Artikel

Bagaimana Solat Tahajud Boleh Menyembuhkan Penyakit?

oleh Abdullah pada 09 Oct 2019

Bila kita dengar ‘Solat Tahajud’ tentu badan akan menggeliat dan menarik semula selimut dan teruskan tidur sehingga pagi. Solat Tahajud adalah solat sunat yang sering dilakukan oleh Nabi Muhammad saw, ianya dilakukan pada ⅔ malam.

Solat Tahajud disifatkan sebagai mukjizat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw kepada umat Islam. Sekiranya tidak kerana takut perintah solat tahajud membebankan umatnya, pasti beliau terus mewajibkan solat tahajud.

Bila saya baca buku Terapi Solat Tahajud: Mujizat Penyembuhan Penyakit, ia membuatkan saya tertanya-tanya satu soalan. Adakah solat boleh menyembuhkan penyakit? Bukankah selalunya apabila badan kita lemah dan sakit, automatik kita akan terus ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menariknya buku ini yang ditulis oleh Dr. Mohammad Salleh, beliau menemukan sesuatu yang ajaib daripada solat tahajud. Beliau menemui kesan saintifik melalui kaedah psikoneuroimunologi mengenai kuasa penyembuhan yang dihasilkan melalui solat tahajud.

Buku ini juga memberikan teknik dan panduan praktikal bagi mewujudkan kuasa penyembuhan dalam solat tahajud yang kita lakukan. Yang terakhir, buku ini akan membuktikan fakta-fakta yang dapat meningkatkan keyakinan mengenai mukjizat solat tahajud.

Dr. Mohammad Saleh adalah pengasas klinik terapi solat tahajud yang terletak di Masjid Al-Akbar, Surabaya, Indonesia. Sudah ramai orang yang mendapat manfaat daripada klinik itu dan terbukti, ramai yang semakin sihat.

Tahukah anda, sistem tubuh badan kita adalah ciptaan yang paling menakjubkan sekali di atas muka bumi ini. Kita diciptakan oleh Allah s.w.t dengan sistem rangsangan-gerak balas yang membolehkan tubuh kita sedia beradaptasi dalam keadaan apa sekali pun. Contohnya, apabila kulit kita tersentuh duri atau benda panas, automatik tangan kita akan mengelak secara mengejut. Ini adalah reaksi tindak balas yang sudah diciptakan dengan sempurna sekali.

Sistem Limbik? Apa itu sistem limbik? Atau dalam bahasa Inggerisnya ‘limbic system’. Sistem ini juga dikenali sebagai paleomammalian cortex, adalah satu set struktur otak yang terletak di kedua-dua belah thalamus, serta di bawah lobus temporal (temporal lobe) dari serebrum terutamanya di tengah-tengah otak.

Sistem ini selain daripada berperanan mengatur tingkah laku, kawasan ini juga mengatur banyak keadaan dalaman tubuh kita. Seperti pengaturan dorongan untuk makan dan minum dan berfungsi sebagai pengatur berat badan.

Setuju atau tidak sebenarnya kita yang mengawal diri kita. Kita akan bahagia apabila emosi kita terkawal. Kawasan emosi ini bergantung kepada bagaimana kita mengendalikan psikologi terhadap diri kita sendiri.

Dr. Muhammad Salleh dalam buku ini berkata, solat tahajud yang dilakukan secara berterusan, tepat, khusuk, dan ikhlas dapat menumbuhan gerak balas emosi yang berupa persepsi dan motivasi positif dan memberi kesan pada coping serta dapat bersesuaian dengan pola perubahan ritma sirkadian.

Walaupun solat tahajud hanya ibadah sunat dan tidak wajib dilakukan, tapi ia penuh dengan hal-hal yang bersentuhan dengan psikologi tubuh badan kita. Jadi jangan pandang ibadah yang kita lakukan setiap hari itu hanyalah sia-sia. Solat, tenangkan fikiran dan jangan ‘over thinking’.

Saya sarankan anda membaca buku ini untuk mendalami lebih lagi tentang sains dalam solat tahajud. Jangan rasa dan buat andaian buku ini tidak betul sehingga anda habiskan membaca buku ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024