang Mengerdip, oleh Majlis Buku Malaysia, biografi Tan Sri Abdul Rafie Mahat, bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, menyatakan Tiada gunanya kita bermati-matian mahu memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan sekiranya kepentingan itu tidak dilindungi pada peringkat universiti. Sewajarnya kepentingan bahasa Melayu terus dilindungi di kolej dan universiti swasta kerana sekalipun selepas sekolah menengah kerana bahasa Melayu adalah lambang sejati diri rakyat Malaysia. Tetapi kini apakah yang terjadi?

Apakah sebabnya penulis mengada-adakan isu jambatan ataupun titian untuk menyambungkan kedua bangunan DBP? Apakah ada jangkitan dari mana-mana? Pada 22 Julai lalu penulis telah ke DBP setelah menerima jemputan menyertai Seminar Pemikiran Jaafar Rahim, dan waktu itu sempat penulis menjenguk pengubahsuaian yang berlaku dekat pintu bangunan lama DBP, rupa-rupanya hanya melibatkan sesuatu yang agak bermakna tetapi kecil sahaja.

Tidak salah jika penulis mahu menganggap bangunan DBP lama seperti seorang wanita yang kehilangan suami secara tragik, sanggup melolong untuk didengar hingga ke mana-mana! Kenapakah sedemikian?

Penulis pernah merayu di dalam tulisan dan di seminar agar bangunan DBP lama dijadikan pusat setempat untuk penerbit tempatan meletakkan contoh buku-buku mereka. Para peminat buku tidak perlu meredah jalan-jalan di bandar raya yang selalu sesak. Di situ juga perlu diletakkan pusat menerima hak cipta atau ejen karya seperti di negara Barat.

Bermulanya DBP adalah dengan menerbitkan majalah Dewan Bahasa dan lain lain. Hairannya tidak laris walhal mengikut data Kementerian Pelajaran pada tahun 2004 ada 7,562 buah sekolah rendah dan 1,976 buah sekolah menengah telah terbina di negara kita.

Ini bermakna ada 3.12 juta murid di sekolah rendah manakala 2.16 juta murid di sekolah menengah. Jumlah guru yang mengajar ada 314,183 orang. Ada 2,786,800 penuntut di peringkat universiti. Kini terdapat 9,538 buah perpustakaan di seluruh negara jadi baik majalah dan buku-buku DBP sepatutnya sudah dicetak berulang kali. Malah kini murid-murid di peringkat menengah dan universiti wajar disertakan di sebarang program adaptasi dan penterjemahan bahasa dengan DBP.

Contoh orang Melayu kita tidak yakin ia itu pada Jun 2005, Jabatan Bahasa Melayu, Foreign Universiti Beijing telah mengadakan seminar bertajuk Budaya dan Pemikiran Malaysia China di Beijing. Kedengaran ada wakil kita memohon untuk berbahasa Inggeris tetapi telah ditolak permintaan walaupun orang-orang China Universiti Beijing tahu berbahasa Inggeris. Mereka mahu penyampaiannya di dalam bahasa Melayu sahaja. Pada penulis yang juga mengamalkan dwibahasa seolah-olah kita mahu bawa keju kepada mereka dan yang mereka pinta dan minat adalah sambal belacan kita.

Tambak Johor adalah jambatan yang menyambungkan Malaysia dengan Singapura amat penting bagi negara kita lebih lebih lagi untuk pedagang buku-buku import. Dianggarkan lebih 300 juta setahun buku-buku dari luar negara melalui jambatan Tambak Johor. Kerana kita mengagungkan bahasa Inggeris, nilai buku, iaitu bahan santapan minda yang masuk jadi berganda. Kerana Tambak Johor, 20 syarikat pedagang buku asing dapat memberi pekerjaan kepada lebih 500 orang rakyat Singapura kerana negara kita adalah negara yang paling banyak memasukkan bahan terbitan dari luar berbanding negara lain di Asia Tenggara.

Oleh RAHMAH S. AHMAD

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024