Artikel
Buku ilmiah perlu perhatian
oleh Helmi pada 10 Aug 2006
MAJLIS Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) merupakan satu-satunya gabungan para penerbit buku ilmiah yang ada di Asia Tenggara. Sementara para penerbit universiti atau pusat penyelidikan di rantau ini berdiri dan berjuang secara bersendirian dengan kekuatan institusi induk masing-masing, Malaysia ternyata melangkah setapak di depan.
Para penerbit universiti dan institusi penyelidikan yang menerbitkan karya ilmiah di negara ini bergabung di bawah MAPIM yang kini dinaungi oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
Pada masa ini, draf Perlembagaan MAPIM yang baru telah disiapkan. Draf itu akan menggantikan Perlembagaan MAPIM yang lama, yang digubal sedekad yang lalu. Masa berubah dan keanggotaan MAPIM semakin bertambah, daripada anggota asalnya pada tahun 1996 yang terdiri daripada penerbit universiti yang utama sahaja.
Kini keanggotaan MAPIM sudah mencapai 25 institusi yang merangkumi semua institusi pengajian tinggi awam, Dewan Bahasa dan Pustaka, MARDI, MPOB, Institut Terjemahan Negara, ISTAC, INTAN, dan IKIM. Justeru, perlembagaannya yang asal tidak berupaya untuk memenuhi aspirasi semua anggotanya. Perlembagaan baru yang siap digubal itu pun tidak akan mampu memenuhi hasrat semua pihak, meskipun yang difokuskan adalah tentang penerbitan ilmiah yang menjadi nyawa kewujudan MAPIM.
Yang jelas, MAPIM bukanlah institusi yang baru. Sejarah MAPIM dapat dikesan sejak tahun 1980-an lagi apabila PEPET ditubuhkan. Sejak itu MAPIM menjadi gabungan bagi para penerbit ilmiah bagi melayani aktiviti masing-masing. Tetapi selama itu pula, kehadiran MAPIM hanya dirasai di kalangan anggotanya sahaja atau lebih tepat lagi di kalangan para penerbit universiti dan pusat penyelidikan sahaja. MAPIM pada umumnya tidak dikenali oleh para ahli akademik tempatan, apatah lagi di luar negara.
Justeru, sekian lama MAPIM hanya menjadi perkumpulan eksklusif di dalam kelambu para anggotanya sahaja. Mereka yang di luar mungkin hanya menyedari kehadiran MAPIM apabila Pesta Buku Antarabangsa KL sahaja, iaitu apabila kelambu MAPIM itu ditunjukkan menerusi beberapa buah gerai yang disewanya secara bersama. Selain itu, MAPIM terlalu eksklusif sehingga kehadirannya tidak dihiraukan. Samalah halnya dengan kedudukan buku ilmiah, yang rata-rata kurang diberikan perhatian.
Namun MAPIM tidak boleh dipersalahkan kerana sekadar menjadi kelambu para penerbit ilmiah semata-mata. Kewujudan MAPIM itu sendiri dalam situasi tidak adanya gabungan penerbitan ilmiah di negara-negara lain di Asia Tenggara sudah cukup membuktikan kehebatan para penerbit ilmiah kita dalam berorganisasi. Untuk menyalahkan MAPIM kerana gagal membawa dunia penerbitan ilmiah kita ke peringkat antrarabangsa samalah dengan menyalahkan IPTA kita kerana tidak mendapat tempat yang memuaskan dalam penarafan universiti dunia.
Ramai yang membandingkan prestasi penerbitan ilmiah kita dengan Singapore University Press (SUP). Mereka menyatakan bahawa buku-buku ilmiah terbitan SUP lebih menyerlah kualiti dan lebih luas penyebarannya. Setiap tahun, SUP tidak ketinggalan mempunyai gerainya sendiri di Frankfurt Book Fair, sedangkan para penerbit ilmiah tempatan atau MAPIM sendiri tidak pernah muncul, sekurang-kurangnya sejak alaf baru ini.
Seorang bakal penulis memberitahu, biarpun saya sendiri meraguinya, bahawa buku-buku terbitan SUP boleh didapati di kedai buku Barnes & Noble yang bertebaran di seluruh Amerika itu. Hal ini nyata tidak benar apabila Paul Krotoska yang menjadi pemangku Direktor SUP sendiri menafikannya. Malah sebenarnya, dan Paul sendiri mengakui bahawa kedudukan SUP cukup tenat untuk terus bertahan. Hanya ihsan Hawaii University Press sahaja-itupun setelah memberikan diskaun 75 peratus-dan hak cetak beberapa judul buku dengan penerbit Amerika sahaja yang membolehkan buku-buku SUP dapat dipamerkan di beberapa kedai buku universiti di luar negara, tetapi bukan di Barnes & Noble.
