Artikel

Kisah lelaki yang dianggap kurang waras, tetapi disebut di dalam hadis Nabi s.a.w kerana berbuat baik kepada ibunya

oleh Asri Yussof pada 21 May 2019

Dalam satu hadis Nabi Muhammad s.a.w berfirman kepada Umar dan Ali, “Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah s.a.w: “Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”

Ini adalah kisah seorang lelaki yang bernama Uwais al-Qarni. Kisah beliau menjadi terkenal di dalam pengajian sirah. Seorang lelaki yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w tetapi beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w ketika hidupnya. Beliau adalah seorang daripada kalangan tabiin yang hidup selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, dan dapat bertemu dengan para sahabat.

Kisah beliau yang menjaga ibunya yang sakit, tiada bandingan sehingga Allah s.w.t mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w sebagai pengajaran kepada kita untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Ibu beliau yang sudah tua itu cuma bergantung harap kepada Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Tatkala ibunya memerlukan bantuan, Uwais tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum membuat perkara lain.

Pada suatu hari, ibunya mengutarakan hasratnya kepada Uwais supaya mengikhtiarkan sesuatu agar dia boleh dibawa ke Mekah menunaikan haji. Ibunya sudah menyimpan hajat untuk menunaikan haji di Mekah walaupun keadaannya tidak mengizinkan.

Ibu Uwais yang semakin tua dan uzur berkata kepada anaknya: “Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”

Dia telah membawa ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Beliau membawa (mendukung) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan tawaf, saie dan di Padang Arafah sehingga pulang semula ke Yaman.

Selepas itu beliau dapat bertemu dengan Umar r.a dan Ali r.a sebelum beliau berangkat ke Kufah. Umar bertanya, “Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?” Uwais menjawab: “Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”

Itulah kisah agung tentang pengorbanan seorang anak kepada ibunya, Uwais al-Qarni. Seperti firman Allah s.w.t di dalam al-Quran.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ

“Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Isra’, ayat 23)

Semoga kita semua terus berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024