Artikel

3 Fakta Utama Tentang Syiah Yang Anda Patut Tahu

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 13 Oct 2016

Kita tidak boleh menghukum Syiah sebagai kafir kerana dalam lafaz syahadah, Syiah tetap mengakui bahawa Allah itu tuhan yang wajib disembah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Tinggal lagi Syiah menambahkan kalimah syahadah mereka dengan perkataan ‘Ali Waliyullah’ dan itu hanyalah satu kesesatan yang biar Allah sahaja yang menentukan kafir atau tidak seseorang itu.

Demikian sedikit sorotan Syarahan Umum dari  Prof. Madya Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni yang bertajuk ‘Mampukah Syiah dan Sunni Bersatu?’ di Universiti Kebangsaan Malaysia, Isnin lalu.

Dr. Kamaluddin

Persoalannya, apa salah Syiah?

1. Hadis Ghadir Khum: Saidina Ali Adalah Khalifah Pertama Yang Sah

“Sesiapa yang menjadikan aku (Muhammad) ini maulanya (pemimpinnya), maka Ali juga adalah maulanya (pemimpinnya).” (An-Nasaie)

Kelompok Syiah berpegang kepada hadis ini sebagai pengesahan bahawa Saidina Ali adalah pemimpin yang sah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Hadis ini direkodkan berlaku pada 18 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah dalam perjalanan pulang daripada mengerjakan haji, atau tepatnya di Ghadir Khum.

Sebenarnya, hadis ini diucapkan oleh baginda bagi meredakan silap faham yang berlaku di antara sebilangan tentera Yaman dan Saidina Ali.

Perkataan ‘maula’ itu sendiri pula bukanlah bermaksud ‘pemimpin’, tetapi terjemahan yang tepat adalah ‘orang yang dikasihi’.

MENARIK: Merungkai persoalan Apa Salah Syiah?

MENARIK: Syiah tersebar di negara-negara Sunni, Adakah Kawanku Syiah?

2. Nikah Mut’ah: Syiah Menghalalkan Zina

Di Malaysia, kita mengenalinya sebagai nikah kontrak. Uniknya, nikah mut’ah ini ditentukan oleh perempuan, lelaki pula hanya perlu menerima sahaja.

Bukan sekadar itu, perempuan yang masih bergelar isteri juga tidak salah untuk melakukan mut’ah.

Alangkah malangnya nasib perempuan menurut aliran ini. Nikah Mut’ah tidak ubah seperti melanggan pelacur, cuma ia dihiasi akad mut’ah.

Apa yang perlu hanyalah persediaan bayaran mas kahwin mengikut khidmat yang diperoleh daripada wanita yang dimut’ahkan. Sama seperti pelacur yang dibayar berdasarkan perkhidmatan yang diberi.

Khalifah Umar dalam pemerintahannya dengan tegas mengatakan bahawa mut’ah itu haram - pada awalnya dibolehkan oleh Nabi Muhammad SAW sebelum diharamkan selepas Perang Khaibar, dan bersumpah akan merejam mereka yang melakukannya.

3. Peristiwa Karbala: Syiah Kufah Dalang Sebenar

Para pengikut Syiah mengiktiraf diri mereka sebagai pencinta unggul dan pembantu kepada Ahli Bait. Oleh sebab itu, penduduk Syiah di Kufah segera menjemput Saidina Hussain ke negeri itu bagi membaiah beliau sebagai imam, dan tidak mengiktiraf kekhalifahan Yazid bin Muawiyah.

Ketika Saidina Hussain dalam perjalanan, berita mengenai utusan yang dihantar ke Kufah dijatuhi hukuman bunuh sampai kepada beliau.

Namun beliau bersangka baik, menyangka sokongan penduduk Kufah ke atas beliau masih tidak berubah.

Sayang sekali, ketika tiba di Karbala, peperangan antara kelompok Saidina Hussain dan pasukan tentera Umar bin Saad bin Abu Waqqas - yang diarahkan bertemu Saidina Hussain oleh Gabenor Kufah, Ubaidillah bin Ziyad - tidak dapat dielakkan sehingga mengakibatkan kematian Saidina Hussain.

Ketika inilah kelompok Syiah - ditambah dengan kebencian terhadap Yazid bin Muawiyah - mula menuding jari kepada Khalifah Yazid, menuduh baginda yang mengarahkan pembunuhan Saidina Hussain.

Sedangkan dalang sebenar adalah dalam kalangan Syiah sendiri.

Ini adalah ringkasan daripada rangkaian peristiwa yang sempat dinukilkan Sabaruddin Hussein dan Mohd Fakhruddin Hj Tajuddin dalam buku Apa Salah Syiah? terbitan PTS Publishing House Sdn. Bhd.

MENARIK: Buku ‘Apa Salah Syiah?’ Hanya Separuh Harga di Bookcafe. Dapatkannya sekarang

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024