Artikel
Anugerah Penulis Dapat Sambutan: Popular Rancang Tambah Kategori
oleh Roziyah pada 08 Sep 2011
Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011 yang sudah melabuhkan tirainya 27 Ogos lalu membuktikan yang penulis pelbagai genre di Malaysia kini mula mendapat tempat di hati peminat-peminat tempatan.
Penolong Pengurus Perdagangan, Jabatan Bahasa Melayu, Bahagian Perdagangan Inggeris Popular Co (M) Sdn Bhd (Popular), Cikpuan Azrina Azmi menjelaskan kepada media undian bagi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2011 tahun ini mencatatkan peningkatan.
"Sememangnya sukar bagi kita menjangkakan pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian bagi tahun ini kerana saingan yang sengit antara penulis lama dan kemunculan penulis baru yang berbakat besar serta mendapat tempat di hari pembaca," jelas Cikpuan Azrina lanjut.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan cadangan bagi menambahkan bilangan ketegori yang dipertandingkan berdasarkan sambutan dan sokongan yang menggalakkan daripada pembaca.
Tahun ini penulis buku motivasi terkemuka PTS, Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Imran Yusof berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori bukan fiksyen Bahasa Melayu melalui buku popular mereka, Berbunga Cinta Di Hati Rasulullah.
Datuk Ismail Kamus pula mengungguli tempat kedua dalam kategori yang sama melalui buku Indahnya Amalan Doa dan tempat pertama digondol oleh pendakwah terkenal, Puan Siti Nur Bahyah dan penulis bersama Siti Nur Fatimah Hasan melalui buku mereka yang bertajuk 10 Terminal Syurga Rumah Tangga.
Kategori fiksyen pula didominasi oleh pengarang muda yang mempersembahkan buku fiksyen yang menarik hati pembaca.
Karya Sulung Lynn Allyna yang bertajuk Sepupuku Suamiku berjaya meraih hadiah utama kategori fiksyen Bahasa Melayu sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,00 serta sijil dan plak penghargaan.
Tempat kedua dimenangi oleh Nurul Azalila Ahmad Sahimi atau dikenali dengan nama Areila Sahimi menerusi karya yang bertajuk 2x5. Hanni Ramsul atau nama sebenarnya Rohani Sulong pula berjaya membawa pulang tempat ketiga menerusi novel Pergilah Air Mata.
Penyampaian hadiah ini diadakan sempena pembukaan Pesta Buku Popular, Bookfest@Malaysia pada 27 Ogos lalu bertempat di Dewan Utama, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah berbesar hati menyampaikan hadiah dalam majlis berkenaan. Turut hadir dalam anugerah tersebut, pengerusi Popular Holding Limited, CN Chow; Pengarah Popular Holding, Lim Lee Ngoh serta Pengarang Sastera Berita Harian, Puan Salbiah Ani.