Artikel

600 lebih halaman, Novel Imperia karya Ahmad Patria bakal jadi tumpuan PBAKL 2019

oleh Asri Yussof pada 26 Mar 2019

Buku keempat dari siri Kronika Nashan hasil karya Ahmad Patria Abdullah menjadi perhatian utama sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun ini selepas penulisnya sendiri memuat naik gambar novel yang siap dicetak di facebook dan menggambarkan seberapa tebal novel keempat ini.

Siri Kronika Nashan dilancarkan dengan novel pertamanya Aristokra di PBAKL 2016 yang diadakan di Maeps Serdang pada tahun itu. Siri ini disambung dengan novel kedua Wizra dan novel ketiga Kesatria.

Imperia karya Ahmad Patria Abdullah
Imperia karya Ahmad Patria Abdullah

Ketika novel pertama Aristokra dilancarkan di PBAKL 2016, ia terus menjadi tumpuan pada ketika itu dengan kehadiran peminat setia Ahmad Patria ketika pelancaran di Pentas Utama dan bersambung sesi autograf selama 3 jam lebih di Pavilion PTS.

Dalam statusnya di facebook, Ahmad Patria melahirkan rasa keterujaannya dengan novel Imperia yang bakal menemui pembacanya di PBAKL tahun ini. Dalam pada itu, novel ini turut mendapat maklumbalas yang baik dari peminat beliau. Rata-rata mereka tidak sabar untuk mendapatkannya di PBAKL tahun ini. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini dijadual bermula pada 29 Mac hingga 7 April 2019 dan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Sinopsis dari novel Imperia

Melyn, Aristokra Nashan dan puteri kesuma, telah memenangi peperangan menentang tentera reneger yang diketuai oleh Sursis, panglima derhaka yang sebelumnya tidak terkalahkan. Namun ancaman terhadap kotanya belum tamat.

Kemunculan Auren dari Valkani mendedahkan kewujudan sebuah konspirasi yang lebih luas serta mendalam, yang didalangi oleh Orde Morduwizra dari Toar Magzul. Dan Melyn turut berhadapan dengan dilema kerana Denzir, Aristokra Dashan, mahu melamarnya.

Menjadi keliru, terpaksa memilih antara dua hati dalam keadaan yang semakin bergolak akibat kemunculan Otonar, kizar Nomad yang melanggar Kushan dari utara. Peperangan dan percintaan. Dan sebuah empayar bergelar IMPERIA.

Ahmad Patria Abdullah, dilahirkan pada 26 Mei 1968 merupakan anak sulung kepada Sasterawan Negara, Dato Abdullah Hussain. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, dari tahun 1975 hingga tahun 1980. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, Pahang. Pada tahun 1988, beliau diterima masuk ke Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia dan menamatkan pengajian pada tahun 1992.

Beliau mula dikenali dengan siri novel fantasi Saga Artakusiad, di mana beliau disebut sebagai pelopor kepada sastera fantasi di negara ini. Novel pertama beliau, Permata Aurorius, buku pertama dalam siri fantasi Saga Artakusiad diterbitkan pada 1987 sewaktu beliau berumur 17 tahun.

Lebih membanggakan, novel ini terpilih memenangi anugerah Book of the Year oleh Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan pada tahun yang sama. Datoʼ Johan Jaafar dalam temu ramahnya dalam akhbar Berita Harian menyifatkan Permata Aurorius sebagai novel fantasi terbaik pernah dihasilkan dalam bahasa Melayu.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024