Artikel

Apa Yang Kita Tidak Tahu Tentang Pandangan Politik Cucu Rasulullah, Saidina Hassan r.a

oleh Asri Yussof pada 13 Oct 2016

Saidina Hassan ra adalah cucu Rasulullah saw yang disebut dalam hadis baginda sebagai ketua pemuda ahli syura, begitu juga kepada Saidina Hussein ra

Saidina Hassan ra berbeza pandangan politik dengan ayah beliau, Saidina Ali kwj. Penulis buku Cucu Rasulullah Yang Hilang,  Dr. Nur Abdi Gudle memberitahu kerugian yang amat besar kepada Saidina Ali kwj kerana tidak menerima pandangan politik anaknya.

Buku Cucu Rasulullah Yang Hilang

Ini adalah pandangan-pandangan politik dari Saidina Hassan ra yang menegur ayahnya:

1. “Bukankah sebelum Uthman ra terbunuh, saya sudah minta ayah keluar dari Madinah supaya Uthman ra tidak terbunuh dalam keadaan ayah berada di Madinah, lalu menjadi buah mulut orang.”

Inilah pandangan yang utama supaya syaitan jin dan syaitan manusia tidak dapat menimbulkan syak wasangka dalam hati rakyat. Juga mengelakkan sangkaan mana-mana pihak bahawa Saidina Ali kwj bersekongkol dengan para pemberontak pencetus fitnah dan pembunuhan Saidina Uthman ra.

Mungkin juga ada tuduhan bahawa Saidina Ali kwj tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Saidina Uthman ra dan memang inilah yang terjadi (tuduhan itu). Ramai dalam kalangan keluarga Bani Umaiyah berasa sangsi kepada Saidina Ali kwj.

Jika Saidina Ali kwj mendengar cadangan anaknya supaya meninggalkan Madinah, sudah tentu tidak akan timbul syak wasangka dan fitnah terhadap Ali kwj.

MENARIK: Saidina Hassan ra, Orang Politik Yang Bijak dan Berpandangan Jauh

2. “Bukankah saya larang ayah berbaiah kepada orang ramai selepas pembunuhan Uthman sehingga pendudukan setiap wilayah mengutus baiah mereka.”

Baiah Saidina Abu Bakar ra disempurnakan atas persepakatan para sahabat utama dan dipersetujui majoriti sahabat lain. Kemudian, baiah Saidina Umar ra dengan cara yang hampir sama.

Baiah Saidina Uthman ra pula disempurnakan dengan ketetapan majlis syura yang dibentuk oleh Saidina Umar ra.

Manakala baiah Saidina Ali kwj malang sekali kerana disempurnakan oleh para pemberontak mengikut perancangan mereka. Bahkan dengan ancaman seketika.

Saidina Ali kwj berada dalam kedudukan antara dua mudarat yang besar.

  1. Beliau menolak tuntutan para pemberontak, urusan umat menjadi kacau bilau. Ini tidak dapat diterima bulat-bulat oleh tokoh besar yang berjuang dan mengorbankan diri beliau demi umat dan agama ini.

  2. Beliau menerima tuntutan mereka dan baiah beliau disempurnakan dalam keadaan tangan mereka berlumuran darah Saidina Uthman ra yang mati syahid dan dizalimi itu. Akibatnya beliau ditimpa keraguan dalam mendepani arus fitnah seperti yang berlaku selepas itu. Beliau merasai kepahitannya sehingga menjadi korban konspirasi mereka dan syahid di tangan zalim mereka

3. “Ketika perempuan dan dua-dua lelaki ini keluar, saya minta ayah terus duduk di rumah sehingga mereka berdamai, tetapi ayah ingkar semuanya.”

Begitulah kata Saidina Hassan ra kepada bapa beliau dengan penuh dukacita. Ini kerana, beliau tidak nampak sebarang hikmah dan maslahat pada tindakan Saidina Ali ra berangkat keluar sebaik sahaja Saidatina Aisyah, Az-Zubair, dan Talhah berangkat.

Tujuan tegahan beliau itu supaya tidak berlaku peperangan antara kaum Muslimin.

Demikianlah, Saidina Hassan ra membantah tindakan ayah beliau keluar menjejaki Saidatina Aisyah dan tenteranya. Bantahan ini dipersetujui oleh ramai dalam kalangan orang-orang yang sezaman dengan beliau.

Ini antara 3 langkah bijak dalam politik yang ditunjukkan oleh Saidina Hassan ra. Perkongsian ini diambil dari buku Cucu Rasulullah Yang Hilang ditulis oleh Dr. Nur Abdi Gudle. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang kisah Saidina Hassan ra, anda boleh dapatkan buku ini sekarang.

MENARIK: Beli buku Cucu Rasulullah Yang Hilang di Bookcafe, Jimat 50%

Dr. Nur Abdi Gudle adalah pensyarah di Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Beliau berasal dari Somalia. Berkelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam Pemikiran Islam ‘Siyasah Syar’iah’ dari Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Beliau juga berkelulusan Sarjana dalam tafsir Al-Quran dan hadith, Jabatan Tafsir dan Hadith, Fakulti usuluddin, Universiti Islam Antarabangsa Islamabad, Pakistan, juga kelulusan Sarjana Muda dalam Ilmu-ilmu Syariah dan Sastera Arab, Darul Ulum Nadwatul Ulama’, Lucknow, India.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024