Artikel
Tuan Othman Hafsham - Karipap-karipap Cinta bakal difilemkan
oleh Helmi pada 23 Apr 2010
Karipap-karipap Cinta? Tajuk novel humor terbaru terbitan PTS Fortuna Sdn. Bhd. Mungkin masih ada yang tertanya-tanya adakah ini novel paling laris masa kini. Ya, novel karya Tuan Nazri M. Annuar ini bakal diulang cetak kali ketiga dalam tempoh sebulan.
Kisah cinta Ali kepada Sarah. Bukan cinta luar biasa tetapi kisah hidup mencari cinta yang membawa peristiwa lucu, sedih dan tidak masuk akal dalam usaha Ali menawan hati Sarah.
"Ia tentang kehidupan dan cinta yang sederhana tetapi memerlukan semangat yang besar. Ia tentang kita. Tentang manusia yang mencari cinta dan mendapatkan cinta dengan apa cara sekalipun." Zalila Isa, wartawan http://psittacula.wordpress.com/
Pada pukul 4:30 petang, 22 April 2010. Pengarah tersohor Tuan Othman Hafsham berkunjung ke ibu pejabat PTS. Perbincangan kali pertama antara Tuan Fauzul Na'im Ishak, Pengurus Besar Editorial PTS, Tuan Faizal Mukhtar, Pengurus PTS Fortuna Sdn. Bhd dan Tuan Nazri M. Annuar, penulis novel Karipap-karipap Cinta berdiskusi rancak bersama Tuan Othman Hafsham. Diskusi berkisar merangka kerja memindahkan hasil karya novel ini ke layar perak.
Tuan Othman Hafsham, pengarah yang dikenali ramai ini pernah mencapai anugerah Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia kali ke-4, 1983 dan kali ke-7, 1987. Selain itu, beliau juga pernah mencapai anugerah penulis Skrip Terbaik pada Festival Filem Malaysia Pertama, 1980.
Antara filem arahan beliau ialah Adik Manja (1979), Mekanik (1983), Rahsia (1987), Ujang (1989), Driving School (1990), Soal Hati (2000) dan Soalnya Siapa? (2002)