Artikel

7 Kesilapan Emak, Ayah Buat Anak Tidak Mahu Ke Tadika

oleh Dr. Airil Haimi Mohd Adnan pada 23 Jan 2020

Setiap kali tahun baharu disambut, sudah pasti ada si kecil yang bakal melangkah ke alam pendidikan praformal atau peringkat pendidikan yang menjadi jambatan antara situasi di dalam rumah dengan keadaan di dalam kelas. Ada pakar pendidikan Barat yang telah mentakfirkan pendidikan praformal sebagai kurikulum untuk kanak-kanak kurang upaya dan yang berkeperluan khas.

Akan tetapi, pendidikan praformal membawa maksud yang lebih luas. Antara usia 0-6 tahun, si kecil manja kesayangan anda itu sedang sibuk meneroka dunia di sekelilingnya. Sekitar umur 4-5 tahun pula, lazimnya emak dan ayah akan menghantar si kecil itu ke tabika atau tadika. Walaupun di tadika dan institusi prasekolah lain ada kelas, buku, pensil, guru, rakan sebaya dan banyak persamaan seperti di sekolah rendah, pendidikan si kecil di tadika masih lagi belum dalam bentuk yang ‘formal’ sepenuhnya.

Aktiviti bermain sambil belajar misalnya, menjadi fokus utama di banyak tadika. Begitu juga dengan ujian dan peperiksaan; di tadika tidak ada ujian atau peperiksaan dalam erti kata sebenarnya (dan memang seharusnya sebegitu oleh sebab kanak-kanak masih belum bersedia untuk ujian dan peperiksaan berbentuk formal).

Yang pasti, dengan kedatangan setiap tahun baharu, mungkin ada si kecil comel dalam famili anda yang mungkin sudah cukup usianya untuk dihantar ke taman bimbingan atau didikan kanak-kanak. Namun, tidak semua kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dalam suasana pendidikan separa-formal ini dengan sebegitu cepat. Malah, ada juga si kecil yang akan menjerit dan meraung apabila dia dihantar ke tadika. Jadi, apa kata ayah dan emak di luar sana cuba menilai diri dan elakkan tujuh kesilapan di bawah, andai kata si kecil comel anda meronta-ronta setiap pagi dan tidak mahu lagi dihantar ke tadika.

Kesilapan #1: Emak dan ayah tidak sedar bahawa tadika bukan sekolah

Sama ada kita sedar atau pun tidak, cara belajar di sekolah tidak sama dengan cara belajar di tadika, seperti gambaran yang telah pun diberi pada permulaan artikel ini. Tadika ialah jambatan penghubung antara rumah dan sekolah; kegagalan untuk menghantar si kecil anda ke tadika akan membawa banyak kerugian kepadanya di sekolah rendah khasnya.

Oleh itu, si kecil anda perlu ‘dijemput’ serta dipujuk untuk ke tadika tetapi untuk ke sekolah rendah kelak, dia mungkin perlu sedikit ‘dipaksa’ dengan disiplin. Suatu cara penyesuaian yang selalu dilakukan di negara maju ialah memberi peluang kepada si kecil melihat-lihat dahulu tadikanya, agar minat semulajadi untuk belajar di situ dapat dipupuk sedari awal. Cuba cari tabika atau tadika yang memberi peluang sebegini kepada si kecil anda untuk merasai keadaan di institusi prasekolah itu terlebih dahulu, sebelum anda menghantar anak anda ke sana.

Kesilapan #2: Ayah dan emak tidak mahu mendengar luahan rasa si kecil…

Apabila si kecil tidak mahu dan meronta-ronta apabila dia disuruh ke tadika, ada banyak sebab yang perlu kita ketahui sebelum menyalahkan dia atau tadika berkenaan. Apa kata emak dan ayah cuba bersembang dahulu dan bertanya apa sebabnya si kecil itu berkeras tidak mahu ke tadika? Siapa tahu, sebab yang dia berikan mungkin suatu hal atau isu yang mungkin mudah untuk kita selesaikan.

Atau, mungkin si kecil anda perlu masa yang lebih lama sebagai tempoh penyesuaian diri berbanding dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Ada banyak kemungkinan yang boleh kita fikirkan tetapi pastikan anda mendengar suara hati anak ada terlebih dahulu. Ada anak kecil yang amat seronok apabila dia dihantar ke tadika, tetapi ada juga yang sedih kerana dia berasa terlalu takut. Biar apa pun, anak anda seorang insan unik yang perlu mendapat pendedahan kepada proses pendidikan praformal di tadika.

Kesilapan #3: ...dan mereka tidak mahu meluangkan masa untuk ke tadika

Sekadar bertanya, “Kenapa sedih sayang?” sahaja tidak mencukupi apabila kita cuba menangani isu si kecil yang berkeras tidak mahu ke tadika. Apabila ini terjadi, ayah dan emak harus meluangkan masa untuk sama-sama ke tadika berkenaan serta sama-sama ‘belajar’ dengan si kecil. Minta kebenaran guru dan pengurus tadika itu untuk berada di situ. Perhatikan hal atau isu yang mungkin menjadi penyebab stres hingga si kecil berasa benci dan tidak mahu lagi pergi ke tadika berkenaan.

Memang menjadi lumrah hidup, ada kanak-kanak yang mungkin belum bersedia untuk ke tadika dan masih perlu dibiarkan di dalam situasi rumah sahaja. Namun, jangan terlalu cepat merasakan bahawa anak kecil anda masih belum bersedia untuk menyeberangi jambatan pendidikan praformal yang akan membawa kejayaan kepadanya di sekolah rendah dan menengah kelak.

