Artikel

15 Panduan Segera Meningkatkan Produktiviti Pelajaran

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

Ada sesetengah pelajar yang bimbangkan prestasi pelajarannya yang merosot. Atau mungkin ada yang risau kalau-kalau prestasi akademiknya tidak meningkat. Sudah menjadi fitrah remaja di alam pengajian, mereka ingin mendapatkan keputusan yang baik dan cemerlang. Tetapi persoalannya, bagaimana?

Salah satu cara untuk meningkatkan prestasi pelajaran anda ialah dengan meningkatkan produktiviti belajar saudara. Ada orang yang belajar satu jam sehari sudah cukup, tetapi ada orang yang mengadap buku sehingga tiga jam, tetapi hanya faham satu muka surat sahaja! Kenapa? Kerana pembelajaran mereka tidak menghasilkan produktiviti yang sepatutnya.

Oleh yang demikian, jika anda ingin meningkatkan prestasi akademik, anda juga perlu meningkatkan produktiviti belajar anda. Di bawah ini, ada lima belas tip panduan segera yang boleh dijadikan panduan untuk meningkatkan produktiviti pembelajaran anda:

  1. Duduk, Tulis dan Atur (DTA). Ambil kertas, dan senaraikan apakah perkara yang perlu anda lakukan. Ia termasuk kerja rumah, latihan tubi, mengulangkaji pelajaran, persiapan untuk ke kelas, menyiapkan kerja kursus, latihan bola tampar, menolong ibu atau bapa, menemani adik ke pekan, dan apa sahaja. Jangan biarkan tugasan-tugasan itu berserabut di dalam kepala anda. ‘Keluarkan’ ia dengan menulis di atas kertas. Ini yang paling awal perlu anda lakukan.

  1. Tentukan prioriti setiap tugasan yang telah disenaraikan. Yang utama diutamakan. Ambil kira faktor tanggungjawab, jangka masa, dan matlamat hidup anda dalam menentukan prioriti. Apakah matapelajaran yang paling sukar dan lemah? Apakah matapelajaran yang sudah hampir dengan ujian? Apakah matapelajaran yang mesti saya ‘sasarkan’ sesuai dengan cita-cita saya untuk menjadi doktor? Adakah saya seorang pemain utama pasukan bola tampar atau hanya sebagai pemain simpanan? Semua ini perlu diambil kira oleh anda untuk menyusun yang paling penting dan diutamakan.

  1. Duduk, Fikir dan Perincikan (DFP). Sebelum memulakan langkah anda, fikirlah langkah-langkah dan proses untuk menjayakan kerja anda itu. Dengan melakukan DFP, anda boleh mengenalpasti apakah sebenarnya perkara yang anda perlu buat. DFP akan menambahkan minat anda untuk terus bekerja dan bekerja. Contohnya, anda perlu menyiapkan kerja kursus untuk Sejarah. Untuk melakukannya, beberapa interview perlu dibuat, ia juga perlu ditaip, dicetak, dijilidkan dan dihantar kepada guru pemerhati. Rancanglah yang mana dahulu dan buatlah mengikut kesesuaian dan kemampuan anda.

  1. Kemaskini senarai tersebut sentiasa. Ini kerana prioriti sentiasa berubah mengikut keadaan dan masa. Dapatkan semua maklumat yang perlu berkaitan dengan tugasan anda dari semasa ke semasa. Adakah cikgu telah memberikan kerja rumah yang baru? Betulkaj latihan kriket petang ini dibatalkan? Kelas tambahan ditangguhkan satu jam? Semua ini akan mengubah bentuk senarai DTA-DFP anda. Oleh itu, pastikan bahawa anda sentiasa peka dengan apa yang berlaku di sekitar anda. Sentiasa bermaklumat!

  1. Cipta kepelbagaian dalam pembelajaran. Untuk mengelakkan kebosanan, anda perlukan langkah ini. Jangan terbelenggu dengan kaedah yang sama dalam bekerja. Contohnya, selain daripada membaca dan membuat nota, anda boleh melakukan latihtubi serta belajar dalam kumpulan. Selain daripada mengulangkaji di meja belajar, mungkin sekali-sekala anda boleh ‘berubah angin’ untuk mengulangkaji di halaman rumah atau di anjung. Tapi jangan diamalkan selalu, cukup sekadar untuk menghilangkan kebosanan sahaja.

