Artikel

Hostel atau Hotel? 4 Perkara Yang Kita Perlu Tahu

oleh Abdullah pada 12 Sep 2019

Jika kita sering aktif di Instagram, memuat naik gambar-gambar setiap hari dan melihat kehidupan orang lain setiap hari, pasti kita akan turut terinspirasi daripada salah seorang yang kita ikuti. Terutama sekali kalau bab gambar-gambar travel. Tambah lagi mereka yang pandai‘edit’ gambar-gambar travel di Instagram.

Kalau dahulu ada yang kata bukan semua orang boleh travel, mungkin betul. Tetapi kalau hari ini, kenyataan ini mungkin agak sedikit tidak sesuai. Sudah berpuluh-puluh buku-buku travelog ditulis oleh anak-anak Malaysia yang sebilangan mereka bukan datang daripada keluarga yang kaya raya.

Pengembara yang luar biasa tidak semestinya perlu lahir daripada keluarga yang kaya sahaja. Kalau pandai dan kena dengan gaya, orang-orang daripada keluarga yang biasa-biasa pun boleh untuk merasai peluang menjejakkan kaki ke negara asing.

Kalau hendak jimat ketika travel, ada caranya. Yang penting kita perlu dapatkan maklumat yang cukup dan bijak merancang duit supaya tidak terlebih belanja dan tidak terkurang sampai tak cukup dan berhutang dengan orang. Jangan tak percaya, ramai yang pergi travel ke sana sini tetapi hutang RM30 kawan tidak dibayar sampai kesudah. Hahaha.

Mari kita bincang topik Hostel atau Hotel?

1. Lebih jimat duit. Dah nama pun hostel mestilah harganya lebih murah daripada bilik hotel. Hostel kita berkongsi bilik dengan pelancong lain. Tapi kalau pandai pilih, ada banyak hostel yang bersih, selesa dan segala kemudahan ada.

Saya paling suka kalau ke Bangkok, Thailand. Banyak hostel di sana yang sangat kemas dan teratur. Katilnya bagus, selimut dan tilam yang empuk, tandas bersih, kemudahan mesin basuh pun ada dan juga ‘movie room’. Boleh cuba menginap di Block Hostel Bangkok yang terletak di Jalan Sukhumvit 10.

2. Kenal budaya dan jumpa kawan baru. Kalau menginap di hostel, jangan malu-malu untuk buat kawan baru. Berkenalan dan bergaul. Dari situ kita dapat kongsi budaya silang negara. Kita kongsi apa yang menarik di Malaysia, sekali gus ia salah satu bentuk promosi yang percuma untuk negara kita.

Sesetengah hostel akan adakah party suai kenal di bumbung hostel mereka, jangan segan untuk sertai bersama. Jika dihidangkan minuman alkohol, elak dengan baik dan pilih untuk minum coke. Mungkin hari esoknya anda akan ada kawan baru untuk keluar berjalan-jalan di bandar.

3. Meneroka kawasan lokal. Jangan bermasam muka bila sampai di kaunter utama. Cuba buat kawan baru dan mereka akan membantu dengan memberi cadangan-cadangan tempat yang patut kita cuba. Mungkin tempat-tempat ini ‘rare’ dan hanya yang betul-betul lokal saja tahu. Senyum dan jangan sekali-kali buat muka masam.

4. Pakej tour yang lebih murah berbanding hotel. Kalau buat perbandingan harga untuk pakej-pakej yang menjadi tarikan pelancong, selalunya apa yang ditawarkan di hostel akan lebih murah. Jadi untuk bonus untuk anda yang travel secara bajet.

Jadi kalau ada niat untuk travel ke negara orang, jangan bertangguh. Mulakan perancangan dari sekarang. Simpan duit dan rancang jadual perjalanan kita. Selalu ‘alert’ dengan promosi-promosi daripada penerbangan tambang murah Air Asia dan cari buku-buku rujukan yang traveler lain sudah tulis. Nak ke Eropah ke, atau Jepun? Thailand? Atau ke seoul, Korea? Semua ada.

Selamat mengembara!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024