Kesilapan #4: Ayah dan emak gagal menimbulkan minat si kecil terhadap ilmu

Rasa kecintaan terhadap ilmu sebenar dan rasa ingin tahu sebenarnya perlu dipupuk dalam diri, sebaik sahaja si kecil sudah boleh bereaksi dengan emak dan ayah serta dunia di sekeliling. Kita manusia biasa yang perlukan ilmu pengetahuan untuk hidup dan untuk makmur dalam kehidupan sehari-hari. Pupuk minat dan juga rasa ingin tahu akan ilmu melalui aktiviti membaca buku dan juga membawa si kecil ke perpustakaan misalnya, walaupun pada usia semuda 2 hingga 3 tahun.

Kenapa? Supaya dia tidak terkejut apabila kelak dia dihantar ke tadika. Tambahan pula tadika dan sekolah adalah dua tempat untuk si kecil menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran baharu. Kanak-kanak yang tiada minat yang tinggi untuk membaca contohnya, pasti akan berdepan dengan masalah di sekolah rendah dan kelak di sekolah menengah apabila sampai waktunya.

Kesilapan #5: Emak dan ayah melepaskan tanggungjawab kepada tadika…

Dalam kesibukan dan ditambah dengan tekanan hidup zaman moden ini, ayah dan emak yang sama-sama bekerja kadang-kadang menyerahkan tanggungjawab mendidik si kecil bulat-bulat kepada guru di tadika. Akibatnya, mungkin timbul pelaziman dalam diri si kecil yang akan melihat tadika sebagai tempat yang agak serius dan tiada keseronokan. Intipatinya mudah, emak dan ayah serta guru di tadika si kecil adalah ahli dalam pasukan yang sama!

Memang betul, institusi pendidikan prasekolah serta pendidikan rendah dan menengah memainkan peranan sebagai tempat ganti sementara rumah kediaman kita. Pada masa yang sama, ini tidak pula bermaksud hanya guru dan pentadbir tadika yang perlu mengambil berat akan tumbesaran dan perkembangan anak kecil anda. Sudah pasti pengalaman dan pendedahan awal di rumah juga memainkan peranan yang sama penting dalam pembentukan diri si kecil.

Kesilapan #6: ...dan mereka tidak membina jambatan antara tadika dan rumah

Setiap hari, ayah dan emak perlu meringankan mulut untuk bertanya kepada si kecil kesayangan mereka, apakah yang telah dia lakukan atau pelajari di tadika pada hari berkenaan? Walaupun mungkin jawapan yang diberi “tak ada apa-apa pun” atau “yang biasa-biasa saja macam selalu”, sebagai orang dewasa kita perlu membina jambatan antara tadika dan rumah.

Sesungguhnya, proses pendidikan pada peringkat usia praformal 0-6 tahun adalah suatu proses lengkap yang meliputi suasana di dalam dan di luar rumah, suasana semasa di tadika dan juga semasa si kecil sedang meneroka alam sekeliling di padang permainan atau ketika keluar bersama famili ke pasar raya berdekatan. Si kecil perlu diasuh supaya dia dapat melihat tadikanya sebagai sebahagian daripada tambahan kepada rumahnya agar dia akan lebih tertarik untuk ke tadika berkenaan.

Kesilapan #7: Emak dan ayah kurang mengerti tentang konsep perkembangan

Apakah yang ayah dan emak harapkan apabila si kecil comel anda pergi ke tadika setiap pagi dan pulang tengah hari atau lewat petang? Adakah dia diharapkan bakal menjadi seorang yang pintar, cerdas, berbakat serta boleh digelar genius? Ada segelintir kanak-kanak yang amat membenci tadika mereka kerana emak dan ayah mereka menekan mereka dan memaksa mereka menjadi seperti kanak-kanak sekolah rendah yang sudah mahir membaca, menulis dan mengira.

Institusi prasekolah seperti nurseri, tabika dan tadika ialah kerangka asas pendidikan manusia. Institusi prasekolah bukan seperti sekolah rendah, sekolah menengah atau pun kolej. Fokus tadika anak anda adalah pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek pada tahap yang paling asas agar selari dengan usaha dan pengalaman positif yang dirasai oleh si kecil dalam situasi rumah. Bermain, berlari dan eksplorasi dunia sekeliling ialah gerak kerja pendidikan prasekolah yang membawa banyak manfaat kepada pembinaan awal diri seorang manusia.

Kata akhir

Di negara-negara maju, ayah dan emak akan sama-sama dijemput agar memainkan peranan aktif di tadika anak mereka. Kita di Asia Tenggara juga perlu melakukan usaha-usaha baik yang serupa. Sebagai permulaan, cuba luangkan sedikit masa di tadika (jika dibenarkan oleh guru serta pihak pengurusan) untuk menjadi contoh ikutan dan ikon kepada si kecil comel anda: “Kalau emak dan ayah nampak seronok di tadika ni, mesti saya pun dapat rasa seronok juga di sini!

Hubungan yang baik antara ayah dan emak dengan guru tadika ditambah pula dengan suasana belajar tidak formal di rumah dan separa-formal atau praformal di tadika, akan dapat memupuk minat semulajadi si kecil untuk cintakan ilmu pengetahuan dari seawal usianya. Soalan yang perlu ditanya sekarang, kenapakah anda culas menghantar si kecil manja anda ke tadika terdekat sedangkan usianya sudah pun sekitar 5 hingga 6 tahun? Tidakkah anda berasa rugi nanti pada kemudian hari?

***

Dr Airil Haimi Mohd Adnan ialah Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik psikologi perkembangan awal serta sosiologi pendidikan praformal. Penyelidikan prasekolah beliau didanai SEAMEO CECCEP (ASEAN) dan buku beliau tentang kanak-kanak pernah memenangi Hadiah Karya Ilmiah Negara Malaysia (DBP).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024