Putera Malik, pewaris takhta Emberfall, bergelut untuk membuktikan dirinya layak sebagai pemimpin selepas kemangkatan ibundanya, Permaisuri Nedaya. Kesedihan ayahandanya, Raja Ignatus turut membekas dalam jiwanya... dan kehilangan itu terus menghantui dan membebaninya.
Bencana mula mengintai Emberfall. Aktiviti perlombongan di Vulkara terhenti sepenuhnya, pelabuhan Ignisport diserang lanun, dan ladang-ladang di Nyala musnah disabotaj. Semua ini menuntut tindakan pantas seorang putera yang masih mencari keyakinan diri.
“Bangun, Putera Emberfall. Kalau kau mahu menjadi raja, kau harus terima kenyataan ini – kau masih lemah. Tetapi kelemahan bukanlah pengakhiran. Ia hanya permulaan.”
Dalam Arkanis: Bara Emberfall, sebuah gamebook epik fantasi, anda akan membantu Putera Malik dalam misinya untuk menjadi putera yang disegani dan mendapatkan semula kepercayaan Raja Ignatus terhadap dirinya, di samping mempertahankan kerajaan daripada kehancuran.
Setiap keputusan yang anda lakukan akan menentukan nasib Putera Malik dalam berdepan dengan musuh yang kejam dan menjaga keamanan kerajaan Emberfall.
Adakah anda dapat membuat keputusan yang tepat dan membimbing Putera Malik sehingga berjaya atau akhirnya tersungkur gagal di tengah jalan?
Pilihan di tangan anda!