Artikel

Mazhab Yahudi

oleh Helmi pada 24 Nov 2004

Boleh dikatakan kebanyakan agama, apabila ditinggalkan oleh nabi ataupun pengasasnya, akan berlaku perpecahan aliran atau mazhab. Begitu juga dengan agama Yahudi selepas ditinggalkan oleh Nabi Musa. Berikut adalah antara mazhab-mazhab dalam agama Yahudi.

Pharisees
Aliran atau mazhab Pharisees adalah mazhab yang mengambil nama daripada perkataan Ibrani iaitu perishim yang bermakna ‘memisahkan diri’. Mazhab ini boleh diibaratkan seperti golongan Muktazilah dalam agama Islam. Ini kerana, mereka memisahkan diri daripada golongan-golongan Yahudi lain. Mazhab ini mempunyai ramai pengikut berbanding mazhab-mazhab Yahudi lain. Ini kerana, mazhab ini bukan sahaja dianuti oleh golongan rahib, bahkan ia juga dianuti oleh kebanyakan orang awam.

Golongan Pharisees ini terdiri daripada ahli-ahli falsafah yang memdebatkan masalah berkenaan kekalnya roh, hidup sesudah mati, kekalnya syurga dan neraka, masalah takdir, malaikat, dosa dan sebagainya. Mazhab ini terdiri daripada angkatan progresif yang bersedia menerima pelbagai fikiran serta kepercayaan-kepercayaan untuk diterapkan dan disesuaikan dengan dalam agama Yahudi. Selain itu, mazhab ini juga mempunyai cita-cita hendak memodenkan agama Yahudi supaya ia sesuai dengan perubahan serta kemajuan peradaban manusia. Oleh itu, mereka menganggap golongan mereka adalah golongan yang terpilih dan menjadi model yang terbaik di kalangan kaum Yahudi. Golongan ini juga adalah golongan yang setia pada agama dan hukum-hukum keagamaan. Kebanyakan mereka adalah rakyat biasa dan bukan daripada golongan ahli politik. Ini kerana, golongan ini hanya melibatkan diri dalam masalah keagamaan.

Saducees
Mazhab Saducees mengambil nama daripada seorang pendeta besar yang bernama Zadok. Golongan ini berasal daripada kalangan bangsawan dan pemerintah. Oleh itu, mereka sudah biasa hidup serba mewah sehingga kebanyakan mereka berasa bangga dan tidak mahu bercampur dengan rakyat biasa.
Golongan ini boleh disamakan dengan aliran Ortodoks. Mereka tidak mengizinkan berlakunya perubahan dalam ajaran agama dan kitab Taurat. Mereka tidak menerima segala fahaman dan tafsiran yang tidak ada di dalam Taurat. Mereka hanya mengikuti ajaran keagamaan dan juga dalam mentafsir kitab Taurat.

Sebagai bukti, Rabbi atau imam besar mereka pernah berkata, “Turutilah Musa, turutilah Nebiim dan jangan kalian menuruti jalan-jalan penyembah berhala walaupun keluar daripada mulut nenek moyangmu”.
Essenes
Mazhab Essenes mengamalkan sistem Komunis. Mereka adalah golongan yang menolak proses penerapan kebudayaan Greek. Mereka percaya, roh akan kekal dan ia akan dibangkitkan kembali. Mereka juga mengamalkan setiap ajaran di dalam kitab Taurat dan Talmud. Oleh itu, mereka dianggap sebagi golongan sufi dalam kaum Yahudi.

Zealot
Pemimpin mazhab Zealot yang terkenal adalah Barrabas. Mazhab ini adalah pecahan daripada mazhab Pharisees yang membentuk satu mazhab baru. Ini kerana, golongan ini tidak puas hati dengan sikap golongan mazhab Pharisees yang pasif dan terikat dengan cara tradisi terutamanya dalam hal kebebasan nasional. Dalam sistem kepercayaan, mazhab ini mengikut sistem kepercayaan mazhab Pharisees. Mazhab ini menganggap mereka adalah ketua kaum Yahudi. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan yang berani dan pahlawan. Oleh itu, mereka tidak dapat hidup di bawah pemerintahan empayar Rom dengan selesa kerana tidak mahu dikongkong oleh mana-mana pihak. Justeru, mereka mengadakan banyak gerakkan pemberontakan melawan empayar Rom. Bagi golongan ini, mereka hanya mengabdikan diri kepada Yahuwa.

Empat mazhab ini tumbuh dan berkembang sehingga zaman Nabi Isa (Jesus Christ) menjalankan misinya semasa menjelang pertengahan abad pertama Masihi.

Mazhab Saducees menuduh mazhab Pharisees menyebarkan ajaran-ajaran yang tidak tertulis di dalam Taurat Musa. Hal itu benar kerana melalui pentafsiran-pentafsiran hukum Musa, pihak Pharisees menetapkan hukum-hukum baru yang bertambah lama bertambah ketat.

Mazhab Pharisees mempercayai hari kebangkitan, neraka dan syurga, hidup kekal pada hari kemudian dan kedatangan kerajaan al-Masih menjelang hari kebinasaan alam semesta. Mazhab Saducees berpendirian, hal itu tidak perlu dibincangkan kerana tiada satu pun daripada hal itu dapat ‘diketahui’ oleh sesiapa pun. Pendirian itu, sekiranya ditinjau daripada jurusan falsafah disebut Agnosticisme.
Mazhab Saducees mempercayai ajaran falsafah Greek mengenai ‘kemahuan bebas’ manusia. Manakala mazhab Pharisees mempercayai takdir Tuhan menguasai hidup manusia. Itulah perbezaan penting antara mazhab Saducees dengan mazhab Pharisees, terutamanya semasa menjelang tahun Masihi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024