Artikel

Upacara Keagamaan Zarathustra

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Penganut agama Zarathustra mempercayai manusia yang mula-mula diciptakan adalah Yima. Kemudian, Ahura Mazda menciptakan pasangan untuknya. Ahura Mazda mengurniakan kebebasan kepada mereka serta keturunannya dan dipertanggungjawabkan atas setiap tingkah laku dan perbuatan mereka.

Antara amalan-amalan dan tanggungjawab serta kepercayaan yang perlu diikuti oleh penganut agama Zarathustra adalah:
-Satu-satunya jalan keselamatan adalah dengan mengikuti jalan Ahura Mazda.
-Perbuatan yang baik dan dermawan membantu perkembangan kerajaan Ahura Mazda dan akan dibalas dengan kebaikan oleh Ahura Mazda.
-Manusia perlu bersikap baik pada mereka yang berbuat baik dan bersikap keras pada mereka yang jahat.
-Manusia perlu bersikap keras dan tegas kepada musuh.
-Hidup beragama tanpa meninggalkan kewajipan duniawi.
-Kewajipan paling utama adalah menyucikan diri.
-Zarathustra mengajar rakyat supaya rajin bekerja sehingga beliau melarang mereka berpuasa. Mengikut Zarathustra, puasa dianggap melemahkan badan dan semangat bekerja.191
-Manusia perlu melakukan amalan yang baik dan menjauhkan amalan jahat. Ini kerana, setiap perbuatan manusia akan dihitung oleh Ahura Mazda pada hari Akhirat.
-Antara pekerjaan yang dipandang baik dan mulia adalah pertanian dan penternakan. Ini kerana, pertanian menunjukkan sikap bekerja keras dan rajin bagi menghasilkan produk yang baik. Manakala sikap pemalas pula dianggap sebagai sikap yang buruk.
Sembahyang
Penganut agama Zarathusta menunaikan sembahyang lima kali sehari dengan kehadiran api sebagai lambang kebenaran. Sebelum sembahyang, mereka akan mengambil air sembahyang terlebih dahulu. Ini kerana bagi mereka, kebersihan adalah sebahagian daripada iman manakala kekotoran pula sebahagian daripada kejahatan.

Mary Boyce di dalam bukunya menyatakan, terdapat empat jenis sembahyang penting dalam agama Zarathustra iaitu:
1. Ahuna Vairya atau Pahl. Ahunvar
2. Airyema Ishyo
3. Ashem Vohu
4. Yenhe Hatam

Perayaan
Terdapat pelbagai jenis perayaan dalam agama Zarathustra. Berikut adalah beberapa perayaan yang dirayakan oleh penganut agama ini.

Narueza
Ia adalah hari perayaan yang disambut sempena musim bunga. Oleh itu, ia juga dikenali dengan perayaan musim bunga. Penganut agama Zarathusta menyambut perayaan ini dengan menyalakan lilin, unggun api dan pelita di dalam rumah. Upacara ini dilakukan bagi menyambut cahaya Mithra. Mengikut kepercayaan penganut agama Zarathustra, Mithra membebaskan kejahatan dan mengusir serta mengalahkan Angro Mainyu.

Upacara Mithras 25 Aspandurmah
Perayaan ini disambut dengan cara menyalakan pelbagai jenis lilin yang berwarna-warni. Mereka juga menyediakan pelbagai jenis hidangan. Di samping itu, mereka menyalakan unggun api dan mengunjungi tempat-tempat suci. Di sana, mereka akan menyanyi bersama-sama bagi memuja Mithra.

Hari Rabu, akhir bulan Safar
Hari ini dirayakan bagi memperingati detik sejarah di mana Mithra membebaskan gangguan Angro Mainyu berserta enam pembantunya. Hari ini disambut dengan menyalakan kayu bakar. Kemudian, seluruh keluarga penganut agama ini akan melompati api itu sebanyak tujuh kali lompatan. Hari Rabu pada akhir bulan Safar ini dianggap sebagai hari kebahagiaan dan keselamatan.

Mahrajana atau Mahrajan
Mahrajana adalah upacara penyucian rumah. Hari perayaan ini jatuh pada hari keenam pada awal musim dingin. Mereka akan menyambut hari ini dengan menyirami rumah-rumah kediaman masing-masing. Upacara ini dilakukan bagi memohon keber-katan daripada Ahura Mazda dan Mithra.

Ulang tahun
Agama Zarathustra mempunyai perayaan ulang tahun. Perayaan ini dinamakan Ulang Tahun Kisra. Ia disambut dengan memuja Spenta Armaiti. Dalam pemujaan ini, mereka menyalakan pelbagai lilin yang berwarna-warni.

Penyembahan Api Suci
Pada asalnya, penganut agama Zarathustra tidak pernah menyembah api. Api hanya sebagai simbol dalam penyembahan dan peribadatan kepada Ahura Mazda. Namun kini, agama ini mula berubah. Api tidak lagi digunakan sebagai simbol, sebaliknya penganut agama ini sudah mula menyembah api itu. Oleh itu, agama Zarathustra dianggap sebagai agama yang menyembah api.

