Artikel

20 Adab Makan Mengikut Nabi Muhammad SAW - Bahagian 1

oleh Bahruddin Bekri pada 08 Sep 2020

Tahukah anda, Raja Mesir yang bernama Muqauqis pernah mengutuskan seorang tabib kepada Nabi Muhammad SAW bagi mengubati penduduk Madinah secara percuma? Namun, tidak ada seorang pesakit pun yang datang berubat kepadanya selepas tabib itu bermukim beberapa lama di Madinah. Selepas meninjau keadaan penduduk Madinah, akhirnya tabib itu memutuskan untuk pulang ke Mesir apabila merasakan tidak ada penduduk yang perlu beliau ubati di situ.

Semasa meminta izin pulang daripada Rasulullah SAW, dia berkata, “Izinkan kami mengetahui rahsia apakah rahsia yang menyebabkan tidak seorang pun di sini mengeluh sakit?”

Rasulullah SAW menjawab, “Kami adalah kaum yang tidak makan sehingga kami berasa lapar, dan kami tidak makan sehingga kenyang.”

Rasulullah SAW sangat menjaga perihal adab ketika makan. Sebagai umat Islam, kita perlu mengikuti adab-adab makan yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW demi menjaga kemaslahatan diri dan kesihatan tubuh badan.

Adab 1: Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang.

Ini adalah etika pemakanan Nabi Muhammad SAW yang paling utama. Ini kerana apabila kita makan ketika lapar, secara tidak langsung kita akan makan dalam kuantiti yang banyak tanpa kita sedari.

Adab 2: Makan di atas lantai.

Apabila makan, Nabi Muhammad SAW akan meletakkan makanan di atas lantai (beralaskan saprah). Bukan kerana waktu itu tidak ada meja, tetapi ia lebih mendekatkan diri pelakunya kepada sifat tawaduk. Anak bin Malik RA berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah makan di atas meja makan.” (Hadis direkodkan oleh Bukhari).

Adab 3: Baginda tidak pernah mencela makanan.

Baginda makan apa yang ada sahaja. Sekiranya Baginda tidak gemar, baginda tidak memakannya dan hanya diam. Tanpa bercakap buruk tentang makanan itu. Abu Hurairah RA berkata, “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun mencela makanan. Sekiranya baginda berselera, baginda makan, dan sekiranya baginda tidak suka, baginda tinggalkannya. (Hadis direkodkan oleh Abu Daud).

Adab 4: Membasuh tangan.

Menurut satu pendapat, ia bukanlah sunah secara umum. Ini kerana ia bergantung pada situasi. Sekiranya tangan kotor, maka dibasuh dan sekiranya tidak, cukup disapu sahaja tangan itu. Sunahnya adalah memastikan tangan sentiasa bersih sama ada dicuci ataupun disapu.

Adab 5: Membaca Basmalah sebelum makan.

Rasulullah SAW berkata, “Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah SWT (iaitu Bismillah). Sekiranya terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’.” Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Terdapat pendapat yang mengatakan, sekirannya makan dalam satu kumpulan, cukup seorang sahaja yang membaca basmalah sambil yang lain mendengar. Ini dibenarkan oleh Imam Syafie. Terdapat juga pendapat fuqaha yang menyamakan masalah ini dengan masalah menjawab salam dalam satu rombongan. Cukup hanya diwakilkan seorang daripada rombongan itu bagi menjawab salam. Membaca basmalah dapat menghindarkan kita daripada makan bersama syaitan dan menjadikan makanan itu lebih berkat.

Adab 6: Makan menggunakan tiga jari untuk makanan yang tepu seperti roti.

Dalam konteks masyarakat Malaysia, roti canai adalah contoh makanan tepu. Makan dengan tiga jari menjadikan kita makan lebih beradab. Namun tidak sesuai sekiranya kita makan nasi dan seumpamanya.

Adab 7: Mengunyah makanan dengan bersungguh-sungguh.

Rasulullah SAW mengunyah makanan dengan bersungguh-sungguh sehingga makanan itu lumat. Selain menggambarkan baginda menikmati makanan itu, ia juga membantu tubuh bagi mencerna makanan dengan lebih baik.

Adab 8: Makan beramai-ramai.

Baginda Rasulullah SAW mengalakkan kita makan secara berjemaah dalam satu talam.

Anas bin Malik r.a. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak makan siang dan malam dengan menggunakan roti dan daging kecuali dalam hidangan bersama orang ramai.”
Makan beramai-ramai memberikan keberkatan kepada makanan itu. Jabir r.a. berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata, makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang, dan makanan dua orang pula mencukupi untuk empat orang. Demikian pula makanan empat orang mencukupi untuk lapan orang.” Hadis direkodkan oleh Muslim.

Adab 9: Mula makan dari tepi, bukan dari tengah.

Rasulullah SAW berkata, “Apabila seseorang kamu makan suatu makanan, janganlah dia (mula) makan makanan yang berada di puncak pinggan, tetapi hendaklah dia makan makanan daripada bahagian di sebelah bawahnya, kerana sesungguhnya keberkatan itu turun daripada puncak (ke bawah). Hadis direkodkan oleh Abu Daud.

Adab 10: Makan dengan tangan kanan.

Rasulullah SAW berkata, “Apabila kamu hendak makan, hendaklah makan dengan tangan kanan, dan apabila hendak minum, minumlah dengan tangan kanan, kerana syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri.” (Hadis direkodkan oleh Muslim)

...bersambung

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024