Artikel

4 Strategi Membentuk Kebahagian Rumah Tangga - Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa

oleh Abdullah pada 07 Oct 2019

Ramai orang mahu bahagia dalam rumah tangga, antara suami isteri dan anak-anak, tapi tak tahu apa cara yang perlu dilakukan. Ada yang 2 tahun kahwin kemudian, bercerai kerana tidak sehaluan. Ada yang dapat bertahan sehingga ke tua.

Dalam buku terbaharu, INSPIRASI MURABBI, tulisan Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa memberitahu berapa pentingnya untuk mewujudkan masa berkualiti di rumah antara suami isteri dan anak-anak. Bagi mencapai tujuan ini, ibu bapa perlu menyediakan program seperti berikut sekurang-kurangnya seminggu sekali:

1. Solat maghrib berjemaah

Ubah ruang tamu rumah supaya menjadi surau atau tempat solat. Hamparkan sejadah dan minta suami atau anak lelaki melaungkan azan dan iqamah. Seterusnya dirikan solat berjemaah; suami menjadi imam walaupun kita mempunyai deretan anak-anak yang menghafal Al-Quran.

Kata Ustazah, suami adalah satu-satunya calon yang menang tanpa bertanding dan perlu mengisi jawatan imam, sesuai dengan jawatannya sebagai ketua keluarga.

2. Tazkirah/ Usrah

Amalkan selepas solat berjemaah, buat sedikit pengisian tazkirah/usrah. Dibuat dalam keadaan ringan, santai dan ringkas serta mampu difahami oleh si kecil. Yang penting ia sampai ke hati setiap ahli keluarga.

3. Makan bersama-sama keluarga

Amalkan makan bersama di satu meja atau di satu kain lapik. Jangan pula ada anak-anak yang bawa pinggan dan makan di depan tv atau masuk bilik dan makan sambil bermain telefon. Waktu makan adalah pentas terbaik apabila elemen mahabbah wa rahmah dapat digembleng hanya melalui amalan makan bersama-sama.

Saat ini menjadi lebih manis jika kita dapat mengamalkan sunnah makan dalam talam ataupun berkongsi bekas makan ataupun minum yang sama. Perbuatan saling melaga-lagakan tangan ketika makan, berbincang perihal yang berlaku sepanjang hari pasti dapat mengeratkan suasana dalam rumah tangga.

4. Doa

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Hakim, Nabi Muhammad saw bersabda الدُّعَاءُ سِلاحُ الْمُؤْمِنِ، وَعِمَادُ الدِّينِ، وَنُورُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ yang bermaksud “Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi”

Seeloknya baca hanya sedikit doa di dalam bahasa Arab dan selebihnya dalam bahasa yang mampu kita fahami dan jiwai. Doa perlu dibaca dengan kuat (contohnya selepas menunaikan solat berjemaah); si ayah mulakan sesi berdoa dan kemudiannya diikuti oleh ibu dan anak-anak.


Inilah 4 tip kebahagian rumah tangga yang dikongsikan oleh Ustazah Datuk Dr. Norhafizah Musa dalam buku terbarunya Inspirasi Murabbi. Walaupun hal-hal di atas nampak kecil tetapi ia sangat penting untuk menyatupadukan jiwa-jiwa di dalam rumah antara ibu bapa dan anak-anak atau antara suami dan isteri.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024