Tahun 2272
Puing Kota Bharu
Kelahirannya dinanti. Pelbagai rencana sudah tersedia untuknya. Ada harapan di pundak ibu bapanya melihatnya membesar sihat. Ada dewata menanti kelahirannya demi melangkah ke puncak kekuasaan. Dan ada yang mahukan dia mati.
Sang Ghaib, sang penguasa di lautan juga penguasa di hierarki tertinggi tamadun manusia, menyedari ancaman waris Api Sarwa yang harus dilenyapkan secepat mungkin.
Cokroatmojo, khadam Batara Guru pula mendukung hasrat dewata itu yang memerlukan pewaris Api Sarwa selaku jambatan yang membawanya ke bentuk paling perkasa.
Ngauman Mahasiku, dewa perang purba juga mula kedengaran. Tidaklah para alim ulama menanti semata, ikhtiar demi ikhtiar diteruskan demi memastikan keberadaan si kecil yang baru lahir tidak tergugat.
Perseteruan berlaku. Permainan takdir kini bermula.