Artikel

Perbezaan undang-undang Islam dan undang-undang ciptaan manusia

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Undang-undang ciptaan manusia adalah suatu peraturan yang diperbuat sebagai panduan oleh suatu badan tertinggi yang mempunyai kuasa ke atas golongan tertentu. Ini meletakkan kuasa membuat undang-undang ke atas manusia atau suatu badan perundangan (Parlimen). Berdasarkan pengertian ini, badan perundangan berkuasa bagi membuat, meminda atau memansuhkan mana-mana peruntukan yang dirasakan perlu.

Bagi negara berparlimen seperti England, kuasa tertinggi membuat undang-undang adalah Parlimen. Tetapi bagi negara yang berperlembagaan seperti Malaysia, segala undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan. Namun begitu, dalam apa jua keadaan, kehendak manusia dalam membuat apa jua bentuk undang-undang tidaklah terbatas kerana perlembagaan juga boleh dipinda. Ini pasti berbeza dengan al-Quran yang dijamin keberkekalannya oleh Allah.

Pencipta

Undang-undang Islam adalah undang-undang Allah atau diistilahkan juga sebagai tasyrik rabbani. Oleh kerana ianya datang daripada Allah yang bersifat sempurna, ia adalah undang-undang yang terbaik dan sempurna bagi mengatur kehidupan manusia. Allah yang mencipta manusia adalah Maha mengetahui dengan jenis undang-undang yang patut dilaksanakan di kalangan manusia. Tambahan pula, manusia memang dijadikan oleh Allah bagi menjalankan segala perintah dan suruhannya dan menjauhkan diri daripada perkara larangannya. (sila rujuk surah al-Zarriyat ayat 56) Berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang terhasil daripada pemikiran manusia sendiri yang banyak kelemahan dan kekurangan.

Kepatuhan

Undang-undang atau peraturan diadakan supaya manusia mematuhinya. Manusia atau rakyat dikehendaki bertindak dan beramal mengikut undang-undang. Apabila tindakan manusia menurut kehendak undang-undang, hak individu dan orang lain terjaga. Manusia ada kalanya bertindak menyalahi undang-undang apabila merasakan mereka akan terselamat daripada tindakan atau merasakan pihak tertentu akan melakukan sesuatu bagi mengatasi kesalahan yang dilakukan. Contohnya, seorang pemandu akan memandu melebihi had laju di kawasan yang kurang pengawasan polis trafik. Ini kerana mereka merasakan mereka akan terselamat daripada tindakan itu walaupun menyalahi undang-undang.

Berbeza dengan undang-undang Islam. Manusia dikehendaki mematuhinya di mana sahaja mereka berada. Mereka juga dikehendaki mematuhinya sama ada di hadapan penguat kuasa undang-undang ataupun sebaliknya, dalam terang ataupun gelap kerana kita dikehendaki menyembah Allah SWT seolah-olah kita melihatnya dan apabila kita tidak melihatnya, sesungguhnya Allah SWT melihat kita. (sila rujuk hadis kedua dari Kitab Hadis 40)

Hukuman

Menurut undang-undang ciptaan manusia, konsep hukuman hanya setakat di dunia sahaja. Manusia dikenakan hukuman sama ada penjara, sebat atau denda. Tujuan dikenakan hukuman adalah supaya si pesalah tidak mengulangi dan sedar perbuatannya. Berbeza dengan konsep hukuman di atas, hukuman dalam Islam mencakupi kedua-dua dunia dan akhirat. Sesiapa sahaja yang melanggar hukum Allah pasti dihukum tidak kira di mana kesalahan itu dilakukan. Hukuman tetap akan dilaksanakan sama ada di dunia ataupun di akhirat.

Syariah mengandungi ‘konsep dosa dan pahala’ yang akan diadili pada Hari Akhirat kelak. Konsep ini tidak terdapat dalam undang-undang ciptaan manusia. Syariah Allah berkuat kuasa sehingga Hari Akhirat kerana ia sesuai dengan fitrah dan keperluan manusia sepanjang zaman.

Bidang Kuasa

Bidang kuasa undang-undang Islam tidak ada batasnya. Ini kerana yang mencipta atau yang memperundangkan sesuatu peraturan atau hukum itu adalah Allah. Dialah pembuat undang-undang tertinggi. Oleh kerana dunia ini diciptakan oleh Allah, undang-undang yang ditetapkannya tiada batasan masa dan tempat malah berkuat kuasa sehingga Hari Akhirat. Ini adalah suatu keunikan perundangan Islam iaitu bidang kuasa tidak terbatas. undang-undang diperakui sah dan berkuat kuasa di mana-mana jua; baik timur ataupun barat walaupun penduduk tempatan tidak mengakui kedaulatannya.

Ini bererti setiap orang yang mengakui dirinya ‘Muslim’ tertakluk kepada undang-undang Islam walau di mana berada. Ini adalah kerana dalam Islam, kuasa tertinggi undang-undang terletak di tangan Allah dan bukan pada Parlimen atau perlembagaan sesebuah negara.

Berkekalan

Undang-undang ciptaan manusia tertakluk kepada perubahan. Ini kerana menjadi suatu konsep dalam perundangan sesuatu bahagian perundangan hanya boleh dipinda atau diganti oleh institusi yang membuatnya. Ini bererti apabila parlimen yang membuatnya, maka parlimen yang memindanya. Apabila kuasa membuat undang-undang dipindahkan kepada suatu badan, maka badan itu hanya berkuasa dalam bidang yang ditetapkan. Apabila badan itu terkeluar daripada bidang kuasa yang diperuntukkan maka ia dianggap ‘ultra vires’.

Konsep pemansuhan undang-undang ini bukanlah suatu konsep asing bagi perundangan Islam. Dalam perundangan Islam ia dikenali sebagai nasakh wal mansuh. Terdapat beberapa ayat yang dihapuskan dan dipinda mengikut kesesuaian keadaan manusia. Namun begitu, proses nasakh dan mansuh hanya berlaku pada zaman Muhammad sahaja. Selepas kewafatan beliau syariah tidak boleh dipinda lagi. Ini jelas dalam firman Allah Surah al-Nahl ayat 101 yang bermaksud, “Dan apabila Kami tukarkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan, mereka berkata, ‘Sesungguhnya kamu Muhammad pembohong’. Malah kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024