Artikel

Travelog Syahadah Jadi Motivasi Hidayah

oleh Roziyah pada 09 Aug 2010

Pengalaman hidup Ustaz Rashidi Abdullah yang berhadapan pelbagai situasi dan cabaran dalam mendapat hidayah Allah menjadi motivasi berharga kepada ramai Mualaf di luar sana.

Kisah hidup Ustaz Rashidi seolah-olah menjadi panduan berharga kepada mualaf lain serta mereka yang mencari-cari kehidupan yang sebenarnya.

"Buku ini sesuai sebagai panduan motivasi kepada mereka yang ingin memeluk agama Islam dan baru memeluk agama Islam. Saya pernah menerima panggilan daripada seorang Kalotik di Sabah. Beliau meminta saya sendiri yang mengislamkan beliau selepas membaca Travelog Syahadah ini," Jelas Ustaz Rashidi.

Travelog Syahadah merupakan kisah perjalanan hidup sebenar Ustaz Rashidi yang awalnya berhijrah dari kampung ke semenanjung selepas menamatkan pengajian di tingkatan satu. Ketika berkerja di semenanjung beliau selalu berasa ingin berubah dan inginkan kehidupan yang lebih baik.

"Saat tercari-cari arah kehidupan yang sebenar-benarnya, Allah mencampakkan hidayah ke dalam hati saya. Saya ambil masa bagi berubah dan meninggalkan kehidupan dahulu," jelas beliau yang bercerita mengenai kehidupannya sebelum dan selepas memeluk Islam.

Bercerita mengenai keluarganya, Ustaz Rashidi berkata, beliau masih mempunyai ahli keluarga yang bukan Islam dan hubungan antara mereka tetap erat.

"2 hingga 3 tahun pertama memang ahli keluarga sukar menerima saya, namun setelah mereka melihat banyak perkara positif akhirnya ahli keluarga dapat menerima baik pegangan saya sekarang," jelas Ustaz Rashidi.

Bagi beliau, apabila berhadapan dengan bukan Islam, umat Islam seharusnya menggunakan pendekatan menarik dan bukannya menyerang.

"Berkawan dengan bukan Islam dan jangan gunakan taktik menyerang. Cuba hargai bukan Islam itu dengan harapan dia akan menghargai kita kembali. Jadi penyampaian dakwah akan sampai dengan lebih mudah apabila dia rasa dihargai,"jelas Ustaz Rashidi.

Ustaz Rashidi yang minat membaca buku berkaitan perkembangan minda telah memeluk Islam sejak berusia 22 tahun lagi. Beliau banyak mendalami agama Islam dengan merantau ke merata negeri bagi mencari guru dan ilmu. Beliau turut merantau ke Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu bagi menuntut dan mendalami ilmu agama Islam.

Beliau kini banyak menyampaikan ceramah di serata tempat termasuklah di kawasan pedalaman bagi menyebarkan agama Islam.

Apabila ditanya cara pembelajaran beliau, Ustaz Rashidi menjelaskan beliau banyak mengambil masa perdana seperti sebelum tidur untuk membuat hafalan tentang cabang ilmu tafsir dan hadis.

"Saya suka buat nota. Saya akan membuka nota saya itu di mana sahaja dan menghafalnya. Selain itu sebelum tidur saya akan menghafal kemudian apabila bangun saya akan pastikan hafalan masih diingati," kata beliau lagi.

Bagi beliau, apa yang lebih penting dalam menuntut ilmu adalah bersama guru.

Beliau kini sedang menghasilkan buku kedua berkaitan kisah hidupnya selepas memeluk agama Islam dan segala yang ditemui selepas beliau memeluk agama Islam.

Dapatkan buku Travelog Syahadah yang bakal menyentuh sanubari kita dan nantikan buku terbaru tentang perjalanan Ustaz Rashidi yang mampu membuatkan air mata kita mengalir.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025