Artikel

Tuan Salim Mydin Rancang Luaskan Bahagian Buku Mydin ke Cawangan Lain

oleh Roziyah pada 11 May 2011

Mydin yang terkenal di seluruh Malaysia kini meluaskan lagi hubungannya dengan pelanggan dengan mewujudkan bahagian baru yang dikenali sebagai bahagian buku Mydin. Bahagian buku yang menempatkan buku-buku terkini daripada penerbit-penerbit besar di Malaysia itu menjadi tumpuan pelanggan Mydin bagi mendapatkan buku-buku yang digemari.

Terbaru, Wholesale Hypermarket Subang Jaya menjadi perintis dengan membuka bahagian buku baru yang menempatkan buku-buku menarik dan popular bagi memudahkan pelanggannya mendapatkan buku yang digemari.

Bagi Pengarah Urusan Mydin, Tuan Mohamed Salim Mydin, sekiranya bahagian buku ini berjaya dan mendapat sambutan hangat, beliau merancang mengaplikasikan bahagian yang sama cawangan Mydin yang lain.

"Rasa ingin mendidik masyarakat melalui membaca menyebabkan kami membuka bahagian ini bagi memudahkan peminat buku mendapatkan buku yang mereka suka. Kita juga akan mengaplikasikan konsep yang sama ke seluruh Mydin sekiranya bahagian ini mendapat sambutan yang menggalakan," jelas Tuan Salim dalam satu majlis perasmian di Wholesale Hypermarket Subang Jaya, semalam.

Majlis pelancaran bahagian buku Mydin di Wholesale Hypermarket Subang Jaya semalam juga dimeriahkan dengan kehadiran pelajar daripada Sekolah Agama Bestari Subang Jaya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025