Artikel

7 cara nak kenal produk sampah- “Hati-hati ketika membeli” Dr. Rusyainie Ramli

oleh Asri Yussof pada 24 May 2019

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan pelbagai berita tentang produk-produk kosmetik dan kecantikan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mempunyai bahan kimia yang berlebihan dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebagai pengguna yang bijak, kita perlu berhati-hati dengan barangan yang ingin kita beli. Terutama yang melibatkan barangan penjagaan diri seperti kosmetik dan makanan kesihatan atau ‘supplement’. Berikut adalah 7 cara untuk anda mengenal ciri-ciri produk sampah yang berlambak dipasaran:-

1. Produk yang tidak berdaftar dengan KKM. Apa juga produk yang termaktub di bawah kategori ubat, termasuklah suplemen, vitamin dan ramuan tradisional WAJIB didaftarkan dengan KKM. Tidak kira produk itu datangnya dari mana. Jika produk tersebut di jual di dalam Malaysia, maka ia wajib mempunyai kelulusan KKM.

2. Produk yang tidak berdaftar mempunyai kandungan yang tidak diluluskan. Produk terlarang akan mengakibatkan kesan sampingan seperti serangan sakit jantung, kerana sebenarnya di dalam produk itu mempunyai kandungan yang dilarang seperti sildenafil. Ubat herba dan tradisional tidak semestinya selamat untuk digunakan. Sebenarnya air biasa pun mempunyai bahan kimia. Sesuatu produk jika tidak diteliti dan ditapis oleh KKM ia boleh mengundang kesan sampingan yang teruk.

3. Iklan atau jualan yang tidak bertauliah. Produk-produk kesihatan seperti untuk mengubati mati pucuk tidak boleh diiklan semudah itu, apatah lagi dijual seperti jual kacang putih tepi jalan. Ia perlu mempunyai lesen dan tauliah dalam bidang perubatan.

4. Teliti pada botol produk. Ada beberapa produk yang main letak nama segala herba. Produk yang betul perlu letak komposisi bahan dalam produk. Ada produk yang dicanang dibuat di makmal luar negara seperti Canada, tetapi ejaan ‘suplemen’ dalam bahasa Inggeris tetap salah. Hehe

5. Penjual yang tamak akan meminta pelanggan terus membeli 3 botol, bukan meminta mereka untuk mencuba 1 botol terlebih dahulu.

6. Produk yang mempunyai logo halal tetapi bukan dari JAKIM. Sila berhati-hati.

7. Taktik biasa yang dilakukan oleh penjual produk, di botol produk mereka tidak sebutkan fungsi seperti apa yang mereka sebutkan di dalam iklan. Jika tidak ditulis pada produk KKM susah mahu sabitkan kesalatan kepada pengasas produk. Kemudian, pengasas produk akan salahkan kepada pengedar dan stokis.

Jadilan pengguna yang bijak. Lengkapkan diri dengan ilmu. Produk berlambak tetapi dengan ilmu kita tidak akan mudah ditipu, supaya kita tidak mudah jatuh tersembam dek tipu daya bani produk sampah yang sangat jahat. Mereka hanya mahukan duit kita.

Dr. Rusyainie binti Ramli penulis buku Bani Produk Sampah. Beliau juga adalah pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia. Beliau telah berkhidmat selama 16 tahun. Mulanya beliau hanya berkongsi ilmu perubatan sendirian di Facebook, tetapi kemudiannya menyertai Medical Mythbusters Malaysia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025