Artikel

Liga Super Musim Baru

oleh Mazrul 'Koma' Nizam pada 02 Feb 2020

Perlawanan Piala Sumbangsih yang akan berlangsung pada 28 Februari nanti adalah tanda bermulanya musim baru bola sepak Liga Super Malaysia (Malaysia Super League) bagi tahun 2020. Perlawanan yang akan menjadi pembuka tirai Liga Super ini menemukan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang merupakan juara Liga Super 2019 menentang pasukan Kedah Darul Aman yang merupakan juara Piala FA.

Kejohanan Liga Super Malaysia (MSL) tahun ini akan disertai oleh 12 pasukan. Semua pasukan yang bertanding akan bermain sebanyak 22 perlawanan, iaitu 11 perlawanan sebagai tuan rumah dan 11 lagi bertandang ke tempat lawan yang akan berlangsung dari Februari hingga Julai 2020.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, JDT dijangka sekali lagi akan menjadi pasukan pilihan bagi merangkul kejuaraan. Ramalan ini dikuatkan lagi dengan khabar angin kehadiran bekas pemain Piala Dunia dari Jerman, Lukas Podolski. Pemain yang pernah dinobatkan sebagai antara pemain terbaik segenerasinya ini telah bertemu dengan pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim di Johor baru-baru ini. Podolski telah dibawa melawat stadium baru JDT dan juga pusat latihan pasukan di Padang Seri Gelam.

Bagi menghangatkan lagi kemeriahan Liga Super Malaysia serta dunia bola sepak tempatan secara amnya, Komik-M telah menerbitkan edisi kemas kini komik bumper bola sepak yang berjudul AKU, KAU & BOLA: LIGA SUPER. Buku komik ini memuatkan hampir 30 karya artis komik tempatan dengan pelbagai genre seputar dunia bola sepak.

Komik bumper ini menghimpunkan komik-komik pendek yang pernah diterbitkan dalam tiga buah buku, iaitu AKU, KAU & BOLA: SEPARUH MASA PERTAMA, AKU, KAU & BOLA: SEPARUH MASA KEDUA, dan AKU, KAU & BOLA: MASA TAMBAHAN. Kesemua karya yang asalnya dalam format hitam dan putih telah diwarnakan sepenuhnya dalam koleksi bumper ini.

Antara komik yang terdapat dalam antologi ini adalah Harimau Malaya: Inilah Barisan Kita karya JustJimi19 serta Faizal Mukhtar, Chempaka FC karya Amykamen555, Liga Robot karya Reja, Gila Bola karya Pacik, Pemain Simpanan karya Jon Suraya, Konklusi karya Ain Lavendra dan banyak lagi. Istimewa dan eksklusif dalam buku ini, ditampilkan karya khas artis komik ternama Ben Wong yang berjudul antara Impian dan Masa Depan.

Edisi asal buku ini mula diterbitkan pada tahun 2013 dan masih diulang cetak hingga ke hari ini. Bagi edisi kemas kini ini, kulit buku diberi wajah yang baru dengan ilustrasi yang lebih dinamik serta reka letak yang lebih kemas dan menarik. Komik-komik dalam buku ini juga diberi nafas baru dengan susun atur serta suntingan bahasa yang lebih segar. Sebagai tanda penghargaan, pembeli buku komik ini dihadiahkan dengan stiker istimewa liga Komik-M secara percuma.

Dengan ketebalan kira-kira 350 muka surat, AKU, KAU & BOLA: LIGA SUPER ini sarat dengan drama dan aksi, juga adrenalin dan emosi. Komik Aku Bola karya Froggypapa contohnya mengambil teknik penulisan karangan yang sering digunakan di sekolah rendah yang kemudiannya diolah dalam bentuk komedi dengan mesej yang cukup memberikan inspirasi. Maka, tidak hairanlah karya ini pernah diangkat sebagai komik terbaik dalam Anugerah Pekomik 2011. Manakala komik Simulasi Ketiga karya Choppy mengenengahkan tema persahabatan dalam dunia permainan simulasi maya yang canggih teknologinya.

Selain komik-komik yang dihidangkan, buku komik ini juga menyajikan kepada pembaca bermacam-macam trivia berkaitan dunia bola sepak dalam dan luar negara. Di samping berhibur, pembaca juga boleh menambah pengetahuan tentang sukan nombor satu dunia ini.

Saksikan video flip through buku ini di IG Komik-M https://www.instagram.com/p/B742hX3lc5j/

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024