Artikel

Kesederhanaan Rasulullah SAW

oleh Siti Hajar Hamzah pada 27 Oct 2020

Menyusuri kehidupan Rasulullah s.a.w., pastinya kita terpegun dan terkesima apabila menggambarkan berapa zuhudnya baginda Rasulullah s.a.w., walaupun darjat baginda sangat tinggi lagi mulia di sisi Allah s.w.t.

Suatu yang normal pada seorang pemikir biasa, apabila seseorang itu dibekalkan dengan segala keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t., selayaknya orang itu boleh melayari kehidupan di dunia ini seumpama seorang raja. Mampu memiliki segala kemewahan dan kesenangan dengan sangat mudah.

Namun, bukan itu yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w. Baginda sebaliknya sangat bersederhana dalam menjalani kehidupan sehariannya, malahan adakala jauh lebih sukar daripada para sahabat baginda.

Banyak contoh yang menggambarkan kesederhanaan Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan seharian baginda. Rumah baginda sendiri sebagai contoh, amat biasa binaannya. Binaannya tidak besar sehinggakan apabila baginda ingin mengerjakan solat malam, baginda Rasulullah s.a.w. terpaksa mengalihkan sedikit kaki Aisyah r.a. yang ketika itu sedang tidur dengan lena.

Rasulullah s.a.w. juga tidak pernah mendapat banyak makanan dalam satu hari. Makanan baginda hanya sekadar mengalas perut sebagaimana yang direkodkan oleh Malik bin Dinar, “Rasulullah s.a.w. tidak pernah berasa kenyang disebabkan oleh roti ataupun daging, kecuali ketika sedang menjamu tetamu, baru beliau makan sehingga kenyang.”

Direkodkan oleh At-Tirmidzi, Saidatina Aisyah r.a. berkata dalam satu hadis yang lain bahawa, “Keluarga Rasulullah s.a.w. tidak pernah berasa kenyang disebabkan makanan roti gandum yang diberi idam (sejenis kuah) dalam tiga hari, sehingga baginda bertemu kembali dengan Allah s.w.t. iaitu wafat.” Hadis ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Ini membuktikan yang baginda Rasulullah s.a.w. hanya makan demi mengisi perutnya dan bukan seperti kita yang kadangkala terlalu kenyang serta berlebihan pula, sehingga berlakunya pembaziran.

Rasulullah s.a.w. berkata yang bermaksud,

“Tuhanku telah menawarkan kepada aku dengan menukarkan bukit-bukit di Mekah menjadi emas, tetapi aku berkata, ‘Ya Allah, aku lebih suka makan sehari dan lapar pada hari berikutnya. Sekiranya aku berada dalam keadaan lapar, aku akan dapat mengingati-Mu. Sekiranya aku dalam keadaan kenyang, aku juga dapat memuji-Mu serta bersyukur atas segala nikmat-Mu.’.”

(Hadis ini direkodkan oleh At-Tirmidzi)

Daripada cara pemakaian Rasulullah s.a.w. pula, baginda turut memilih kesederhanaan. Baginda mempunyai sejumlah pakaian tetapi tiada satu pun yang menonjolkan ciri-ciri kemewahan. Baginda memakai pakaiannya sehingga lusuh. Sandal baginda hanya diperbuat daripada kulit dan bertali dua, sedangkan pada zaman itu baginda boleh sahaja menggunakan selipar ataupun capal yang mewah bertatah sebagai seorang yang berdarjat mulia.

Pernah dalam satu kisah, selendang bahu baginda ditarik-tarik sehingga tercalar dan meninggalkan kesan pada leher baginda. Ini membuktikan betapa baginda mempunyai kain selendang yang agak keras kainnya. Diri kita sendiri sebagai contoh, sudah tentu mempunyai keinginan membeli pakaian yang sangat elok, lembut, dan mungkin juga mahal harganya demi sebuah keselesaan. Namun tidak untuk Rasulullah s.a.w.

Baginda hidup seadanya dengan apa yang dirasakan cukup untuk dirinya. Anas bin Malik merekodkan yang baginda Rasulullah s.a.w. pernah menampal gelas baginda yang retak. Sedangkan kita? Subhanallah, betapa insafnya diri apabila memikirkannya.

Namun begitu, jangan pula kita tersilap dengan merasakan yang baginda Rasulullah s.a.w. ini serba miskin, rentetan kisah hidup baginda menahan kelaparan serta tidak hidup dengan kemewahan pada zamannya. Allah s.w.t. sudah tentu tidak akan membiarkan kekasih-Nya ini hidup dengan penuh kemiskinan serta kekurangan.

