Penulis

Razzi Armansur

Memulakan karier sebagai penulis sejak 1988, Razzi Armansur mula dikenali sebagai penulis best-seller sejak 1990. Buku pertama beliau berjudul Rahsia Dari Damansara yang diterbitkan sendiri pada tahun 1988. Buku tersebut terjual dengan larisnya dan dikatakan telah membantu puluhan ribu pembacanya memperolehi kebebasan kewangan berpandukan rahsia dan panduan penting dari dalam buku tersebut. Pada tahun 1994 seorang usahawan MLM meminta beliau menulis buku panduan untuk usahawan MLM di Malaysia. Pada masa itu industri MLM sedang berkembang pesat. Razzi Armansur membuat kajian yang mendalam tentang industri MLM termasuklah menghadiri ratusan mesyuarat MLM, seminar, kursus, perbincangan, juga menganalisis buku-buku dari luar negara. Hasilnya ialah buku Membina Masa Depan Melalui MLM yang serta-merta menjadi best-seller dan berterusan diulang cetak sejak dari tahun tersebut hingga kini, diterbitkan oleh beberapa penerbit. Sejak dari itu juga berderet-deret buku Razzi Armansur mengenai MLM berada di pasaran. Tidak ketinggalan, di antaranya ialah buku-buku inspirasi seperti Hidup Untuk Menang, kesemuanya lebih kurang 20 judul telah diterbitkan sejak 1994. Mulai dari tahun 2003, Razzi Armansur beralih ke bidang portal komuniti siber. Beliau bersama rakan karibnya menubuhkan Ukhwah.com, Hanan.com.my, Bicarasiswa.com, Celikit.com, Cyberjawa.com yang mendapat sambutan begitu hebat. Ukhwah.com misalnya berjaya membina komuniti, menghimpunkan lebih 30,000 ahli (2006) dari seluruh dunia berinteraksi secara online dan offline. Pada tahun 2006, setelah menjalin kerjasama dengan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, kerana begitu tertarik dengan sistem penerbitan dan pengedaran PTS, kesemua buku-buku best-seller Razzi Armansur diterbitkan semula oleh Walasri Dotcom dengan pengedaran eksklusif oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Sebahagian lagi buku-buku beliau diterbitkan oleh PTS Professional Publishing Sdn Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024