Artikel

Yasin dalam Bahasa Iban Terbit

oleh Roziyah pada 02 Sep 2010

Yasin dalam Bahasa Iban yang diterbitkan oleh PTS Darul Furqan Sdn bhd sudah mula dicetak dan masuk gudang.

Editor Penerbitan PTS Darul Furqan, Tuan Faris Hasbullah berkata Yasin terjemahan dalam bahasa Iban ini merupakan langkah permulaan PTS Darul Furqan bagi membantu saudara baru agar lebih memahami isi kandungan Al-Quran.

“Ini merupakan usaha kerdil kami dalam memberi kefahaman tentang Islam kepada saudara baru,” jelas beliau.

Projek terjemahan Yasin dalam Bahasa Iban ini juga hasil kerjasama Islamik Information Center dan Urusetia Saudara Kita(USK) Baitulmal Sarawak.

Menurut Tuan Faris Hasbullah, sekiranya surah Yasin terjemahan dalam bahasa Iban ini diterima masyarakat di sana, PTS akan mencetak buku terjemahan Yasin dalam bahasa Iban ini dengan lebih banyak agar lebih ramai saudara baru dapat memahami isi kandungan Al-Quran.

Buku Yasin dan Ayat-Ayat Lazim dengan Terjemahan Bahasa Iban ini akan diedarkan secara percuma ke Sarawak oleh Islamik Information Center khas buat kaum Iban bagi memberi pemahaman dan memberi peluang kepada saudara baru yang terdiri dari suku kaum Iban mendalami isi kandungan surah Yasin tersebut.

PTS Darul Furqan Sdn bhd yang merupakan salah satu anak syarikat PTS sentiasa bertungkus-lumus menghasilkan buku-buku terjemahan bagi memberi kefahaman kepada saudara baru tentang isi kandungan Al-Quran dalam bahasa mereka sendiri.

Buku Yasin dan Ayat-Ayat Lazim dengan Terjemahan Bahasa Iban menjadi langkah awal PTS Darul Furqan kepada saudara baru yang sentiasa dahagakan buku-buku terjemahan seperti ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024