Artikel

Aisyah Ummul Mukminin, Keanggunan Sejati

oleh Waridah Lothpi pada 02 Sep 2020

Teringat pesanan YB Asmak Hussein, salah satu kaedah untuk kita dekat dengan agama ialah, dengan mencontohi karakter mana-mana isteri Rasulullah yang ada persamaan dengan karakter kita.

Misalnya kalau rasa diri lemah lembut, ayu, sopan, dan suka berniaga, maka rujuklah teladan Sayyidatina Khadijah.

Manakala wanita yang bijak, berilmu banyak, sukakan cabaran dan berani berdiri di tengah masyarakat, saya kira Sayyidatina Aisyah sangat sesuai untuk ditiru.

Buku ‘Aisyah Ummul Mukminin- Keanggunan Sejati’ ialah buku yang mengikat diri untuk duduk berlama-lama dengannya. Penulis bijak menggarap kajian tentang Aisyah; fakta yang diperisakan dengan penyampaian dan lenggok bahasa yang lunak. Ada banyak hal tentang ummul mukminin itu yang saya baru ketahui setelah membaca naskhah ini.

“Ramai berpendapat Nabi Muhammad mencintai Aisyah kerana kecantikan luarannya sahaja. Namun pendapat ini tidak benar. Isteri-isteri baginda yang lain seperti Zainab, Juwairiyah dan Shafiyah juga tidak kurang cantiknya.

Berdasarkan hadis “Perempuan dikahwini kerana empat perkara; kekayaan, keturunan yang baik, kecantikan dan agamanya, maka pilihlah perempuan yang baik agamanya, pasti kamu akan beruntung,”. Daripadanya kita boleh menyimpul, isteri yang paling dicintai baginda ialah yang dapat memberi kebaikan kepada agama dan dakwah Islam.”

Sememangnya ya. Aisyah bersama dengan Rasulullah semenjak kecil. Memandangkan usianya masih muda, maka beliau sangat cepat belajar. Sebab itu kita baca dalam sejarah, ramai sahabat yang merujuk kepada beliau untuk bertanyakan apa-apa hukum.

Saya tersipu-sipu membaca mukasurat 51, perbualan kosong Rasulullah bersama Aisyah. Pernah terbaca sebelum ini, tetapi ingat-ingat lupa. Diceritakan bagaimana sabarnya baginda mendengar kisah 11 orang perempuan yang disampaikan oleh Aisyah. Dengar bukan sekadar ‘buat-buat dengar’, tapi baginda memang memberi tumpuan penuh pada setiap butir bicara isterinya. Habis Aisyah bercerita, baginda respon pada cerita itu. Padahal, cuma borak kosong. Indah betul akhlak baginda menyantuni isteri.

Diceritakan juga bagaimana hubungan Aisyah dengan Ummul Mukminin yang lain. Semuanya unik, serta ada perwatakan tersendiri, dan yang mengangkat darjat mereka di sisi Allah SWT ialah taqwa yang tinggi.

Kita semua tahu baginda wafat di sisi Aisyah, tetapi apakah sebabnya selain kerana sayang?

“Aisyah mempunyai kecerdasan, ingatan yang tajam dan mampu memahami persoalan di peringkat paling tinggi. Beliau mampu membuat kesimpulan, merumus hukum serta melakukan tafsiran yang mengagumkan. Oleh itu baginda memilih berada di samping Aisyah pada hari-hari terakhirnya supaya Aisyah boleh mengingati segala perkataan dan perbuatannya bagi pengetahuan umum pada kemudian hari. Ternyata orang Islam dapat mengetahui banyak perkara berkenaan hari-hari terakhir Rasulullah di dunia ini melalui Aisyah.”

Allahu Akbar. Tak terfikir langsung.

Semakin sayang akan agama ini setelah mengetahui sirah wanita kesayangan Nabi. Ternyata Islam tidak mendiskriminasi wanita, walaupun setelah bergelar isteri. Aisyah, tidak hilang karakter dan ketegasan diri sepanjang bergelar ummul Mukminin. Wanita berani yang ‘speak her mind’. Kita boleh ‘rasakan’ pendirian Aisyah setiap kali menyuarakan pendapatnya. Beliau tidak sewenang-wenangnya taat tanpa berfikir.

Lihat ya, cara beliau menyantuni orang yang bertanya;

“Saya ada masalah yang menganggu fikiran saya. Para sahabat pun berbeza pendapat tentangnya.”

Balas Aisyah, “Apa masalahnya? Tanyalah apa sahaja yang saudara akan tanyakan kepada ibu saudara,” Soalan tersebut agak sensitif, tuan puan perlu baca sendiri nanti.

Perincian tentang sejarah hidup Aisyah sejak kecil, setelah berkahwin, hinggalah melalui pemerintahan khalifah-khalifah selepas kewafatan Rasulullah, dihuraikan dengan baik dan sampai mesejnya kepada pembaca.

Buku ini tambah ‘bernyawa’ dengan diselitkan syair-syair indah yang menghidupkan penyampaian.

“Terimalah libasan pedangku, Aku lelaki

Kalau kau hina aku

Aku tidak akan menjadi penyair lagi.” kata Shafwan sambil melibaskan pedangnya ketika peristiwa fitnah ke atas Aisyah.

Aisyah pernah meninggalkan wasiat supaya beliau tidak dikebumikan bersama dengan Rasulullah. “Jangan kuburkan saya bersama mereka (Rasulullah, Abu Bakar dan Umar), kuburkan saya di Baqi’ bersama sahabat-sahabatku. Saya sama sekali tidak layak mendapat kehormatan itu. Selepas baginda wafat, saya sudah melakukan perkara baru (yang bertentangan dengan sunnahnya), jadi kuburkanlah saya di Baqi’”

Dan ini pula petikan pidato beliau yang sangat fasih;

“Saya berlindung kepada Allah daripada ucapan yang menyemarakkan api fitnah dan mengoyak kandungan Al Quran. Saya ditanya berkenaan tujuan perjalanan saya ini. Sungguh, saya tidak akan melepaskan diri daripada dosa yang saya lakukan. Saya tidak terlibat dengan fitnah yang kamu lakukan. Saya katakan semua ini secara jujur dan adil, disertai dengan permohonan maaf. Dan saya mohon supaya Allah sentiasa curahkan selawat kepada Muhammad, hamba dan Rasul-Nya, dan semoga Allah menyerahkan umat Islam kepada pemerintah terbaik.”

Terasa penuh hati setelah selesai membaca.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024