Artikel

5 Siri Komik Terbaik Komik-M

oleh WM Haeqal pada 05 Feb 2020

Bermula dengan komik KECEMPRENGMAN karya Poyo yang pertama kali diterbitkan pada April 2008, KOMIK-M kini terus melangkah gagah ke tahun 2020 dengan lebih 300 judul yang sudah diterbitkan sepanjang hampir 12 tahun penubuhannya. Berikut kami senaraikan siri-siri terbaik terbitan Komik-M setakat ini.

1. Siri ULTRA QALIF

Berteraskan premis ‘Budak Biasa dengan Kuasa Luar Biasa’, siri ini mengisahkan Qalif, seorang remaja berusia 16 tahun yang mendapat kuasa luar biasa apabila memakai topeng yang dikenali sebagai Kuara. ULTRA QALIF #1 karya Bophairy pertama kali diterbitkan pada Februari 2010 dan sehingga kini sudah dicetak sebanyak sembilan kali. Siri komik genre superhero ini ternyata begitu popular, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah sehingga turut memiliki kelompok peminatnya sendiri yang sentiasa ternanti-nanti sambungannya. Selepas lapan tahun berada di pasaran, story arc siri ini akhirnya tamat dalam ULTRA QALIF #10 yang diterbitkan pada Oktober 2018.

Bagi yang terlepas untuk memiliki naskhah asal siri ini, usah khuatir. Komik-M baru sahaja menerbitkan ULTRA QALIF: BUMPER MISTERI KUARA yang menghimpunkan komik ULTRA QALIF#1, #2, dan #3. Selain isi kandungannya yang kini 100% berwarna (naskhah asal dalam versi hitam putih), edisi bumper ini turut menampilkan komik eksklusif daripada Bophairy dan Ben Wong sebagai bonus.

Sama ada siri ini akan disambung kembali ataupun tidak, hanya masa dan Bophairy sendiri yang akan menentukan. Namun, para peminat kini dapat mengubat kerinduan kepada watak ULTRA QALIF dengan mendapatkan komik crossover PORTAL PANIK #1: KRISTAL KUNCI DIMENSI dan ULTRA QALIF x ADIWIRA: KRISTAL KUNCI DIMENSI. Lebih menarik kali ini, Ultra Qalif akan bertemu dengan watak-watak Komik-M yang lain, antaranya Adiwira daripada siri komik Adiwira karya Ash Kun.

Selain komik crossover, komik kolaborasi Ultra Qalif bersama jenama teknik belajar SMART STUDY juga memberi dimensi baru kepada siri ini. Siri yang dibangunkan bersama pengasas Smart Study, Osman Affan ini menyampaikan teknik belajar secara santai melalui medium komik yang menghiburkan. Antara yang sudah berada di pasaran ialah ULTRA QALIF x SMART STUDY #1: NOTA MISTERI dan PEMBANTU GHAIB, ULTRA QALIF x SMART STUDY #2: KRISTAL KUNCI DIMENSI, serta ULTRA SMART STUDY: KUASA MASA.

2. Siri LAWAK BUDAK SEKOLAH

Cerita dan watak berkaitan alam persekolahan sememangnya dekat di hati para pembaca Komik-M yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah. Maka tidak hairanlah siri LAWAK BUDAK SEKOLAH karya Poyo ini turut mendapat sambutan. Pertama kali diterbitkan pada Mac 2012, gaya lawak kartunis Poyo yang unik dan ada kalanya tidak tercapai dek akal terus memikat hati para pembaca sehingga terhasil pula LAWAK BUDAK SEKOLAH #2, #3, dan #4.

Selepas pemergian kartunis Poyo pada tahun 2017, komik LAWAK BUDAK SEKOLAH #5: MAJLIS PERPISAHAN yang menghimpunkan karya-karya tribute daripada artis-artis Komik-M dan pembaca siri komik ini pula diterbitkan sebagai tanda penghargaan. Legasi Lawak Budak Sekolah kini diteruskan oleh rakan seperjuangannya, Froggypapa yang muncul bersama komik LAWAK BUDAK SEKOLAH #6: CIKGU BARU pada September 2019.

Terkini, komik LAWAK BUDAK SEKOLAH: BUMPER (PERHIMPUNAN) yang menghimpunkan komik LAWAK BUDAK SEKOLAH #1, #2, dan #3 baru sahaja diterbitkan pada penghujung Disember 2019. Edisi bumper yang 100% berwarna ini turut menampilkan komik eksklusif daripada Froggypapa dan cerpen eksklusif daripada balu Allahyarham Kartunis Poyo, Ilmar Imia.

3. Siri MISI

Komik dan pelajar sekolah berpisah tiada! Namun begitu, medium komik juga pernah dipandang negatif dan menjadi barang larangan di sekolah. Pada tahun 2010, pasangan adik-beradik, Afiq dan Nazry tampil membawa pendekatan berbeza menerusi komik MISI 8A. Dengan harapan untuk mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap komik, komik ini tampil bukan sekadar hiburan kosong semata-mata, sebaliknya turut menerapkan unsur-unsur pengajaran dan motivasi kepada pembaca.

Dengan visi yang jelas serta perancangan rapi, dunia komik Misi terus berkembang sehingga terhasil lebih daripada 24 judul di bawah siri ini. Antara judul siri ini yang sedang mendapat sambutan sekarang ialah MISI SOLAT LIMA WAKTU dan MISI BUDAK TAHFIZ. Baca tajuk sahaja pun sudah nampak positif dan rasa mahu jadi baik, bukan?

4. Siri ANTOLOGI

Selain komik-komik yang dihasilkan secara solo mahupun duo, Komik-M turut menerbitkan siri antologi yang menghimpunkan komik-komik pendek daripada artis-artis komik yang sudah lama bertapak, di samping memperkenalkan bakat-bakat muda yang baru dicungkil.

Antara judul antologi yang sedang mendapat sambutan ialah AKU, KAU & MEOW yang mana dengan hanya melihat judul dan ilustrasi kulitnya sahaja, pastinya kita dapat meneka bahawa ia berkisarkan tentang haiwan comel yang mengiau iaitu kucing. Manakala buat mereka yang tidak sukakan kucing dan menggemari genre seram pula, komik AKU, KAU & HANTU serta AKU, KAU & ZOMBIE adalah pilihan yang tepat untuk dibaca dan dihayati terutamanya ketika sedang bersendirian.

5. Siri KOMPILASI ARTIS

Para pembaca tegar Komik-M pasti sentiasa ternanti-nantikan karya terbaru daripada artis-artis komik kegemaran masing-masing. Di samping komik bersiri yang ada, Komik-M turut menerbitkan kompilasi komik-komik pendek daripada setiap artis. Kompilasi ini menjadi istimewa dengan tambahan kandungan eksklusif seperti tutorial berkomik, temu bual, coretan artis, dan bermacam-macam lagi.

Antara judul terlaris daripada siri ini adalah LIGA ROBOT, karya Reja yang terkenal dengan siri komik sukan bola baling, SHOOTZ! dan siri nomik (novel + komik), YOUNG AISYAH. Buku ini mula diterbitkan pada tahun 2013 dan masih diulang cetak sehingga kini. Pada tahun 2018 pula, buku kompilasi Reja yang kedua pula menyusul dengan judul KERANA K-POP.

Bagi yang berminat untuk membeli komik-komik di atas, boleh dapatkan di kedai-kedai buku ataupun membuat pembelian secara atas talian di www.bookcafe.com.my

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024