Artikel

Undang-undang di Zaman Rasulullah S.A.W.

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Zaman perundangan ini bermula dalam tahun 610 Masihi dan berakhir selepas kewafatan beliau dalam tahun 623 Masihi atau 10 Hijrah. Pada zaman ini terdapat 2 peringkat perundangan iaitu peringkat perundangan di Mekah dan peringkat perundangan di Madinah.

Peringkat pertama di Mekah merujuk kepada sebelum penghijrahan Nabi Muhammad ke Madinah. Ianya memakan masa lebih kurang 13 tahun. Kandungan perundangan pada peringkat ini lebih tertumpu pada hal-hal keimanan, akidah, kepercayaan dan akhlak. Peringkat kedua di Madinah adalah selepas penghijrahan iaitu lebih kurang 10 tahun yang mana proses perundangan adalah merangkumi keseluruhan konsep akidah, akhlak dan juga amali (termasuk ibadah, undang-undang dan sebagainya).

Sumber Perundangan pada Zaman ini

1. Sumber undang-undang utama dan unggul adalah wahyu Allah dalam bentuk al-Quran dan sunnah.
a. Al-Quran ialah wahyu Allah dalam bentuk makna dan perkataan
b. Sunnah ialah wahyu Allah dalam bentuk makna dan perkataan yang di dapati daripada Nabi Muhammad SAW. Ini termasuklah perbuatan, kata-kata dan takrir Nabi Muhammad. (Rujuk kepada topik Sunnah sebagai Sumber Perundangan Islam)

2. Ijtihad yang dilakukan oleh Nabi Muhammad juga dianggap sebagai sunnah.

Kaedah Perundangan

Wahyu daripada Allah SWT

Kaedah perundangan pada zaman Nabi Muhammad adalah berdasarkan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad . Apabila suatu masalah timbul dan diajukan kepada beliau, Nabi Muhammad akan menunggu wahyu. Antara contoh ayat yang diturunkan sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan adalah seperti berikut:-

1. Kes berperang dalam bulan yang diharamkan peperangan.
Surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud, “Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad, mengenai hukum berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah, peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadanya dan juga perbuatan menyekat orang-orang Islam ke Masjidil Haram…”

2. Kes Hilaal ibn Umayyah.
Hilaal ibn Umayyah datang kepada Nabi Muhammad dan menuduh isterinya berzina dengan seorang sahabat yang lain. Nabi Muhammad berkata yang bermaksud, “Sama ada engkau membawa 4 orang saksi ataupun engkau akan dikenakan 80 kali sebatan di belakangmu”. Hilaal menjawab, “Wahai Rasulullah! Sekiranya salah seorang daripada kamu melihat seorang lelaki di atas isterinya, adakah kamu hendak mencari para saksi lagi?”  Tetapi Nabi Muhammad mengulangi soalannya. Kemudian turunlah malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Nur ayat 6-9. (Sila rujuk kepada Tafsir al-Rahman)

Ijtihad

Apabila tidak ada wahyu diturunkan ke atas persoalan yang diajukan kepadanya, beliau akan berijtihad berdasarkan keterangan dan bukti-bukti yang zahir.

1. Kes berwuduk dengan air masin
Dalam satu peristiwa, Nabi Muhammad SAW ditanya: “Wahai Rasulullah! Kami belayar di lautan dan sekiranya kami mengambil wuduk dengan air tawar, kehausanlah kami. Bolehkah kami mengambil wuduk dengan air masin?” Beliau menjawab, “Ia adalah air suci dan kejadian Allah, oleh itu ia halal”.

2. Kes berhutang puasa
Ibn Abbas meriwayatkan, seorang perempuan berjumpa Nabi Muhammad dan mengadu yang ibunya meninggal dunia tetapi masih menanggung kewajipan berpuasa ganti selama sebulan. Perempuan itu bertanya kalau dia boleh berpuasa bagi pihak ibunya. Nabi Muhammad membandingkan puasa itu dengan hutang dan bertanya sama ada perempuan itu boleh menjelaskan hutang itu ataupun tidak. Apabila perempuan itu menjawab secara positif, Nabi Muhammad SAW lantas berkata, “hutang kepada Allah adalah lebih utama dijelaskan.”

3. Kes anak hitam.
Abu Hurairah meriwayatkan, seorang lelaki daripada bani Fazarah datang berjumpa Nabi Muhammad dan mengadu isterinya melahirkan anak yang berwarna hitam kulitnya, sedangkan dia dan isterinya berkulit putih. Nabi Muhammad membandingkan kejadian ini dengan unta yang dimiliki oleh lelaki itu dan bertanya sama ada warna kehitaman ada di kalangan untanya. Apabila lelaki itu mengaku adanya kehitaman pada untanya, Nabi Muhammad bertanya lagi berhubung asal usul warna itu. Lelaki itu menjawab kemungkinan ada kaitannya dengan keturunannya. Lalu Nabi Muhammad pun menyampuk kemungkinan yang sama berlaku pada anaknya.

