Artikel

Ulasan Buku: Pelbagai bentuk pemikiran fiqah kontemporari

oleh Roziyah pada 07 Sep 2011

Keperluan kepada transformasi hukum Islam semasa bagi menjawab persoalan hidup yang dilingkari kemajuan sangat diperlukan kerana Islam bukan agama ritual semata-mata.

Di bawah pengaruh dunia baru, segala kemajuan baik dari ekonomi, sosial atau sains dan teknologi moden membuatkan seluruh kehidupan berubah.

Ibnu Khaldun dalam bukunya al-Muqaddimah menyebut: "Keadaan dunia, bangsa-bangsa serta adat istiadat, juga agama mereka tidak kekal dalam bentuk yang satu dan statik. Sebaliknya berubah mengikut peredaran zaman dan perubahan keadaan.

"Sebagaimana yang berlaku ke atas individu begitulah juga yang berlaku ke atas bangsa dan negara. Itulah sunnah Allah yang berlaku atas hamba-Nya."

Ia bukan perkara baru kerana pada awal Islam pemikiran fiqah kontemporari ada dalam pelbagai bentuk. Malah, syariat Islam sendiri tidak diturunkan Allah sekali gus.

Contohnya sembahyang, diwajibkan setahun sebelum peristiwa hijrah kemudian pada tahun pertama hijrah baru azan disyariatkan.

Pada tahun dua hijrah disyariatkan dan begitu juga sembahyang sunat, sembelihan korban, zakat dan pertukaran kiblat.

Begitulah seterusnya pada tahun ketiga hijrah hukum mengenai pusaka dan perceraian disyariatkan.

Al-Syeikh Muhammad al-Khudhari dalam buku Tarikh al-Tasyri' al-Islam mengulas kaedah penurunan hukum secara beransur-ansur itu dengan keadaan semasa masyarakat Arab pada waktu itu.

Beliau berkata, dalam kehidupan masyarakat berkenaan terdapat adat kebiasaan buruk yang mencengkam dan sukar sekali diubah.

Maka kaedah tadarruj digunakan bagi menghapuskan kebiasaan buruk berkenaan secara bertahap. Contohnya hukum pengharaman arak berlaku dalam tiga tahap.

Hal terbabit mengambil kira keadaan semasa yang mempengaruhi proses kejayaan pensyariatan itu sendiri. Cara ayat Quran diturunkan mengenai urusan hidup harian kebanyakan sebagai penjelasan terhadap peristiwa yang berlaku atau jawapan kepada soalan yang dikemukakan.

Tajuk: Transformasi Fikah Semasa
Penulis: Mahmood Zuhdi Abdul Majid
Penerbit: PTS Millenia Sdn Bhd
Cetakan: Pertama
Harga: RM22.50 (Semenanjung) RM25.50 (Sabah dan Sarawak)
Muka Surat: 256 muka surat

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025