Artikel
2 Booth Khas untuk Aktiviti Penulis PTS
oleh Helmi pada 25 Feb 2010
Pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 kali ini, PTS menyediakan 2 booth khas sebagai tempat penulis-penulis PTS membuat aktiviti. Di booth penulis itu nanti, PTS akan membina platform khas dan menyediakan 20 buah kerusi bagi para pengunjung yang mengikuti aktiviti yang dianjurkan. Dengan adanya booth khas bagi aktiviti penulis PTS ini nanti dapat menebus kehampaan para penulis PTS yang tidak berpeluang berbuat demikian pada tahun lepas akibat ruang yang terhad.
Sebanyak 42 aktiviti bersama penulis PTS disusun. Bagi anda yang ingin menemui penulis idola masing-masing, bolehlah datang ke booth PTS berdasarkan tarikh-tarikh yang disusun. Antara penulis yang sudah mengesahkan untuk mengadakan aktiviti di booth PTS ialah penulis novel remaja PTS Natasha Effyzal, Ainin Naufal, Ezee Rahmani, Farihah Iskandar, A. Razak Adam dan Ain Maisarah. Tidak ketinggalan ialah penulis novel dewasa/islami PTS iaitu Lily Haslina, Bahruddin Bekri, Abdul Latip Talib, A. Ubaidillah Alias, Rose Harissa, Zaid Akhtar, Nisah Haron dan ramai lagi. Penulis lain yang turut sama memeriahkan aktiviti penulis PTS ialah Zamri Mohamad, Shamsuddin Kadir, dan Syahrul Nizam Junaini.
Bagi anda yang meminati buku masak PTS, jangan lepaskan peluang menemui personaliti masak PTS iaitu Chef Hanieliza yang akan membuat demonstrasi memasak. Bagi adik-adik yang minat komik, temui pekomik PTS sepanjang pesta buku di mana mereka akan melukis karikatur anda secara percuma apabila anda membeli Komik-M terbitan PTS.