  1. Sentiasa di atas landasan. Jangan tergelincir, kerana buruk akibatnya. Anda boleh menulis matlamat dan sasaran belajar anda di atas sebuah kad dengan besar serta jelas, dan letakkan pada tempat yang mudah untuk dilihat. Manusia ini pelupa, dan perlu diperingatkan sentiasa. Jika perlu, bawalah ‘kad matlamat’ anda ke mana-mana anda pergi. Setiap kali anda berasa malas untuk belajar, bukalah kad tersebut dan lihat sasaran pelajaran anda. Adakah anda sudah bersedia untuk sasaran itu? Jika belum, berusahalah sekarang!

  1. Asah parang setiap masa. Ada banyak ‘parang-parang’ yang perlu dalam proses belajar dan menjadi seorang yang cemerlang. Kemahiran mengulangkaji, kemahiran membuat nota, membaca secara aktif dan pantas, memotivasi diri, kemahiran mengingat, kemahiran memjawab soalan, menghadapi peperiksaan, mengendalikan stress, kemahiran berkomunikasi, kepemimpinan, personaliti, dan banyak lagi. Belajar kemahiran-kemahiran ini dan asahlah selalu. Pastikan ianya tidak ‘tumpul’; kalau tidak susah anda nanti.

  1. Sedar apakah faedah dan harga ulangkaji itu. Adakah ia benar-benar perlu? Berbaloi atau tidak? Adakah cara ulangkaji lain yang lebih mudah dan berkesan? Setelah anda benar-benar menyedari betapa pentingnya untuk anda belajar dan mengulangkaji, maka anda tidak akan berasa lemah serta acuh tidak acuh. Anda akan melakukan sebaik mungkin untuk tidak membuang masa. Dalam masa yang sam juga, anda akan meninggalkan perkara yang tidak menguntungkan. Anda tahu yang mana penting dan yang mana tidak. Jangan membazirkan masa, tenaga, wang dan komitmen anda untuk sesuatu yang boleh ditinggalkan. Tumpukan kepada yang utama.

  1. Sentiasa sediakan ‘ulangkaji anjal’ dari semasa ke semasa. Ulangkaji anjal ialah tugasan yang boleh dibuat di mana-mana, tidak kira bila masanya. Contohnya seperti menghafal formula-formula ringkas, mengingati beberapa isi dalam nota poket anda, dan banyak lagi. Ulangkaji seperti ini boleh dilakukan walaupun bukan semasa temph ulangkaji. Contohnya, seperti ketika anda sedang dalam perjalanan, atau sedang menunggu bas, atau sedang menantikan kawan anda untuk ke pekan bersama-sama. Buatlah senarai ulangkaji anjal yang boleh anda lakukan dalam sehari, dan rujuklah ia dari semasa ke semasa.

  1. Gunakan tarikh akhir peribadi. Jangan bergantung kepada tarikh akhir yang diberikan oleh guru anda semata-mata. Anda lebih arif tentang masa anda, jadi kenapa tidak tentukan sendiri tarikh akhir anda sendiri. Kalau guru menyuruh anda menghantar kerja kursus itu minggu hadapan, anda buatlah tarikh akhir anda mengikut kemampuan diri anda sendiri. Jika anda boleh menyiapkannya lusa, kenapa tidak anda siapkannya lusa? Dengan berbuat demikian, anda tidak lagi berkejar-kejar setiap kali tarikh akhir sudah hampir.Anda juga tidak akan menangguh-nangguhkan kerja. Dengan sendiri anda boleh mengelakkan daripada membuat sesuatu yang tidak berfaedah; kerana anda mempunyai tarikh akhir anda sendiri.