4. Kes mencium isteri pada bulan Ramadhan
Umar al-Khattab menceritakan kepada Nabi Muhammad beliau mencium isterinya pada siang hari pada bulan Ramadhan dan bertanya adakah perbuatannya membatalkan puasa. Beliau bertanya balik, “Adakah merosakkan puasa kalau berkumur?” Umar menjawab, “Tidak mengapa.” Nabi Muhammad berkata kepadanya, “Demikian juga mencium isteri pada bulan Ramadhan”.

Perundingan dengan Para Sahabat

Ada kalanya, Nabi Muhammad SAW akan meminta pendapat sahabatnya mengenai suatu masalah atau peristiwa.

1. Kes tempat bertahan semasa peperangan Badar.
Nabi Muhammad Saw menganjurkan kepada tenteranya supaya bertahan pada satu tempat dalam peperangan Badar. Tetapi ada antara sahabat yang berpendapat tempat itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan daripada segi peperangan. Seorang sahabat al-Hubab bin al-Munzir bertanya sama ada tempat itu diputuskan oleh wahyu dan tidak boleh diubah ataupun hanya satu taktik dan tipu helah perang. Nabi Muhammad menjelaskan pilihan tempat itu hanyalah tipu helah peperangan. Al-Hubab mencadangkan supaya dipilih tempat lain yang lebih strategik daripada segi peperangan kerana pemilihan tempat bertahan juga adalah salah satu sebab memperoleh kemenangan.

2. Kes pendebungaan pada pokok tamar
Nabi Muhammad melihat penduduk sebuah kampung menjalankan proses pendebungaan pada pokok tamar mereka. Nabi Muhammad bertanya berkenaan perbuatan itu. Jawapan yang diberikan adalah mereka sudah melakukannya sejak turun temurun. Nabi Muhammad mengatakan kemungkinan lebih baik kalau tidak dilakukan. Petani-petani itu pun patuh kepada pendapat Nabi Muhammad dengan anggapan itu adalah wahyu daripada Allah. Malangnya, hasil tamar pada musim itu tidak memuaskan. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Kamu lebih mengetahui urusan keduniaan kamu”.

Perbincangan di atas menunjukkan terdapat tiga kaedah perundangan pada zaman Nabi Muhammad. Para pembaca harus jelas kaedah perundangan adalah berbeza dengan sumber perundangan. Ini adalah penting kerana sumber perundangan pada zaman Nabi Muhammad hanya tertumpu kepada al-Quran dan sunnah dan bukan ijtihad. Ini adalah kerana matlamat perundangan pada zaman ini adalah meletakkan asas dan prinsip supaya terbentuk suatu sistem perundangan yang dikehendaki Allah serta menjamin kebahagiaan manusia sehingga ke hari Kiamat. Oleh itu, para sahabat tidak diberi hak campur tangan dalam aspek perundangan kerana ia disempurnakan melalui wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.

Ciri-Ciri Perundangan

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat beliau adalah pengorbanan besar yang dilakukan bagi menyahut seruan Allah dalam usaha mendirikan sebuah masyarakat dan negara Islam yang unggul. Akhirnya, Nabi Muhammad berjaya membentuk sebuah negara Islam di Madinah al-Munawwarah yang diasaskan kepada keimanan kepada Allah demi bagi kesejahteraan umat Islam dan mendapatkan keredaan Allah di Akhirat.

Selepas tertegaknya negara Islam di Madinah, keimanan dan kedudukan umat Islam semakin kuat dan mantap, ayat Quran yang terakhir turun yang mengiktiraf kesempurnaan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad berdasarkan kepada firman Allah, surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud, “Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan nikmatku kepada kamu, dan Aku reda Islam menjadi agama untuk kamu”. Ciri-ciri perundangannya adalah:

1. Ciri unggul hanyalah perundangan Islam diturunkan melalui wahyu yang suci.

2. Segala permasalahan dalam masyarakat hanya dirujuk kepada Muhammad seorang. Oleh itu, tiada perbezaan pendapat atau resolusi undang-undang kerana hanya beliau sebagai tempat rujukan.

3. Perundangan dilengkapkan dalam bentuk prinsip asas Islam.

4. Fikah pada masa ini masih belum secara formalnya diisytiharkan sebagai sains dalam Islam. Ini kerana masih belum ada dalam buku-buku fikah masa itu. Kebanyakan peraturan-peraturan Islam ketika itu diwujudkan kerana peristiwa yang berlaku.

5. Tiada pengumpulan al-Quran. Nabi Muhammad tidak menggalakkan sahabat-sahabat merekodkan sunnah kerana dibimbangkan berlakunya kekeliruan antara sunnah dan al-Quran.

6. Perundangan tidak dilaksanakan serentak, ia berkuat kuasa secara beransur-ansur.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024