Artikel

10 Buku Buat Ibu Si Ulat Buku

oleh Hidaya Arshad pada 09 May 2019

​Tang, tang, tang. Bunyi senduk berlaga kuali memecah damai pagi. Bau tumisan cili semerbak memenuhi ruang rumah. “Bau nasi goreng,” detik hati.

Sebilangan kita biasa dengan suasana pagi begini. Ibu, orang pertama yang bangun pagi dan bersiap-siap menyediakan sarapan. Rutin mereka akan berlangsung sehingga lampu terakhir rumah ditutup. Kerja yang tiada cuti dan gaji. Terima kasih, ibu. Sebagai tanda kasih sayang kita kepada ibu-ibu yang suka membaca, kami kongsikan beberapa idea buku yang dapat ‘merehatkan’ ibu daripada kerja rumah yang tidak pernah selesai.

77 Resipi Istimewa Pressure Cooker oleh Chef Hanieliza
Variasi masakan ayam, daging, makanan laut, aneka bubur, makanan barat, nasi, mi, sayur, kek, dan kuih muih. Kesemua hidangan ini disediakan menggunakan periuk tekanan yang diyakini dapat menjimatkan masa memasak dan mengekalkan khasiat makanan agar badan mendapat semua nutrisi daripada makanan.

77 Resipi Bakar & Kukus oleh Chef Hanieliza
Makan secara sihat sudah menjadi trend semasa. Menyahut seruan gaya hidup sihat, Chef Hanieliza berkongsi resipi-resipi yang disediakan tanpa perlu menggoreng dan menumis tetapi kelazatan hidangan masih dikekalkan.

Amalan yang Mengundang Rahmat Allah oleh Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi & Ustaz Hamid Addin
Rahmat dari segi bahasa bermaksud belas kasihan. Penulis menyenaraikan antara amalan pengundang rahmat, seperti beristighfar, berselawat, dan banyak lagi. Melakukan amal ibadah yang membolehkan kita mendapat rahmat Allah secara langsung menghindari kita daripada melakukan perkara yang sia-sia.

180 Koleksi Doa Mustajab
Himpunan doa-doa mustajab yang dipetik daripada hadith dan ayat-ayat Al-Quran. Sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mendapatkan ketenangan hati, kekuatan jiwa, dan kebahagiaan hidup. Antara doa yang terdapat dalam buku ini adalah doa harian, doa untuk keluarga, doa mohon kecemerlangan, doa menjemput rezeki, dan ayat-ayat Syifa.

Rasulullah is My Doctor (Edisi Kemas Kini) oleh Jerry D. Gray
Perkongsian Jerry D. Gray tentang amalan penjagaan kesihatan yang dirujuk daripada amalan Rasulullah s.a.w. Testimoni beliau ini merangkumi keberkesanan pengambilan habbatussauda, amalan bekam, ubatan semua jadi, dan beberapa perbincangan ilmiah tentang amalan perubatan semasa.

Dahsyatnya Qiamullail oleh Mahmudin Abdullah
Qiamullail (bangun malam untuk beribadah). Rasulullah s.a.w menyatakan seperti yang direkodkan Imam Muslim: “Pada waktu malam, ada suatu masa yang mana apabila seorang Muslim meminta suatu kebaikan daripada Allah s.w.t akan memberikan kebaikan yang dimintanya dan ia ada pada setiap malam.” Buku ini membincangkan perihal waktu malam dari perspektif Islam dan kepentingan beribadah pada waktu ini.

I’m A Backpacker: Turkey oleh Shafiq Shafie
Penggemar sejarah pasti menyenaraikan Turki sebagai salah satu destinasi impian. Kesan empayar besar dunia seperti Rom, Byzantin, dan Uthmaniyah terhimpun di negara ini. Sukakan cabaran? Urus pelan pengembaraan sendiri menggunakan buku ini. Kenikmatan mengembara adalah dengan merancang perjalanan itu sendiri.

I’m A Backpacker: Indonesia (Lombok, Bali & Nusa Penida) oleh Farizun Amrod
Indonesia menawarkan keindahan alam yang unik, kekayaan budaya dan seni, juga keramahan penduduk tempatan. Ia sentiasa menjadi destinasi pilihan pelancong dari luar negara. Penulis berkongsi tip mengembara dengan bujet yang sedikit tetapi mendapat kepuasan berganda. Gambar-gambar yang dikongsi juga membuatkan pembaca teruja untuk ke bumi Indonesia.

Travelog Haji (Edisi Terkini) oleh Muhd Kamil Ibrahim
Sebuah tulisan yang lahir daripada hati. Setiap pengalaman 35 hari di Mekah dikongsi dengan ditambah pengajaran yang penulis rasai ketika menunaikan ibadah haji di sana. Naskah ini adalah edisi terkini daripada buku asal dengan tajuk yang sama, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman terbitan tahun 2008.

Nasihat Buat Diri oleh Habib Ali Zaenal Abidin, Nur Mohamad Adli Rosli
Himpunan nasihat-nasihat daripada Habib Ali Zaenal Abidin yang dicatat terus daripada majlis-majlis ilmu beliau. Pendekatan nasihat yang disampaikan sangat meraikan fitrah manusia. Tidak sentap tetapi mantap. Baik untuk membasahkan hati yang kering.

Jadi, mana satu buku pilihan hati untuk dihadiahkan kepada ibu tercinta? Mari raikan kasih sayang ibu agar kita sentiasa mendapat doa mereka. Kerana doa para ibu tiada penghalang. Baik doanya, jadi baiklah kita kelak.

Selamat Hari Ibu dan selamat membaca!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024