Rumah ibadat orang Parsi dikenali oleh orang luar dengan nama Rumah Ibadat Api. Orang Parsi sendiri menyebutnya Pintu-pintu Mithra.
Namun, lain pula dengan agama Zarathustra, mereka tidak mempunyai rumah ibadat seperti agama Hindu dan agama-agama lain. Terdapat beberapa jenis api yang dianggap suci oleh para penganut agama ini.

Atash Behram atau api kemenangan
Api ini dijaga supaya sentiasa menyala. Ia disembah dengan menyempurnakan pelbagai amalan tertentu. Ia adalah sebuah kuil api yang penting dan digelar sebagai ‘Raja’. Ia mempunyai sebuah kubah yang melambangkan sebuah mahkota. Api ini dijaga dengan rapi sehingga mereka tidak membenarkan cahaya matahari menyentuhnya.
Api ini menerangi dan memberi cahaya dengan sendiri. Hanya pendeta sahaja yang dibenarkan memasuki tempat suci ini. Walau bagaimanapun, pendeta yang ingin memasuki tempat api suci ini perlu mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan.

Atash Adorn atau api segala api
Api ini lebih mudah dipasang dan dijaga. Ia dibenarkan malap beberapa ketika. Api jenis ini boleh dijumpai di dalam kuil-kuil kecil yang dibina oleh sesebuah masyarakat Zarathustra.

Atash Dogah
Api ini terletak di tempat yang sudah ditetapkan. Ia boleh dihadiri oleh orang-orang biasa. Penganut agama Zarathustra akan bersembahyang di kuil api ataupun di mana-mana tempat yang mempunyai api yang bersih. Tetapi, mengikut kepercayaan mereka, bersembahyang di tempat yang mempunyai api suci adalah lebih baik. Mereka juga menderma kayu-kayu dan wang ringgit kepada kuil-kuil dengan memberikannya kepada para pendeta yang ditugaskan menjaga kuil-kuil itu.

Kematian
Penganut agama Zarathustra percaya, selepas meninggal dunia, nyawanya tidak pergi jauh daripada jasad. Selepas tiga hari, barulah nyawanya pergi meninggalkan jasadnya. Sekiranya roh itu adalah roh orang suci, akan datang angin yang wangi dan membawa roh itu kepada seorang gadis yang cantik. Sekiranya roh itu adalah roh orang yang jahat, roh itu akan di bawa oleh angin yang busuk kepada seorang gadis yang sangat buruk. Sebenarnya, perempuan yang cantik dan buruk itu adalah gambaran amalan-amalannya semasa hidup di dunia.

Oleh kerana kepercayaan ini, penganut agama ini mengadakan upacara-upacara keagamaan pada hari ketiga selepas kematian seseorang. Bagi mereka, ia adalah ucapan selamat tinggal kepada roh mayat itu yang akan pergi mening-galkan mereka.

Menurut Zarathustra, terdapat empat jenis unsur alam yang dianggap suci iaitu api, udara, air dan tanah. Api dianggap suci kerana ia melambangkan kesucian Tuhan. Sementara udara pula tidak boleh dicemari dengan kekotoran. Air yang mengalir juga dijaga rapi. Mereka dilarang membuang najis ataupun bahan kotoran ke dalamnya. Begitu juga dengan tanah, mereka dilarang menguburkan mayat ataupun sebarang bangkai ke dalamnya.

Oleh sebab itu, mereka tidak membakar mayat, tidak menghanyutkannya ke dalam air, tidak ditanam di dalam tanah dan tidak membiarkannya di kawasan terbuka kerana takut mayat itu mengotori udara dan tempat itu. Oleh itu, mereka membina sebuah menara besar yang tidak beratap bagi meletak-kan mayat itu. Tujuannya supaya mayat itu dimakan oleh burung-burung Rajawali yang berkeliaran di kawasan itu.
Mayat dimandikan dan diberi harum-haruman. Pendeta membacakan mentera-mentera tertentu. Mereka juga membakar kemenyan dan menyalakan lilin. Kemudian, mayat diusung dengan upacara berpayung dan diiringi sanak saudara. Mayat itu diletakkan di Dakhma.

Dakhma adalah sebuah menara yang dinamakan dengan menara kesunyian. Mayat dibiarkan dimakan oleh burung-burung yang berkeliaran di kawasan itu. Selain itu, terdapat juga aliran lain yang meletakkan mayat di atas sebuah meja batu dan dimasukkan ke dalam gua.

Namun, apabila berlaku kematian di tempat yang tiada menara ini, mereka menguburkan juga mayat itu. Tetapi, mereka melapisi ataupun membalut mayat itu dengan lilin yang tebal terlebih dahulu. Ini kerana, mereka tidak mahu mayat itu menyentuh tanah yang dianggap suci.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024