Di dunia yang dikatakan serba membangun ini, ada satu hukum ciptaan manusia yang mudah dan menjadi amalan sejak sekian lama. Hukumnya begini, sekiranya kita berjaya dan kaya, kita akan dihormati, disanjung, dan diletakkan di depan. Sekiranya kita kalah, gagal, tempatnya di tepi dan di belakang, terpinggir. Menyakitkan? Sememangnya hukum ciptaan manusia itu menyakitkan. Ia tidak termaktub di dalam mana-mana kitab undang-undang, tetapi dengan mudah ia menjadi amalan.
Yang berjaya memang seronok kerana dilayan seperti manusia. Yang gagal tentu kurang seronok dan kecewa. Di situlah silapnya, sekiranya kecewa, pastinya terus berada dalam kegagalan dan kemiskinan. Sebaliknya, sekiranya kekecewaan itu ditukar kepada cabaran, hasilnya tentu berbeza. Ingat, manusia mempunyai banyak hak. Antaranya adalah hak membangunkan diri, meletakkan diri dalam masyarakat dan hak mencipta kejayaan.
Kita menentang sistem yang membezakan antara gagal dan berjaya kerana kita tahu, harta benda, pakaian hanyalah ‘selaput’ yang menutupi. Yang penting adalah empunya diri. Tetapi kita tidak terdaya menentangnya. Mereka ramai dan hukum ini diguna pakai secara meluas, universal. Ia seperti seorang dua yang menentang pencemaran alam, tetapi yang merosakkan, yang melepaskan asap, yang menebang pokok, yang melepaskan gas CFC, yang meratakan bukit, yang berangan-angan meratakan gunung, dan yang menggunakan plastik itu lebih ramai.
Apa yang perlu kita lakukan sekiranya kita sekarang ini miskin dan gagal? Seperti yang kita katakan tadi, kita ada hak. Gunakan hak yang ada bagi mengubah kehidupan daripada menyakitkan kepada yang menyenangkan. Duduk diam dan mengeluh hanya menambah kemiskinan dan kegagalan. Terlebih rehat, terlebih tidur hanya melebihkan hutang. Yang buta teringin hendak celik, mengapa pula yang celik teringin hendak membuta?
Begini keadaan kita hari ini, beginilah keadaan kita seterusnya. Malah bertambah teruk. Ini kerana, Allah tidak sekali-kali mengubah nasib seseorang melainkan orang itu mengubah nasibnya sendiri terlebih dahulu. Pertolongan daripada Allah hanya datang sekiranya seseorang menolong dirinya terlebih dahulu. Allah hanya memberi sekiranya seseorang itu ‘memberi’ kepada dirinya dan kepada Allah terlebih dahulu. Semakin besar ‘pemberian’ kita kepada diri kita dan Allah, semakin besarlah perolehan kita.
Jadi, buku penting ini adalah panduan sekiranya kita mahu menyertai mereka. Buku ini terbahagi kepada dua bahagian, Gagal dan Berjaya. Baca terlebih dahulu punca-punca yang menyebabkan kegagalan supaya apabila kita menemui punca itu, kita tidak ‘melanggarnya’. Ataupun kita mempunyai punca-punca itu tanpa disedari, kita tahu yang punca itu menjuruskan diri kita kepada kegagalan.
Bahagian kedua adalah Berjaya. Apa yang diperlukan bagi menjurus kepada kejayaan tertulis pada bahagian ini. Laksanakannya, insya-Allah, kita memperoleh apa yang dihajati. Manusia berhak berusaha mengubah hidup ke arah yang lebih baik.