Rasulullah s.a.w. sebenarnya mempunyai harta yang banyak dan melimpah ruah. Bahkan ketika usia remajanya, Rasulullah s.a.w. adalah seorang usahawan yang sangat berjaya. Barang dagangan yang baginda niagakan sangat laku. Kisah berkenaan mahar Rasulullah s.a.w. kepada isteri tercintanya Saidatina Khadijah r.a. juga bukan calang-calang hebatnya, berjuta-juta sekiranya dihitung.

Harta rampasan perang baginda juga terlalu banyak. Baginda sebenarnya seorang yang sangat kaya-raya. Baginda mempunyai banyak harta serta menerima segala macam hadiah berharga. Namun, segalanya baginda infaqkan pada jalan Allah s.w.t. kepada golongan fakir miskin, anak yatim, balu, dan sesiapa sahaja yang memerlukan.

Baginda menginfaqkan hartanya dengan jumlah yang besar, sehingga sekiranya boleh dibandingkan, mengalahkan kemampuan kisra (gelaran raja di Parsi) dan kaisar (gelaran raja di Byzantium) Romawi. Baginda tidak mahu meninggalkan sedikit pun wasiat berupa harta dunia apabila baginda sudah tiada. Hanya Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi wasiatnya. Lihatlah betapa Rasulullah s.a.w. sebenarnya memilih ingin bersederhana di sebalik timbunan harta di sekeliling baginda. Bukan sahaja baginda, malahan anak, menantu, dan ahli keluarga baginda turut merasakan kesederhanaan itu.

Pernah dalam satu hadis direkodkan oleh Muslim (hadis 4906) berkenaan kehidupan Saidatina Fatimah r.a. yang sukar serta kepenatan dalam menguruskan rumah tangga. Saidina Ali r.a. juga berpenat-penat mengangkut air dari jauh untuk kegunaan mereka di rumah. Saidina Ali r.a. sudah meminta Saidatina Fatimah r.a. memujuk baginda Rasulullah s.a.w. supaya mengurniakan mereka seorang pembantu yang pada masa itu terdiri daripada tawanan perang. Namun, baginda menolak permintaan itu, malahan mengajarkan puteri kesayangannya itu dengan amalan membaca Subhanallah sebanyak 33 kali, Alhamdulillah juga 33 kali dan Allahuakbar juga sebanyak 34 kali setiap kali sebelum tidur.

Amalan ini menjadikan masa dalam kehidupan sentiasa mencukupi dan menghilangkan keletihan di dunia ini. Saidina Ali r.a. juga pernah berkata yang tidak pernah satu hari pun beliau terlupa mengamalkannya sejak daripada hari itu. Di sini, boleh dilihat sebenarnya Rasulullah s.a.w. boleh sahaja terus memberikan pertolongan kepada anak menantunya itu, tetapi baginda sebaliknya memberikan sebuah pengajaran kehidupan yang besar maknanya, sekaligus menguatkan kebergantungan mereka hanya kepada Allah s.w.t.

Subhanallah.

Baginda adalah Rasulullah s.a.w. iaitu utusan Allah s.w.t. kepada seluruh umat. Namun baginda melalui segala aspek kehidupan dengan kerendahan hati dan kesederhanaan. Sama sekali tidak akan menyamai sesiapa pun, sekalipun mereka yang berpangkat besar seperti para pembesar mahupun para raja.

Lihatlah betapa sederhananya Rasulullah s.a.w. ini. Bahkan baginda mengajak semua ahli keluarga dan para sahabat baginda supaya turut bersederhana. Sesungguhnya, kehidupan sebenar yang indah di akhirat itulah yang menjadi dambaan dan impian seorang Mukmin yang muhsin.

“Sebagaimana Rasulullah s.a.w. mengumpamakan kehidupan di dunia ini bagaikan berjalan pada hari yang panas, lalu berhenti sejenak untuk beristirahat, dan tidak lama kemudian tempat itu akan ditinggalkan.” (Seperti yang direkodkan oleh at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dan disahihkan oleh al-Albani dalam Silsilah as Sohihah).

Justeru, sekalipun tidak semuanya, marilah kita mencontohi sekurang-kurangnya satu ataupun dua amalan Rasulullah s.a.w. dalam mengamalkan kesederhaan dalam kehidupan harian kita. Wallahua’lam.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024