Memang kita akui bahawa prestasi Penerbit Universiti Malaya atau Penerbit UKM hanya bersifat tempatan. Untuk masuk ke pasaran Indonesia pun, buku-buku kita tidak diterima. Justeru, buku-buku ilmiah bahasa Melayu hanya untuk pasaran tempatan sahaja. Bagi buku berbahasa Inggeris pun, hambatan yang lain menanti. Umumnya, buku berbahasa Inggeris terbitan tempatan dianggap kelas kedua, iaitu buku-buku yang tidak dapat menembusi para penerbit ilmiah yang berpusat di London atau New York.
Buku-buku itu ditulis oleh pengarang tempatan yang tidak diterima oleh penerbit antarabangsa atau pengarang baru yang baru mencari tapak dalam dunia penerbitan. Justeru, prestasi penerbitan ilmiah tempatan agak mengecewakan. Sudahlah ditulis oleh pengarang kelas kedua, buku itu pula tidak disunting oleh editor yang berwibawa, dan ditambah dengan kualiti pengeluaran yang sederhana dan saluran pengedaran yang lemah, akhirnya buku itu tidak ke mana-mana selain memenuhkan stor para penerbit yang kian sendat.
Pada masa yang sama, penerbitan ilmiah kita berhadapan dengan persoalan yang besar dalam kerangka kewujudannya sendiri. Hakikat bahawa penerbitan ilmiah merupakan salah satu tiang bagi universiti, selain pengajaran dan penyelidikan, tidak selalunya difahami oleh birokrat universiti. Penerbitan sentiasa dilihat sebagai satu entiti yang terpisah, jauh kurang penting daripada pengajaran dan penyelidikan. Tumpuan universiti adalah pada kedua-dua tiang itu, dan penerbitan hanya mengharap perhatian daripada seorang dua pentadbir universiti yang kebetulan pernah menghasilkan tulisan atau buku.
Penganaktirian penerbitan ilmiah ini dapat kita kesan di kebanyakan universiti kita. Entiti penerbit memang ada kerana kewujudannya sentiasa dipantau oleh kementerian. Tetapi dengan peruntukan yang tidak konsisten dan bilangan staf yang sedikit, tidak tetap dan tidak terlatih, yang dapat dilakukan oleh penerbit universiti hanyalah menerbitkan satu atau dua judul buku atau jurnal. Yang dipentingkan ada penerbitan, sedangkan kualiti dan konsistensinya diabaikan. Kesannya, sudah pasti penerbitan ilmiah tidak dapat memberi sumbangan apa-apa kepada universitinya.
Barang diingat bahawa penerbitan ilmiah wujud kerana fungsinya untuk membantu universiti menyebarkan pengetahuan sejauh dan seluas mungkin-far and wide-menurut Daniel Coit Gilman, presiden pertama Johns Hopkins University pada tahun 1878. Penerbit universiti diharap dapat berperanan sebagai wahana untuk menyebarluaskan ilmu dan kepakaran universiti, bukan setakat kepada para mahasiswanya di kampus, malahan di sarata dunia.
Justeru, penerbit universiti harus menjadi suara sehingga institusi induknya dikenali oleh dunia luarnya. Untuk membolehkannya memainkan peranan itu, perhatian yang saksama perlu diberikan oleh pentadbir universiti, sama seperti perhatian yang selama ini ditumpahkan kepada pengajaran dan penyelidikan.
Itulah antara persoalan yang membelenggui MAPIM sekarang-persoalan tentang entiti kewujudannya sendiri dalam ruang lingkup universiti. Ini belum lagi persoalan tentang bahasa. Dan persoalan bahasa yang dihadapi oleh anggota MAPIM sebenarnya mencerminkan persoalan yang lebih besar dalam penggunaan bahasa di IPTA kita sekarang. Perlembagaan MAPIM dengan jelas menyatakan bahawa dunia penerbitan ilmiah yang mahu dikembangkannya adalah dalam bahasa kebangsaan, dan sekadar mengingatkan pembaca bahawa bahasa kebangsaan kita ialah bahasa Melayu.
Persoalan yang dihadapi MAPIM itu bukan tiada penyelesaiannya. Kita berharap, Perlembagaan MAPIM yang baru itu akan dapat memperkasa penerbitan ilmiah kita.
Oleh Hamedi Mohd Adnan