Artikel

Faedah Membaca Komik, Dari Generasi ke Generasi

oleh Iszmir Nazmi pada 13 Feb 2020

Kalau dilihat dari sejarah penghasilan komik di Malaysia, ia telah bermula pada zaman sebelum perang di Tanah Melayu dengan karya Raja Sulaiman terbitan Malayan Police Magazine pada 13 November 1928. Kemudian komik tempatan mengalami perubahan dari segi bentuk dan tema selari dengan peralihan zaman. Kemuncak penerbitan komik dan majalah berinfo grafik di Malaysia berlaku sekitar tahun 1980-an hingga 2000-an apabila pelbaga genre komik baik karya tempatan dan luar negara dilihat memenuhi pasaran di serata negara.



Ketika itu, membaca komik adalah salah satu medium hiburan santai bagi mengisi masa lapang, baik ketika menunggu bas ataupun ketika berehat pada hujung minggu. Stigma kebanyakan ibu bapa pada waktu itu melihat kegiatan membaca komik sebagai perbuatan yang tidak berfaedah dan boleh menanamkan unsur-unsur negatif seperti keganasan, soal moral, dan juga seksual. Kebimbangan yang disuarakan ketika itu mendapat perhatian pihak-pihak berwajib, lantas banyak garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan bagi mengawal isi kandungan komik supaya sesuai untuk bacaan umum.

Zaman terus berlalu, kini kanak-kanak yang membesar dengan membaca komik pada era 1980-an hingga 2000-an sudah menginjak dewasa. Jadi, apakah kesan pembacaan komik kepada generasi ini? Apabila diperhatikan pada beberapa program komik dan juga pesta buku, dapat dilihat golongan ini sering berada di sana dan masih membeli komik, sama ada untuk diri mereka sendiri ataupun untuk anak-anak mereka. Apabila ditanya apakah kerjaya mereka, rata-ratanya mempunyai pekerjaan yang baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi. Golongan ini berkongsi pendapat bahawa dengan membaca komik, mereka dapat menjana pemikiran yang kreatif serta mempelajari nilai-nilai murni yang ditonjolkan seperti semangat setiakawan, kepimpinan, dan juga semangat cintakan kepada negara.

Menurut artikel “10 Benefits of Reading Comics Handout” hasil tulisan Jenna pada 2013, antara faedah membaca komik adalah:

1. Memupuk minat membaca.

2. Menambahkan perbendaharaan kata (vocabulary).

3. Meningkatkan daya membuat pemerhatian awal (inference).

4. Meningkatkan keyakinan.

5. Membina kebolehan membuat turutan peristiwa (sequence).

6. Meningkatkan daya penglihatan serta pemahaman terhadap sesuatu gambar rajah.

7. Memupuk semangat pemahaman serta menghormati minat manusia yang berlainan kerana setiap pembaca komik mempunyai genre pilihan yang berbeza.

8. Memupuk semangat cintakan seni lukisan.

9. Meningkat daya penumpuan (focus).

10. Membaca komik adalah sesuatu yang menyeronokkan dan dapat mengurangkan stres.

Saya sendiri sebagai seorang pembaca komik tegar yang sudah melebihi 20 tahun sangat menggalakkan anak-anak saudara saya dan golongan muda membaca komik. Antara kebaikan membaca komik yang boleh didapati:

1. Mengurangkan kebergantungan kepada gajet sebagai alat medium hiburan.

2. Memupuk semangat cinta dan menghargai buku dengan menganggap komik sebagai barangan koleksi yang bernilai.

3. Memupuk fikiran yang bersifat kritis dan analitikal dengan membuat rumusan dan rebiu terhadap cerita komik yang dibaca.

4. Memupuk semangat untuk bersosial secara sihat dengan membuat perjumpaan dalam kalangan ahli peminat komik.

5. Mengajar anak-anak untuk membuat penilaian terhadap nilai-nilai murni serta soal moral yang ditonjolkan dalam penceritaan kisah sesebuah komik.

Akid Zikry, anak saudara penulis yang gemar membaca komik Ultra Qalif
Akid Zikry, anak saudara penulis yang gemar membaca komik Ultra Qalif


Terkini, komik-komik tempatan dilihat mengalami perubahan dari segi seni lukisan, seni reka buku, dan juga tema yang disampaikan. Komik pada hari ini menjurus kepada bentuk pendidikan dan informasi yang berguna, namun masih lagi dalam tona yang santai dan bersahaja. Mutakhir ini, Komik-M dilihat sebagai penerbit komik tempatan yang dinamik dan sentiasa memenuhi cita rasa para pembaca dari masa ke masa.

Memulakan penerbitan pertama pada tahun 2008 dan masih bertahan pada hari ini, Komik-M faham akan hala tuju penerbitan komik yang sesuai untuk dihidangkan kepada generasi baru. Komik-komik terbitan Komik-M mempunyai idea dan jalan cerita yang segar di samping menyelitkan elemen-elemen moral serta pendidikan. Komik-M juga berusaha memperkenalkan Malaysia dengan mengangkat budaya pelbagai bangsa yang dijadikan sebagai tema dalam peceritaan komik mereka. Elemen-elemen positif ini menambahkan lagi keyakinan ibu bapa untuk menyokong minat anak-anak terhadap membaca komik kerana dirasakan bahan bacaan mereka sangat berkualiti dan mempunyai pengajaran.

Penulis bersama anak saudara bergambar bersama Bophairy, artis komik Ultra Qalif di acara Comics Riot 2020
Penulis bersama anak saudara bergambar bersama Bophairy, artis komik Ultra Qalif di acara Comics Riot 2020



Setiap ciptaan yang ada di dunia ini mengalami evolusi tersendiri. Komik juga tidak terkecuali. Walaupun komik dilihat mengalami perubahan dari segi gaya penceritaan, seni lukisan, teknik percetakan, dan cara ia dipasarkan, komik tetap berdiri teguh sebagai satu sumber bacaan fizikal yang masih diminati oleh setiap lapisan masyarakat meskipun zaman sering berubah. Sebagai ibu bapa yang ingin melihat anak-anak membesar dengan riang dan dalam suasana yang sihat, kita perlu memantau jenis komik apakah yang dibaca oleh anak-anak. Selain itu, sokongan ibu bapa terhadap anak-anak yang dilihat mula cenderung untuk melukis ataupun berkarya dalam bentuk penulisan adalah sangat digalakkan supaya anak-anak ini dapat merasakan minat mereka lebih dihargai dan potensi mereka dapat dikembangkan lagi.

*Iszmir Nazmi Bin Ismail bertugas sebagai Pensyarah di Kolej Kejuruteraan, Universiti Tenaga Nasional. Seorang pembaca dan peminat komik universal sejak tahun 1993. Telah mengumpul lebih daripada 4000 komik hasil karya tempatan dan juga luar negara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024