  1. Yang paling berbaloi diutamakan. Ia untuk kebaikan anda juga. Berbaloi boleh jadi dari aspek matapelajaran penting, yang mana lemah, yang diminati, dan aspek-aspek lain. Bahkan aspek pahala juga mesti dipertimbangkan. Jangan semata-mata berpuas hati dengan ‘mengulangkaji pelajaran’, tetapi sebenarnya tiada apa yang anda perolehi daripada tempoh tersebut. Kalau adapun, ia tidak berbaloi dengan masa yang anda peruntukkan. Oleh itu, sebelum anda duduk mengulangkaji, tanyalah kepada diri sendiri; Adakah ini yang paling berbaloi?.

  1. Elakkan daripada timbunan kerja. Ia berlaku jika anda hanya tahu menangguhkan kerja sahaja. Kerja rumah semalam ditangguhkan esok, yang minggu ini ditangguhkan ke minggu hadapan. Akhir sekali, semakin banyak kerja-kerja yang mesti dibuat. Bukan tidak boleh menangguhkan kerja, tetapi jika anda menjadikan ia untuk ‘melarikan diri’, anda akan ‘lemas’ dalam timbunan kerja yang ditangguhkan. Jika ini berlaku, cepat-cepatlah atasi dari sekarang!

  1. Jangan menjadi ahli sempurna. Jika anda inginkan semuanya sempurna dan tersusun, anda akan menghabiskan banyak masa untuk hasil yang tidak seberapa. Kadangkala anda banyak menghabiskan masa untuk perkara yang tidak penting; semata-mata untuk menjadikannya sempurna. Anda menghabiskan berpuluh minit hanya untuk mengemas meja; padahal baru sahaja belajar beberapa ketika. Anda bertungkus lumus untuk memperbetulkan bungkusan buku teks, padahal ia masih lagi elok. Akhir sekali, anda menghabiskan banyak masa dan usaha hanya untuk memastikan ianya ‘sempurna’. Padahal hasilnya tidaklah seberapa.

  1. Jika terlalu sukar, berilah masa menyelesaikannya. Ada banyak benda yang boleh diselesaikan dengan memberikan sedikit masa. Ia adalah satu contoh penangguhan yang positif. Contohnya, anda tidak faham satu konsep dalam ulangkaji. Sudah beberapa kali membaca tetapi masih tidak faham. Dalam situasi sebegini, tinggalkanlah ia buat sementara. Tandakan di bahagian tepi, dan teruskan membaca bahagian lain. Berilah sedikit masa untuk otak berfikir tentangnya. Jika masih tak dapat, bertanyalah kepada guru dan rakan anda.

  1. Ingat ‘Prinsip Keberkatan’. Dalam ajaran Islam, faktor keberkatan juga penting dalam pembelajaran. Keberkatan mempengaruhi hasil dan faedah yang anda perolehi daripada waktu belajar anda. Adakala orang memperuntukkan masa 2 jam untuk ulangkaji yang boleh dibuat dalam masa 30 minit. Ada pula kerja kursus setebal 200 mukasurat ditolak oleh guru, sedangkan yang setebal 50 mukasurat dipuji dan dijadikan contoh. Ada orang yang tidak banyak peralatan belajar tetapi berjaya, dan ada orang yang mempunyai semua kelengkapan tetapi masih gagal. Kenapa? Mungkin faktor keberkatan boleh menjelaskannya.

 

Renungkanlah kesemua tips panduan di atas. Mampukah anda mempertingkatkan produktiviti belajar anda selepas ini? Cubalah satu persatu, jadikannya sebagai satu senarai harian untuk anda amalkan secara beransur-ansur. Tetapkan sasaran peningkatan dari sehari ke sehari. Kemudian, buat analisa pelajaran anda setiap kali tiba hujung bulan. Insya Allah, jika anda melakukannya dengan betul, tidak lama lagi, anda akan dapat melihat peningkatan dalam akademik anda. Cubalah!

Penulis adalah konsultan pembinaan insan dan pengarah urusan Pusat Latihan Resipi Kejayaan (SURETEC). Beliau juga pengasas dan penaung kepada laman web kejayaan http://resipikejayaan.com/

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024