Artikel

Bicara Enam Agama: Kau Sembah Apa?

oleh Izzati Nadia ZI pada 21 Mar 2016

Buku berjudul  Kau Sembah Apa? adalah sebuah buku bersaiz sederhana kecil yang mempunyai pelbagai informasi berkenaan dengan enam jenis agama. Ia mempunyai penganut masing-masing di Malaysia. Ya, sebuah buku yang mempersoalkan tentang kearifan seseorang berkenaan agama yang dianutinya.

Sejauh manakah kita tahu tentang definisi agama kita dan agama orang lain.

Merangkumi setiap topik berkaitan dengan agama yang terdapat di negara kita, penulis buku ini cuba mengetengahkan asal usul pengertian agama dan perbezaan di antara perkataan agama, ugama, dan igama. Pengertian ini sering menjadi kekeliruan dalam kalangan masyarakat kita. Malah,penulis turut menyelitkan huraian dan perincian kepentingan agama dan manusia.

Manusia adalah khalifah yang dipertanggungjawabkan bagi menyampaikan dakwah tentang agama Allah, iaitu agama Islam kepada penghuni muka bumi yang lain.

Isu keagamaan di Malaysia adalah isu yang sensitif di negara kita. Ini kerana menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 3(1), Islam adalah agama rasmi di Malaysia. Namun, perbezaan anutan agama tidak seharusnya dijadikan isu besar yang boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk di Malaysia.

Allah menyatakan dalam surah An-Nahl ayat 90, “Sesunguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan melakukan kebajikan.” Iaitu, kita perlu mewujudkan sikap bertoleransi kepada penganut agama lain dan berlaku adil kepada mereka.

Apakah penting untuk seorang Muslim bagi mempelajari agama lain selain daripada Islam? Pada pendapat saya, jawapannya adalah ya. Ini kerana, kita perlu mengkaji perbezaan dan persamaan yang mungkin terdapat dalam setiap agama tersebut. Selain itu, ia juga penting bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan seseorang berkenaan sesebuah agama.

Maka, urusan penyampaian dakwah dan perkongsian ilmu mengenai agama Islam akan menjadi mudah untuk disampaikan kepada penganut bukan beragama Islam.

Dalam konteks buku ini, penulis mendedahkan setiap maklumat yang tepat mengenai agama Islam, Buddha, Tao, Kristian, Hindu, dan Sikh.

Bermula daripada kedatangan setiap agama ke Tanah Melayu, fitnah dan persepsi masyarakat Melayu terhadap agama Kristian, perbezaan agama Buddha dan Taoism, apakah prinsip sebenar agama Sikh, dan adakah semua agama percaya kepada konsep ketuhanan yang Esa, iaitu meyakini di dunia ini hanya wujud satu Tuhan yang berhak disembah?

Tambahan, intisari yang menarik tentang buku ini adalah, para pembaca tidak perlu gusar tentang relevan dan kesahihan informasi yang ditulis oleh penulis buku. Ini kerana, penulis turut memasukkan gambar beliau berjumpa dengan setiap pengasas agama bagi mendapatkan butiran yang tepat untuk penulisan buku ini.

Selain itu, diskusi berkaitan penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan agama Sikh yang menjadi perbalahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia turut diutarakan.

Secara kesimpulannya, buku ini perlu dimiliki kerana kita sememangnya tidak arif dan naif dalam bidang keagamaan. Buku ini banyak mengajar kita sebagai rakyat Malaysia untuk lebih peka dan sensitif mengenai setiap agama.

Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya perbalahan yang tidak diingini. Malah, ia juga membantu para pembaca bagi membuka minda masing-masing untuk mengenal agama sendiri di samping turut mengenali agama-agama yang terdapat di Malaysia.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024