Artikel

11 Persamaan Antara Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck Dengan Novel Magdalena

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 11 Aug 2016

Isu plagiat dan saduran selalu menarik kontroversi, malah sehingga ke dunia kesusasteraan. Ini adalah 11 persamaan antara novel Magdalena yang diterjemahankan ke bahasa Indonesia dari novel asal Al-Majdulin dengan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Buya Hamka.

 

1. Berbalas surat

Jumlah surat Stevan kepada Magdalena dalam menyatakan pertemuan, pujuk rayu, dan penderitaan yang dilaluinya berjumlah 14 pucuk, manakala Magdalena sendiri berjumlah 11 pucuk.

Demikian pula yang berlaku antara Zainuddin dan Hayati. Masing-masing surat berjumlah 14 pucuk dan 6 pucuk.

 

2. Restu keluarga

Cinta Stevan terhadap Magdalena tidak direstui lantaran kemiskinannya, walaupun mempunyai hubungan rapat dengan bapa Magdalena, Muller.

Demikianlah pula yang terjadi kepada Zainuddin. Percintaannya bersama Hayati tidak mendapat restu kerana dilihat tidak bersuku Minangkabau oleh ninik-mamak Hayati.

 

3. Hadiah perpisahan

Kala Stevan mahu meninggalkan rumah tempat menumpang teduh lantaran diusir, lekas-lekas Magdalena mendapatinya, melafazkan janji setia untuk menunggu kepulangan sekaligus menghadiahkan sehelai rambutnya sebagai tanda kenang-kenangan.

Demikianlah pula Hayati. Seketika Zainuddin ingin berangkat meninggalkan Minangkabau selepas diusir secara halus, segera dia mendapatkan untuk bersaksi janji setia, juga menghadiahi beberapa helai rambutnya sebagai tanda mata.

 

4. Falsafah cinta lelaki dan perempuan

Petikan novel Magdalena:

“Lelaki memandang wanita yang dicintainya sebagai barang istimewa yang ia miliki, dan orang lain tak berhak memperoleh dengan cara apapun juga. Sedangkan perempuan memandang lelaki yang dicintainya seperti melihat perhiasan yang dipakainya, yang menjadi kebanggaan dan menentukan kedudukannya di depan teman-teman serta perempuan-perempuan sesamanya.”

Petikan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck:

“Laki-laki bilamana telah menentukan cintanya untuk seorang perempuan, maka perempuan itu mesti jadi haknya seorang, tak boleh orang lain hendak ikut berkongsi dengan dia. Tetapi cinta perempuan kepada laki-laki sebaliknya dari itu. Laki-laki pada pemandangan perempuan adalah laksana dokoh emas yang tergelung di lehernya, atau gelang bertatah berlian yang melilit tangannya, perhiasan yang akan dibanggakannya kepada kawan sesama gedangnya.”

 

5. Pesta keramaian

Magdalena merasa sedih dan perih kerana kekasih hati yang dibanggakannya menjadi bahan tertawa temannya Susana semasa acara opera lantaran pemakaian yang tidak cocok dengan majlis itu.

Hayati turut merasakan yang sama terhadap Zainuddin. Pakaian Zainuddin yang tidak cocok dalam acara menonton pacu kuda, mengundang senyum sinis temannya Khadijah.

 

6. Sakit cinta

Sakit yang dideritai Stevan semakin parah selepas Magdalena berkahwin dengan Edward. Mujur sahaja doktor berjaya memujuk Magdalena untuk bertemu Stevan, ditemani suaminya. Saat ini, Stevan mula sedar bahawa Magdalena tidak mungkin menjadi miliknya lagi.

Penderitaan Zainuddin juga tidak kurang hebatnya. Berat hati Aziz untuk membenarkan Hayati bertemu Zainuddin walaupun dirayu doktor. Ternyata juga, Zainuddin sedar Hayati bukan lagi haknya selepas pertemuan itu.

 

7. Nasihat kehidupan

Kesakitan jiwa yang ditanggung Stevan disembuhkan dengan kata semangat oleh sahabatnya Fritz, bahawa dunia ini tidak hanya terdiri daripada perempuan, dan penting pula untuk mempelajari sebanyaknya daripada alam.

Demikianlah Muluk meredakan kesakitan yang ditelan Zainuddin, bahawa Zainuddin punya fikiran cerdas dan ilmu yang mantap, jadi apa perlunya disia-siakan hanya kerana seorang wanita.

 

8. Nafas baru

Kepedihan cinta mengajar Stevan erti kehidupan. Lantas dia bangun menjadi insan seni, menggubah lagu-lagu dan syair-syair sehingga mendapat masyhur pula. Bagaimanapun, ia tetap gemar duduk bersendirian.

Zainuddin juga tidak kurang hebatnya. Cinta membangkitkannya, menjadi insan seni melalui mata penanya. Masyhur yang dimilikinya selepas itu, tidak pula melupakannya pada penderitaan mereka yang kurang bernasib baik dari dirinya.

 

9. Kenangan yang menghidupkan

Merealisasikan rumah impian Magdalena suatu ketika dahulu menjadi pemicu hidup Stevan, walaupun sudah dibuang dari kehidupan Magdalena.

Demikianlah pula Zainuddin. Dia tetap bertahan hidup hanya kerana mahu menatap potret Hayati yang tersimpan cermat di dalam biliknya.

 

10. Surat terakhir

Dalam kematian Magdalena kerana lemas, sampai pula suratnya untuk titipan Stevan memohon keampunan atas kesilapan, mengobarkan rasa kecintaan, dan ucapan selamat tinggal.

Surat sama pula yang ditulis Hayati kepada Zainuddin, seketika berita tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang dinaikinya karam, menyatakan kekesalannya, rasa cintanya yang tidak berbelah bahagi, dan juga ucapan perpisahan.

 

11. Dan inilah antara kata-kata emas yang kelihatan sama pula tafsirannya

Petikan novel Magdalena:

“Demikianlah sikap wanita di setiap saat dan tempat. Ia mengaku dirinya lemah dan tak berdaya, mengatakan lelaki itu kuat dan perkasa. Karena itu ia menuntut tanggung jawab semua hal darinya, tetapi tak mau menuntut tanggung jawab pada diri sendiri.”

Petikan novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck:

“Demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun bagaimana besarnya.”

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024