Artikel

Selangkah Ke Alam Komik AKU, KAU & GAMES

oleh Putra Nubhan pada 24 Jan 2020

Zaman sekarang apabila disebut sahaja perkataan ‘games’, mesti kita akan terfikir tentang permainan video yang dimainkan di konsol, komputer, ataupun telefon pintar. Namun games itu sendiri sebenarnya lebih luas ruang lingkupnya di mana ia membawa maksud permainan.

Ini bermakna segala jenis permainan sama ada permainan tradisional, permainan papan, permainan kad, permainan elektronik dan sebagainya adalah termasuk dalam definisi games. Cuma dewasa ini sahaja kita sering mengaitkannya dengan permainan video memandangkan permainan lain sudah kurang dimainkan oleh kanak-kanak dan masyarakat.

Begitu juga jangkaan saya sebelum membaca buku antologi komik AKU, KAU & GAMES keluaran Komik-M. Dalam hati, saya menjangkakan yang komik ini mesti bercerita tentang permainan video sahaja. Namun, ternyata saya silap. Ia lebih berkisar kepada pengalaman hidup masyarakat kita yang membesar dengan pelbagai jenis permainan yang dekat dengan diri serta penuh dengan nilai moral dan pengajaran.

Seperti komik KISAH PERTAMA karya Hiroshikee yang menjadi pembuka tirai antologi komik ini, ia menceritakan bagaimana permainan video yang pada asalnya sering membuatkan adik- beradik bergaduh berebut untuk bermain akhirnya berbaik dan saling bekerjasama.

Begitu juga dengan komik GAME OVER? karya Azhar Abdullah yang membawa kita mengimbau sejarah permainan seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka, hingga kepada kenangan kanak-kanak zaman 1950-an dan seterusnya berevolusi ke era permainan elektronik dan digital yang bermula seawal 1970-an lalu berkembang hingga ke zaman ini.

Sekiranya anda peminat Ben Wong, anda harus memiliki buku ini kerana beliau turut menyumbangkan karya melalui komik ATMA SUKMA. Ia mengisahkan tentang dua orang remaja yang lemah di dunia nyata, namun bertukar menjadi wira dalam dunia permainan. Oh, komik ini ada kaitan dengan kisah ULTRA QALIF EX yang dimuatkan dalam ULTRA QALIF BUMPER serta berkaitan juga dengan siri SILAT BOY. Jadi, jika anda peminat kedua-dua siri komik ini, anda perlu membaca komik Atma Sukma ini.

Mahukan suatu yang kelakar? Jangan risau, komik LAWAK BUDAK SEKOLAH: PESTA GAME karya Froggypapa pasti akan menggeletek hati anda. Bayangkan apabila guru sekolah dicabar untuk berlawan dalam pertandingan Beyblade, apa akan terjadi? Pasti akan menjadi acara yang paling besar dan dinanti-nantikan oleh para guru dan murid, bukan? Komik ini juga berkesinambungan dengan komik LAWAK BUDAK SEKOLAH #6: CIKGU BARU. Disarankan untuk membaca komik ini bagi mendapatkan kepuasan yang lebih maksimum.

Buku ini juga ditampilkan dengan spin off siri nomik popular, Young Aisyah karya Reja. Menerusi komik yang berjudul PUTERI PAHLAWAN ini, kita dapat melihat Aisyah dari sisi yang lain apabila dia cuba menyertai kejohanan sukan elektronik yang diadakan di kampungnya, sedangkan dia langsung tidak pernah bermain game yang dipertandingkan itu. Adakah dia akan berjaya dalam kejohanan itu? Jika mahu tahu dengan lebih lanjut, bacalah buku ini.

Ramai lelaki suka bermain game, lalu sering menjadi impian para lelaki untuk berjodoh dengan wanita yang turut mempunyai minat yang sama. Topik inilah yang cuba dibawakan dalam komik JODOH GAME? karya Ain Lavendra. Adakah perkenalan dalam permainan video boleh membawa ke jinjang pelamin? Oh, dengar khabarnya komik ini diadaptasi daripada kisah sebenar. Kisah siapa? Kenalah baca komik ini.

Komik-komik seterusnya dalam buku ini adalah hasil pengkarya baru yang sedang berkembang naik dan mencipta nama, iaitu RIGHT VISION karya Farahanim dan Miras, BUKAN BIASA-BIASA karya Khairul Exodus dan Khairul Amirin, serta RE:SET karya Zehartz. Ketiga-tiganya mengangkat kisah tentang masa depan permainan video yang semakin rumit serta topik gamer selaku kerjaya profesional. Tema yang menarik, bukan?

Secara jujurnya, saya amat berpuas hati selepas membaca buku ini. Serius, jika anda adalah peminat komik dan juga games, komik ini sangat berbaloi untuk dimiliki. Bila lagi kita mahu lihat komik dan games digabungkan dalam sebuah buku komik?

Buku ini juga sangat sesuai untuk bacaan adik-adik dan anak-anak yang sangat suka bermain permainan video. Komik ini bukan sahaja menerapkan nilai-nilai murni, malah turut memberi pendedahan bagaimana kita dapat mengadaptasi nilai positif permainan video dalam kehidupan seharian.

Jika anda mahu beli buku ini, anda perlu cepat. Sewaktu saya cari di kedai buku tadi pun hanya tinggal dua naskhah sahaja. Kalau habis nanti, kena tunggu pula cetakan seterusnya. Ataupun anda boleh terus memesan komik ini secara atas talian di www.bookcafe.com.my

Lihat prebiu secara flip through di sini https://www.instagram.com/p/B7sdW7hFWkI/

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024