Artikel

Waktu Bekerja Anjal Galak Lebih Ramai Wanita Sertai ETP

oleh Roziyah pada 07 Mar 2011

Satu kod tata laku bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja menjadi salah satu perkara yang dibincangkan dalam makmal Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) baru-baru ini.

Kod ini disasarkan bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan wanita dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketika ini terdapat enam makmal yang membincangkan 51 cadangan dasar yang dibangunkan atas lapan SRI dan dikenal pasti dalam bahagian pertama laporan perihal Model Baru Ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala menjelaskan makmal-makmal yang dikendalikan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) itu melibatkan 400 orang. Makmal itu membincangkan isu-isu penting dan dasar antara 1 Januari hingga akhir Mac ini.

“Daripada 14 juta wanita di negara ini, hanya 3.95 juta wanita yang bekerja dan 1.2 juta yang ketika ini meneruskan pengajian di universiti.

“Ramai wanita Malaysia berundur daripada bidang pekerjaan apabila mereka mencecah umur melahirkan anak pada usia 30 tahun. Dengan wujudnya makmal-makmal ini, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran kondusif buat mereka. Pada masa yang sama, ia dapat meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang ekonomi,” jelas Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu.

Beliau menjelaskan hal ini dalam sidang kemuncak Ekonomi Wanita Malaysia -China-Asia Pasifik sempena ulang tahun ke-100 Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac ini.

Idris menjelaskan keputusan makmal yang berkait dengan polisi ini akan diumumkan kepada orang awam selepas dikemukakan di kabinet.

Majlis Penasihat Ekonomi Negara menetapkan 51 langkah-langkah polisi utama yang diperlukan bagi menangani halangan Malaysia bertukar menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan lestari menjelang 2020.

Ia membangun atas lapan SRI yang dikenal pasti dalam bahagian pertaman laporan ini yang menekankan kepada modal insan berkemahiran tinggi, perkhidmatan awam yang cekap, sektor swasta yang giat dan peluang sama rata bagi semua rakyat di Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024